Home Minda Presiden

Ketinggian Islam wajib dipertahankan

6809
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 9 / 2024]
KETINGGIAN ISLAM WAJIB DIPERTAHANKAN

Kita menerima Perlembagaan Persekutuan yang telah digubal oleh penjajah yang merancang kemerdekaan yang menipu umat Islam, dengan tujuan tidak mahu sekali-kali memberikan kuasa kepada Islam. Walaupun negara kita dikatakan sudah merdeka dan penjajah asing pula sudah pulang ke negara asal mereka, mereka meninggalkan warisan yang masih menjajah kita melalui perlembagaan yang dicipta oleh Suruhanjaya Reid tanpa melibatkan ahli undang-undang kita seorang pun.

Suruhanjaya Reid dipengerusikan oleh Lord William Reid (Hakim Mahkamah Rayuan England) dan dianggotai oleh Sir Ivor Jennings, Sir William McKell (bekas Gabenor Jeneral Australia), Tuan B. S. Malik (Ketua Hakim Mahkamah Tinggi India), dan Tuan Abdul Hamid (Hakim Mahkamah Pakistan).

Terlalu banyak bom jangka yang dipasang sehingga ia boleh meletup, yang bertujuan menghancurkan agama, bangsa, bahasa, dan tanah air.

Sepatutnya, kita menunaikan kewajipan merungkai dan merombak semula ikatan penjajah itu dengan pemikiran kita yang dibebaskan daripada belenggu penjajah. Pada masa yang sama, menunaikan kewajipan dengan meletakkan Islam di tempat yang mulia, kerana kedudukannya daripada Allah Yang Maha Besar, tiada sekutu dan bandingan bagi-Nya.

Islam adalah keutamaan. Tegakkan Islam, semua pasti akan selamat. Tegakkan yang lain tanpa Islam, semuanya tidak akan selamat.

Begitulah kedudukan Islam yang wajib diperjuangkan oleh penganutnya yang setia dan beristiqamah.

Firman Allah SWT:

﴿هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩﴾

“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (Islam) agar Dia memenangkannya atas segala agama dan ajaran, meskipun orang-orang Musyrik membenci.” [Surah al-Saff: 9]

Firman Allah SWT:

﴿إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدۡ نَصَرَهُ ٱللَّهُ إِذۡ أَخۡرَجَهُ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ ثَانِيَ ٱثۡنَيۡنِ إِذۡ هُمَا فِي ٱلۡغَارِ إِذۡ يَقُولُ لِصَٰحِبِهِۦ لَا تَحۡزَنۡ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَنَاۖ فَأَنزَلَ ٱللَّهُ سَكِينَتَهُۥ عَلَيۡهِ وَأَيَّدَهُۥ بِجُنُودٖ لَّمۡ تَرَوۡهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ ٱلسُّفۡلَىٰۗ وَكَلِمَةُ ٱللَّهِ هِيَ ٱلۡعُلۡيَاۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ٤٠﴾

“Jika kamu tidak menolongnya (Muhammad SAW), maka sesungguhnya, Allah telah menolongnya, (iaitu) ketika orang-orang kafir (Musyrikin Makkah) mengeluarkannya (dari Makkah), sedang dia salah seorang daripada dua orang ketika kedua-duanya berada di dalam gua, pada waktu dia berkata kepada temannya, ‘Janganlah kamu berdukacita. Sesungguhnya, Allah berserta kita.’ Maka, Allah menurunkan keterangan-Nya kepadanya (Muhammad SAW) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan al-Quran menjadikan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan Kalimah Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” [Surah al-Tawbah: 40]

Ayat ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW telah berjuang dengan penuh pengorbanan bagi memuliakan Islam mengatasi segala yang lain, di samping menolak segala tawaran pangkat, takhta, dan harta, sehingga Baginda dihalau keluar dari tanah air tercinta dan berhijrah menegakkan negara yang mendaulatkan Islam.

