Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) amat terkejut dengan pengumuman syarikat penerbangan Ireland, Ryanair mengenai perlantikan Peter Bellew sebagai Ketua Pegawai Operasi yang baru. Ketika ini, Peter Bellew masih lagi Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad.
Jika benar Peter Bellew akan menyertai Ryanair dan melepaskan jawatan sebagai CEO MAS, ini merupakan tamparan yang hebat kepada Pelan Pemulihan MAS. Pelantikan jawatan ini juga merupakan yang kedua bagi MAS selepas Christoph Muller yang hanya bertahan setahun dalam MAS selepas Pelan Pemulihan MAS diperkenalkan.
DPPWP melihat MAS wajar memberi penjelasan yang terperinci jika isu campurtangan kerajaan dilihat sebagai sebab utama Peter Bellew meninggalkan MAS seperti Muller.
Perbezaan pendapat Peter Bellew dengan kerajaan dihidu apabila beliau memberi kenyataan berbeza mengenai pengumuman pembelian pesawat Boeing oleh Datuk Seri Najib Razak semasa lawatan ke Amerika Syarikat.
Bekas CEO Christoph Muller sebelum ini memberi alasan campurtangan kerajaan sebagai punca perletakkan jawatan beliau. Adakah skrip yang sama kali ini bagi Peter Bellew?
DPPWP turut menggesa Khazanah Nasional selaku pemegang saham tunggal MAS lebih cermat dalam memilih bakal CEO selepas ini. Kami berharap Khazanah menimbangkan secara serius untuk mengambil calon tempatan berkelayakan dan kompeten bagi menggantikan Peter Bellew supaya hanya mereka yang betul-betul cekal dan berkaliber sahaja yang mengemudi MAS dengan berkesan.
Bagi kami, Malaysia sedikit pun tidak kurang profesional yang kompeten dan berkredibiliti dalam mengurustadbir konglemerat besar seperti MAS. Unsur patriotisma CEO juga perlu diterapkan sebagai kriteria utama untuk pemilihan kali ini supaya pisang tidak berbuah tiga kali.
Akhir sekali, DPPWP mendoakan Pelan Pemulihan MAS berjaya digerakkan secara komprehensif. Tambahan lebih berkat lagi jika tiada hidangan arak dalam setiap penerbangan bagi menonjolkan imej MAS sebagai jenama Malaysia sebuah negara Islam di mata antarabangsa.
“Memimpin Perpaduan”
Ustaz Ubaid Hj. Akla
Naib Ketua,
Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan