Home Berita PAS Perlis

Bubur Lambuk buat perantau

155
SHARE

Oleh AHMAD AZAMUDDIN

ARAU, 1 Mei: Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis (DPPNPs) telah mengagihkan pek bubur lambuk di Stesen Keretapi Arau, Perlis semalam.

Menerusi program yang diberi nama Oleh-oleh Perantau itu, sebanyak 300 pek bubur lambuk telah disediakan dan diagihkan kepada para perantau yang pulang berhari raya menerusi perkhidmatan kereta api.

Ketua Pemuda PAS Negeri Perlis, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil yang ditemui berkata bubur lambuk berkenaan diberikan secara percuma bagi meraikan golongan tersebut yang pulang menyambut hari raya.

Katanya lagi, inisiatif ini berkonsepkan agihan makanan tradisi istimewa seperti bubur lambuk untuk diedarkan kepada orang ramai di kawasan ini bagi meraikan anak perantauan yang pulang berhari raya.

“Bubur lambuk begitu sinonim dengan bulan Ramadan dan ramai yang berasa tidak lengkap jika tidak berpeluang menikmatinya sekurang-kurangnya sekali pada setiap Ramadan.

“Istimewanya, bubur lambuk ini disediakan menggunakan resepi turun-temurun masyarakat kampung di negeri ini dan dimasak secara bergotong royong bagi mengeratkan silaturahim antara masyarakat.

“Mudah-mudahan program yang menyemai kebersamaan ini membawa keberkatan kepada semua petugas yang bertungkus-lumus seawal jam 9 pagi bagi memulakan untuk kerja-kerja memasak dan menyediakan bubur lambuk dalam mengimarahkan bulan Ramadan yang masih berbaki ini,” ujarnya.

Turut turun padang pada program terbabit, Timbalan Ketua DPPNPs, Haziq Asyraf Dun, Naib Ketua DPPNPs, Dr Abu Yusof, dan wakil Jabatan Seni, Budaya & Sukan (DACS) Perlis, Ustaz Noramrul Amri Chan.