Firman Allah SWT:

﴿… وَلَن يَجۡعَلَ ٱللَّهُ لِلۡكَٰفِرِينَ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ سَبِيلًا ١٤١﴾

“…Dan Allah sekali-kali tidak akan memberikan jalan kepada orang-orang kafir untuk lebih tinggi memusnahkan orang-orang yang beriman.” [Surah al-Nisa’: 141]

Sabda Rasulullah SAW:

‌الْإِسْلَامِ ‌يَعْلُو ‌وَلَا ‌يُعْلَى.

“Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.” [Riwayat al-Daraqutni, Sunan al-Daraqutni, Kitab al-Nikah, No. 3620, daripada ‘A’iz bin ‘Amr al-Muzani]

Saya sekadar memberikan peringatan kepada penganut Islam supaya menjaga dan mempertahankan aqidah masing-masing, bukanlah menghina, khususnya pengamal undang-undang dan semua yang terlibat dengannya daripada kalangan para hakim dan peguam, termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), bahkan raja-raja supaya berwawasan akhirat dengan bijaksana memandang ke akhirat sana, bukan memandang kepentingan dunia di sini sahaja.

Hal ini demikian kerana, firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَلۡتَنظُرۡ نَفۡسٞ مَّا قَدَّمَتۡ لِغَدٖۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ١٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa-apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertaqwalah kepada Allah! Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Hashr: 18]

Ketika Allah Maha Berkuasa, semua manusia dihilangkan pangkat dan kedudukannya. Bahkan, menunggu di dalam kubur di alam barzakh lebih lama tempohnya daripada alam dunia ini. Ketahuilah bahawa tugas dan jawatan mereka di dunia akan disoal di alam kubur serta dihisab pada Hari Akhirat nanti, sama ada menepati perintah Allah ataupun tidak.

Kita telah diperangkap oleh penjajah (bukan Islam) supaya terpengaruh dengan nasihat mereka yang sesat daripada petunjuk Allah. Sedangkan, kita diajar oleh Allah SWT supaya memohon pertolongan-Nya dalam setiap rakaat solat:

﴿إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ٥ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧﴾

“Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan. (5) Tunjukilah kami jalan yang lurus. (6) (Iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau berikan ni‘mat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. (7)” [Surah al-Fatihah: 5–7]

Berwaspadalah, jangan sekali-kali terpengaruh dengan mereka yang dimurkai Allah (Yahudi) dan yang sesat (Kristian dan Musyrikin).

Para rasul dilantik oleh Allah dengan panduan wahyu bagi memimpin seluruh manusia. Firman Allah SWT:

﴿كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّـۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ ٢١٣﴾

“Manusia itu ialah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar untuk memberikan keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka, Allah menunjuki orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu menunjuki orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.” [Surah al-Baqarah: 213]

Firman Allah SWT:

﴿وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣﴾

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) ialah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu daripada jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]

Kita telah dibekalkan oleh penjajah dengan perlembagaan yang memiliki banyak bom jangka sebagaimana yang telah digubal oleh Suruhanjaya Reid. Perlembagaan itu dibentuk oleh penjajah ketika memberikan kemerdekaan yang tidak sempurna, yang tersurat dengan perkara-perkara yang masih menjajah fikiran kita bagi menyesatkan kita daripada Islam.

Sepatutnya, kita tidak membaca perlembagaan yang disediakan itu sehingga terikat dan dikongkong dengan perkara yang tersurat sahaja. Gunakanlah kebijaksanaan untuk memahami perkara yang tersirat menjadi aqidah dan iman kita dengan mentafsirkan perlembagaan atau menggunakan hak memindanya ke jalan yang betul mengikut petunjuk Allah secara istiqamah. Tidakkah sudah banyak perkara yang telah dipinda dalam perlembagaan tersebut?

Kita telah menyaksikan adanya hakim-hakim veteran terdahulu yang telah melakukan kebijaksanaan ini dan mengemukakan cadangan mereka.

