Home Berita PAS Terengganu

Bunga Kantan Flakes ungguli MPI 2022

24
SHARE

KUALA NERUS – Keberanian empat penyelidik mempertaruhkan bunga kantan sebagai bahan penyelidikan utama sempena Minggu Penyelidikan dan Inovasi (MPI) 2022 nyata tidak sia-sia apabila diumumkan sebagai penerima anugerah emas sekali gus mengungguli anugerah ‘Grand Award’ pada majlis penutup program tersebut yang diadakan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), semalam.

Diketuai Nor Asiah Muhamad Nor yang merupakan pensyarah Falkulti Sains kesihatan UniSZA, kajian bertajuk Bunga kantan flakes: A potential glucose-lowering herb rich in antioxidants itu merupakan projek kerjasama antara UniSZA dan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian yang turut diwakili penyelidik Prof Madya Wan Amir Nizam Wan Ahmad (USM), Dr Liza Noordin (USM) serta Dr Nor Hidayah Abu Bakar (UniSZA).

Berkongsi kenapa memilih bunga kantan Nor Asiah berkata, disebabkan penggunaannya begitu terhad, mereka sebulat suara untuk membuat penyelidikan terhadap bahan tersebut bagi mempelbagaikan penggunaan serta mewar-warkan kebaikan bunga kantan yang biasanya sinonim dengan masakan semata-mata.

“Kita ingin memperkenalkan bunga kantan flakes ini untuk pelbagai penggunaan selain daripada kita guna untuk masakan kerana ianya berpontensi sebagai agen menurunkan kadar glukos.

“Daripada kajian yang kita lakukan bermula tahun 2017, ada bukti saintifik yang menunjukkan bunga kantan ini baik untuk kesihatan terutamanya kepada pesakit diabetes dimana produk yang kita ada ini boleh hasilkan jus untuk kurangkan gula darah darah, berat badan dan lain-lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Minggu Penyelidikan Dan Inovasi 2022 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Al- Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak, semalam.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniSZA, Prof. Dr. Zuhairah Ariff Abd Ghadas.

Sementara itu, Zuhairah dalam ucapannya berkata, penganjuran MPI kali ini dilaksanakan dengan jayanya menerusi jaringan kerjasama antara UniSZA, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan University College TATI (UC TATI) dimana UniSZA  dipilih sebagai tuan rumah.

Katanya, penganjuran MPI pada tahun 2022 merupakan penganjuran edisi ke-9 bagi mempamerkan hasil inovasi dan penyelidikan para penyelidik serta pelajar Universiti Awam (UA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik dan Kolej Komuniti serta pelajar Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.

“Pelaksanaan program MPI kali ini  dijalankan dengan dua mod iaitu secara maya dan fizikal. Pada peringkat pertama semua penyertaan akan dipertandingkan dan dinilai secara maya/ atas talian, manakala pada peringkat kedua, hanya produk terpilih akan dipamerkan secara fizikal di dewan diikuti dengan majlis perasmian penutup.

“Tujuan penganjuran MPI ini adalah untuk memupuk budaya penyelidikan, rekacipta dan inovasi dalam kalangan warga penyelidik dan pelajar,” ujarnya.

Menurut beliau, penyertaan MPI 2022 dibahagikan kepada sembilan kluster dan jumlah penyertaan yang telah diterima adalah sebanyak 348 terdiri daripada staf akademik dan pelajar daripada UniSZA, UMT, UC TATI, Universiti-universiti Awam, sekolah-sekolah dan lain-lain agensi.