KUALA NERUS – Program Bukit Batu Hard Enduro 1.0 mencatat kejayaan luar biasa apabila berjaya menarik penyertaan ratusan peserta dan pengunjung dari dalam dan luar negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, kejayaan penganjuran program ini membuktikan bahawa Batu Rakit semakin dikenali sebagai destinasi pilihan untuk aktiviti berbentuk pelancongan sukan dan komuniti.
Menurut beliau, acara sukan lasak yang julung kali dianjurkan ini bukan sahaja memeriahkan suasana, malah turut memberi limpahan manfaat kepada ekonomi setempat, khususnya kepada pengusaha homestay, chalet, kedai makan serta peniaga kecil sekitar Batu Rakit.
“Lebih penting, program ini menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial masyarakat setempat.
“Ia juga memperlihatkan semangat muafakat tinggi dalam kalangan komuniti yang berganding bahu menjayakan penganjuran,” katanya selepas merasmikan Program tersebut di sini semalam.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong dan mengalu-alukan lebih banyak program seumpama ini di masa akan datang dengan kerjasama pelbagai pihak.
“Inisiatif sebegini harus diperkasa agar Batu Rakit terus berkembang maju, dikenali ramai dan memberikan pulangan sebenar kepada rakyat,” tambahnya.
Acara Bukit Batu Hard Enduro 1.0 merupakan salah satu daripada siri aktiviti yang dirancang bagi mempromosikan Batu Rakit sebagai kawasan berpotensi tinggi dalam sektor pelancongan sukan dan ekonomi setempat.