Saya masih ingat bahawa Almarhum Prof. Ahmad Ibrahim, Tun Salleh Abas, Tan Sri Harun Hashim, Prof. Nik Rashid, dan lain-lain mencadangkan perkara tersebut dalam beberapa seminar yang diikut serta oleh mereka.

Sebenarnya, Allah mengulangi peringatan-Nya berulang kali dalam al-Quran. Firman Allah SWT:

﴿وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَمُهَيۡمِنًا عَلَيۡهِۖ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ لِكُلّٖ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةٗ وَمِنۡهَاجٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمۡ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ وَلَٰكِن لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِي مَآ ءَاتَىٰكُمۡۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِيهِ تَخۡتَلِفُونَ ٤٨ وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ ٤٩ أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ ٥٠﴾

“Dan Kami telah turunkan kepadamu al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa-apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya), dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu. Maka, putuskanlah perkara mereka menurut apa-apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (sahaja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allahlah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa-apa yang telah kamu perselisihkan itu. (48) Dan hendaklah kamu memutuskan perkara antara mereka menurut apa-apa yang diturunkan Allah dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (daripada hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya, Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya, kebanyakan manusia ialah orang-orang yang fasiq. (49) Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin? (50)” [Surah al-Ma’idah: 48–50]

Ada kalangan yang memberikan alasan bahawa kita telah dibenarkan melaksanakan hukum takzir yang menjadi sebahagian daripada hukum Islam. Benarkah begitu?

Hukum takzir ialah mata rantai yang tidak putus daripada hukum Islam, bukan hukum yang diambil semena-mena di tengah jalan. Hukum takzir ialah hukum Allah yang disertakan dengan hukum qisas dan hudud dalam kesalahan tertentu sahaja, dengan syarat-syarat yang ketat dan hukuman yang keras.

Apabila tidak memenuhi syarat-syarat tersebut, maka barulah dibawa kepada hukum takzir dalam perkara yang luas lapangannya dan banyak pilihannya dengan syarat, rukun, dan adab Islam yang menjadi roh kepada syariat Islam yang tidak boleh disamakan dengan undang-undang sivil. Maka, undang-undang sivil gagal mencegah kemungkaran, walaupun hukumannya lebih keras daripada qisas dan hudud.

Semua hukum syariat ialah berkaitan dengan maqasid al-syari‘ah bagi memelihara rukun hidup manusia mengikut ketetapan Allah, iaitu menjaga agama, akal, nyawa, maruah, keturunan, dan harta. Perkara ini tidak dipedulikan secara sistematik dalam undang-undang sivil.

Sebenarnya, undang-undang sivil yang berselindung di sebalik penipuan sebagaimana yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿وَدَّ كَثِيرٞ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ لَوۡ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِكُمۡ كُفَّارًا حَسَدٗا مِّنۡ عِندِ أَنفُسِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلۡحَقُّۖ فَٱعۡفُواْ وَٱصۡفَحُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ ١٠٩﴾

“Sebahagian besar Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat memesongkan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana dengki yang (timbul) daripada diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran. Maka, maafkanlah dan biarkanlah mereka, sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya, Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” [Surah al-Baqarah: 109]

Hakikatnya, mereka membuang undang-undang Allah lalu diganti dengan undang-undang ciptaan manusia yang berlaku dalam kalangan Yahudi dan Kristian, bagi membebaskan kalangan pemimpin dan bangsawan mereka untuk mengerjakan maksiat.

