Home Berita PAS Terengganu

Buang ‘Islam’ Bercanggah

4
SHARE

BESUT- PAS menegaskan bahawa cadangan seorang pemimpin Umno Johor supaya parti itu membuang perkataan “Islam” daripada nama parti adalah satu kenyataan yang bercanggah dengan prinsip Islam dan menjejaskan perjuangan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, YB Dato’ Panglima Perang Ustaz Haji Mohd Nassaruddin Haji Daud berkata, PAS sejak awal penubuhannya berpaksikan Islam dengan menjadikan Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias sebagai rujukan utama perjuangan.

Oleh itu, sebarang gesaan agar nama Islam digugurkan adalah tidak berasas dan bertentangan dengan asas perjuangan parti.

“PAS ini parti Islam. Nama itu sendiri melambangkan perjuangan yang berpaksikan syariat Allah SWT.

“Mengapa ada pemimpin yang sanggup mencadangkan supaya Islam dibuang daripada nama parti? Ini jelas pandangan yang menyimpang jauh daripada ajaran Islam,” tegasnya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian ketika berucap dalam ceramah perdana sempena Ijtimak Kepimpinan PAS Terengganu 2025 di kota Putera Square, Kampung Raja, pada Jumaat.

Dato Panglima Perang turut menegaskan bahawa semakin berusia seseorang pemimpin, semakin wajar mereka bersikap bijaksana dan menginsafi pentingnya mempertahankan Islam, bukannya membuat kenyataan yang merosakkan imej agama.

Menurutnya, jika benar ada pihak yang ikhlas mahu menegakkan Islam, seharusnya parti-parti lain menambah label Islam pada nama parti mereka, bukannya mendesak PAS menanggalkannya.

“Sahabat dan Nabi SAW sanggup berhijrah demi Islam, saudara kita di Palestin berjuang dengan jiwa raga untuk menegakkan kerajaan Islam. Kita di Malaysia diberi peluang menegakkan Islam secara aman melalui pilihan raya. Kenapa ada pemimpin yang mahu menghapuskan nama Islam?” katanya.

Justeru itu, beliau menyeru seluruh rakyat Terengganu agar terus istiqamah menyokong perjuangan Islam dan yakin pertolongan Allah SWT akan membawa kemenangan di negeri ini serta di peringkat negara.