Home Kenyataan Media PAS Perlis

Cadangan pilihan raya PBT sarat agenda tersirat

27
SHARE

KENYATAAN MEDIA PAS NEGERI PERLIS
CADANGAN PILIHAN RAYA PBT SARAT AGENDA TERSIRAT

PAS Negeri Perlis memandang serius cadangan yang dibangkitkan oleh seorang pemimpin DAP, Tan Kok Wai agar diadakan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kuala Lumpur.

Atas alasan menegakkan demokrasi dan urus tadbir yang lebih baik, cadangan berkenaan sebenarnya sarat dengan agenda tersirat yang sekian lama diperjuangkan oleh DAP.

PAS Perlis ingin menegaskan, idea melaksanakan Pilihan Raya PBT bukan sahaja tidak rasional, malah bakal mewujudkan penguasaan kaum tertentu (yang menguasai kawasan bandar) dalam kerajaan tempatan yang dibimbangi akan mewujudkan ketidakadilan kepada kaum-kaum lain yang akhirnya akan menggugat keharmonian antara kaum.

Bukan sekadar itu sahaja, idea ini hanya menambah parah lagi ‘kerancakan berpolitik’ yang timbul akibat perbezaan fahaman politik yang sekian lama mengheret serta merugikan rakyat serta menjejaskan kelancaran pentadbiran kerajaan.

Justeru, alasan ‘urus tadbir berkesan’ yang menjadi modal DAP sebenarnya hanyalah helah mereka untuk mengaburi mata rakyat daripada melihat agenda sebenar mereka iaitu untuk merungkai satu demi satu tonggak ketuanan Melayu-Islam di negara ini.

PAS Perlis menyeru seluruh rakyat agar bersama-sama membantah cadangan ini yang tampak indah pada zahirnya tetapi bakal mengundang lebih banyak keburukan yang merugikan rakyat dan negara.

“Adil, Prihatin dan Berkebajikan”

YB USTAZ ASRUL AIMRAN ABD JALIL
Ketua Penerangan PAS Negeri Perlis
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Perlis

21 Disember 2023 | 8 Jamadilakhir 1445H