Allah SWT mendedahkan kesesatan mereka dalam al-Quran dengan firman-Nya:

﴿قُلۡ يَـٰٓأَهْلَ ٱلۡكِتَٰبِ تَعَالَوۡاْ إِلَىٰ كَلِمَةٖ سَوَآءِۢ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَكُمۡ أَلَّا نَعۡبُدَ إِلَّا ٱللَّهَ وَلَا نُشۡرِكَ بِهِۦ شَيۡـٔٗا وَلَا يَتَّخِذَ بَعۡضُنَا بَعۡضًا أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِۚ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَقُولُواْ ٱشۡهَدُواْ بِأَنَّا مُسۡلِمُونَ ٦٤﴾

“Katakanlah, ‘Wahai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dengan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita sekutukan Dia dengan sesuatu pun serta tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah!’ Jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka, ‘Saksikanlah, bahawa kami ialah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).’” [Surah Ali ‘Imran: 64]

Rasulullah SAW menyebut ayat ini kepada ‘Adi bin Hatim RA, seorang sahabat yang asalnya seorang paderi, namun akhirnya memeluk Islam dan menjadi sahabat yang kuat imannya.

Mencipta undang-undang bagi menggantikan undang-undang Allah ialah suatu bentuk kesesatan yang besar. Firman Allah SWT:

﴿أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَـٰٓؤُا شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١﴾

“Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya tidak ada ketetapan yang menentukan (daripada Allah), tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya, orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.” [Surah al-Shura: 21]

Allah memberikan amaran yang keras terhadap Ahli Kitab yang mencipta hukum dan menggunakan jenama hukum Allah SWT:

﴿فَوَيۡلٞ لِّلَّذِينَ يَكۡتُبُونَ ٱلۡكِتَٰبَ بِأَيۡدِيهِمۡ ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ لِيَشۡتَرُواْ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلٗاۖ فَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا كَتَبَتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا يَكۡسِبُونَ ٧٩﴾

“Maka, kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu mereka mengatakan, ‘Ini daripada Allah,’ (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka, kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa-apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa-apa yang mereka kerjakan.” [Surah al-Baqarah: 79]

Maka, Islam bersikap terbuka, lalu beberapa siri dialog diadakan antara ilmuwan Islam dengan Barat bagi mengambil tanggungjawab bersama terhadap masalah politik, ekonomi, dan sosial yang lebih parah di negara Barat kini, sehingga kadar jenayah meningkat setiap minit, bukan lagi tahun. Berlaku keruntuhan jati diri manusia dan kerosakan institusi keluarga dan masyarakat, sehingga ada yang lebih parah daripada binatang.

Firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَـٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ ١٧٩﴾

“Dan sesungguhnya, Kami jadikan untuk (isi Neraka Jahanam) kebanyakan daripada kalangan jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, (tetapi) mereka tidak mempergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah). Mereka mempunyai mata, (tetapi) mereka tidak mempergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah). Dan mereka mempunyai telinga, (tetapi) mereka tidak mempergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Surah al-A‘raf: 179]

Kita telah menerima tempias negatif daripada Barat yang dapat dilihat dalam beberapa gejala yang berlaku, iaitu terdapat beberapa jumlah orang Melayu Islam yang membunuh diri, bukan sahaja terlibat dalam jenayah berat dan ringan. Demikian juga, kenyataan pemimpin yang bersikap liberalisme serta sudah ada kenyataan pemimpin yang bersikap terbuka terhadap lesbian, gay, dwiseksual (bisexual), dan transjantina (transgender) (LGBT) dan rakan-rakannya.

Firman Allah SWT:

﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١﴾

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]

Kini, terserlah kebenaran Islam walaupun difitnah dan Islamofobia dicetuskan. Maka, umat Islam wajib bangkit memuliakan Islam. Firman Alah SWT:

﴿… ٱلۡيَوۡمَ يَئِسَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن دِينِكُمۡ فَلَا تَخۡشَوۡهُمۡ وَٱخۡشَوۡنِۚ ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ… ٣﴾

“…Pada hari ini, orang-orang kafir telah berputus asa untuk (mengalahkan) agama kamu. Oleh sebab itu, janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini, telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, telah Aku cukupkan kepadamu ni‘mat-Ku, dan telah Aku redai Islam itu menjadi agama bagi kamu…” [Surah al-Ma’idah: 3]

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 10 Sya‘ban 1445 / 20 Februari 2024