Home Berita PAS Terengganu

Buruh dihukum sebat di bawah Enakmen Syariah kerana berkhalwat

44
SHARE

KUALA TERENGGANU – Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu hari ini mengenakan empat sebatan ke atas seorang buruh binaan yang telah melakukan kesalahan khalwat.

Tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42 turut dikenakan denda sebanyak RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda atas kesalahan tersebut.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie Hamidi Shafie selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2002 kerana berkhalwat.

Walau bagaimanapun, tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan manakala hukuman sebatan akan dilaksanakan dipenjara selepas tamat tempoh rayuan.

Hukuman sebat dikenakan ke atas tertuduh memandangkan ia adalah kesalahan kedua tertuduh.

Sebelum ini, tertuduh pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat pada 11 Julai 2023.

Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) ( Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khalwat bersama seorang wanita yang berusia 30-an di sebuah premis kosong di Kemaman antara jam 1.10 pagi hingga 2.15 pagi pada 25 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Muhamad Khasmizan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.