Home Berita PAS Perlis

Cakna Frontliners, DPPNPs Anjur Program Petrol Percuma

483
SHARE

 

Oleh: Ahmad Azamuddin

KANGAR : Program Isi Petrol Percuma Untuk Frontliners Food Delivery yang diadakan semalam mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Program yang bermula pada jam 3 hingga 6 petang itu dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis (DPPNPs) dengan kerjasama Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis dan ARC Perlis, bertempat di Stesen Minyak Shell Seriab, dekat sini.

Ketua Pemuda PAS Perlis Ustaz Muhammad Azmir Azizan dan Ketua ARMADA Perlis Aedams Mohd. Reffal adalah antara yang hadir pada program tersebut.

Turut sama turun padang memeriahkan acara ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim.

Tinjauan di lokasi program mendapati, para penghantar makanan telah berbaris menunggu giliran bagi mendapatkan petrol percuma sejak program dilancarkan.

Menurut Muhammad Azmir, pihaknya telah memperuntukkan sebanyak 200 buah motosikal tanpa mengira kapasiti enjin untuk diberikan minyak petrol secara penuh dan percuma.

“Alhamdulillah, meskipun julung kali diadakan, program ini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

“DPPNPs merasa terpanggil untuk membantu meringankan bebanan para penghantar makanan yang saban waktu bekerja demi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat di samping menyara kehidupan mereka dengan pendapatan yang halal.

“Semoga sumbangan yang kecil ini mampu memberi impak yang besar untuk mereka dan InsyaAllah program sebegini akan kami adakan lagi pada masa yang akan datang,” katanya ketika ditemui semalam.

Selain berpeluang mengisi minyak petrol secara percuma, mereka turut menerima senaskah Risalah Perpaduan Ummah yang diterbitkan oleh DPPNPs.

Muhammad Azmir dalam pada itu merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk wakil media dalam menjayakan program berkenaan.