Home Berita PAS Perak

Caruman PERKESO, tambah kebajikan Guru PASTI Perak

368
SHARE

Oleh : Zulfahmi Ramli

IPOH, Bermula 1 Ogos yang lalu, guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) seluruh di negeri Perak secara rasminya telah dicarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

Sudah tentu berita gembira yang sangat dinantikan seluruh warga PASTI setelah sekian lama diperjuang banyak pihak termasuk daripada PASTI MALAYSIA menambahkan lagi kebajikan para guru.

Pengarah Jabatan PASTI Negeri Perak, Mohd Azahari Yahaya menzahirkan penghargaan dan berkata demikian ketika dihubungi wartawan di sini semalam.

“Caruman PERKESO memberi manfaat buat guru-guru PASTI yang selama ini telah banyak memerah keringat dan pengorbanan demi memastikan pendidikan anak-anak PASTI terus cemerlang.

“Antara faedah yang disediakan berkaitan perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, orang tanggungan, pengurusan mayat, kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional dan pendidikan,” ujar Azhari.

Katanya lagi, PASTI Perak merakamkan penghargaan khusus kepada Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) dan PASTI Malaysia di atas usaha serta kerjayaan dalam mencarumkan guru-guru PASTI dengan PERKESO.

Beliau juga berharap guru-guru akan bertambah bersemangat bagi meneruskan perjuangan mendidik anak-anak PASTI dan mendoakan agar guru-guru sentiasa dilindungi dan dirahmati Allah SWT.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Guru PASTI (MGP) Perak, Faridah Dawam pula berkata, penambahbaikan aspek kebajikan guru PASTI seumpama ini adalah penghargaan besar DPPM juga Pemuda Perak kepada para guru keseluruhannya.

“Para guru bertekad dan komited dalam merealisasikan objektif pendidikan PASTI dengan menyediakan proses pendidikan awal yang berorentasikan sistem pendidikan Islam ke arah melahirkan anak yang soleh, berilmu dan beramal,” ujar Faridah lagi.