Home Berita Presiden

Catatan Presiden PAS: Perbincangan Ekonomi Dengan Duta Amerika Syarikat

4427
SHARE

Catatan Presiden PAS

PERBINCANGAN EKONOMI DENGAN DUTA AMERIKA SYARIKAT

Tidak mudah bagi saya berdiskusi dengan T.Y.T. Kamala Shirin Lakhdhir, Duta Besar Amerika Syarikat, negara besar yang datang berkunjung hormat ke Pejabat Agung PAS baru-baru ini (Hari Isnin, 1 Oktober 2018).

Apatah lagi saya tidaklah boleh menguasai Bahasa Inggeris dengan baik dan petah untuk berhujah. Sekadar mampu menuturkan beberapa perkataan penting, yang tidak melayakkan saya untuk dicalonkan menjadi Perdana Menteri, dan hanya layak menjadi Presiden PAS yang digelar ‘parti pak lebai’.

Berbekalkan jati diri Islam dan Melayu, serta berpandukan ilmu ekonomi yang asasi daripada kitab seperti Muqaddimah Ibnu Khaldun dan penulisan sarjana ekonomi Islam yang lain. Namun saya membaca kitab asalnya, tidak seperti orang yang membaca tajuknya sahaja, laksana burung kakak tua yang petah bercakap bahasa manusia.

Saya dikemukakan tajuk ekonomi yang mega seperti ECRL (East Coast Rail Line) di antara Malaysia dan China. Saya menegaskan bahawa, Islam yang menggalakkan hubungan dengan semua pihak di seluruh dunia secara damai dan adil terhadap semua termasuk dalam aspek ekonomi. Saya bersetuju projek tersebut diteruskan, sekiranya memberi keuntungan kepada semua pihak, termasuk Malaysia bukan kepada China sahaja. Begitulah juga hubungan Malaysia dengan negara lain termasuk Amerika.

Begitu juga peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi supaya jangan bakhil teknologi. Inilah cara bermasyarakat Madani yang diajar oleh Islam. Maka Malaysia juga tidak terikat boleh mengadakan kerjasama yang adil dengan semua, sama ada Timur atau Barat. Manakala di Kelantan dan Terengganu, saya menyatakan keperluan untuk dibangunkan sektor hiliran bagi memajukan sektor pertanian, perikanan dan sumber asli yang kaya di negeri tersebut, melalui prasarana dan pelaburan yang seimbang.

Dalam ceramah PRK Port Dickson, saya menyebut berkenaan IMF atau Tabung Kewangan Antarabangsa. Saya masih ingat apabila Malaysia menghadapi krisis ekonomi bersama dengan negara dunia, maka Perdana Menteri di masa itu menolak cadangan Menteri Kewangan beliau yang mahu menagih bantuan IMF. Walaupun PAS adalah parti pembangkang, namun sama-sama tidak bersetuju dengan cara itu.

Tabung Kewangan Antarabangsa (Bahasa InggerisInternational Monetary Fund, IMF) ialah organisasi antarabangsa yang menyelia sistem kewangan dunia dengan mengikut polisi makroekonomi negara anggota, terutama yang memberi kesan kepada kadar pertukaran asing dan imbangan pembayaran. IMF juga memberi bantuan kewangan dan teknikal kepada negara anggota yang menjadikan organisasi ini sebagai peminjam antarabangsa terakhir. Pertubuhan ini beribu pejabat di Washington D.C., Amerika Syarikat.

Saya tidak hanya membaca yang tersurat daripada IMF kerana wajib dibaca juga apa yang tersirat di sebalik perlumbaan ekonomi yang tidak ada belas kasihan terhadap negara yang disenaraikan sedang membangun, tetapi tidak dibenarkan bangun menjadi negara yang maju ke hadapan.  

Kita menyaksikan kini akibat negara yang bergantung kepada IMF, walaupun dikatakan maju ekonominnya tetapi dijajah secara ekonomi oleh negara yang menjadi imam kepada IMF, apabila datangnya kalangan pelabur gergasi yang dibawa tidak mampu disaingi oleh pelabur tempatan.

Terpulang kepada kalangan ahli ekonomi yang lebih pakar dalam bidangnya melakukan muhasabah yang lebih bijak dan mendalam dengan ilmu dan pengetahuan yang lebih terkini.

Cukup bagi saya mengambil pengalaman daripada negara besar seperti Amerika yang tersilap memilih pemimpinnya yang disaksikan terkini.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 3 Oktober 2018 / 23 Muharam 1440