Home Berita Dewan Pemuda PAS Malaysia

BIOMIMIKRI : DI SEBALIK PEMILIHAN WARNA HIJAU, KUNING DAN PERANG SEBAGAI WARNA LATAR KELAS DI PPTGM.

1308
SHARE

Bagi mewujudkan suasana kelas yang selesa dan menyeronokkan untuk aktiviti pembelajaran para murid di PASTI Pra Tahfiz Genius Mukmin (PPTGM), pemilihan warna latar kelas amat dititikberatkan.

Ini kerana setiap warna itu mempunyai kesan psikologi yang tersendiri terhadap ‘mood’ para murid itu sendiri.

“Allah yang menjadikan bumi sebagai tempat penetapan untuk kamu, dan langit sebagai bumbung yang kukuh binaannya; dan Ia membentuk kamu lalu memperelokkan rupa kamu, serta dikurniakan kepada kamu dari benda-benda yang baik lagi halal. Yang demikian (kekuasaanNya dan kemurahanNya) ialah Allah Tuhan kamu; maka nyatalah kelebihan dan kemurahan Allah, Tuhan sekalian alam. (Surah Ghafir: ayat 64)

Mengambil inspirasi dari ayat al-Quran di atas, warna kelas di PPTGM dipilih dengan menjadikan alam semula jadi sebagai tema agar para murid merasa dekat dengan alam ciptaan Allah SWT.

Warna perang untuk bahagian lantai menggambarkan warna tanah bumi dipijak. Manakala warna hijau di bahagian bawah dinding merupakan imitasi kepada rumput dan tumbuhan yang menghijau. Warna kuning di bahagian atas dinding pula membayangkan latar langit semasa matahari terbit pada waktu pagi atau matahari terbenam pada waktu petang.

Secara psikologinya, ketiga-tiga warna tersebut mempunyai kesan yang tersendiri dan pada masa sama saling mengimbangi antara ketiga-tiga warna tersebut.

WARNA KUNING: Memberi kesan kegembiraan, ketenangan dan keceriaan. Memberi erti kehangatan dan rasa bahagia dan seolah ingin menimbulkan hasrat untuk bermain. Dengan kata lain warna ini juga mengandung makna optimis, semangat dan ceria. Dari sisi psikologi warna kuning dapat merangsang aktiviti fikiran dan mental. Warna kuning sangat baik digunakan untuk membantu penalaran secara logik dan analisa sehingga individu yang menyukai warna kuning cenderung lebih bijaksana dan cerdas dari sisi akademik, mereka lebih kreatif dan pandai menciptakan idea yang original. Di samping itu warna kuning juga membawa erti sinaran dan ketegasan.

WARNA HIJAU: Membawa maksud warna identiti alam. Ia melambangkan kesegaran, kedamaian dan relaksasi mahupun santai. Mengikut pandangan psikologi warna hijau sangat membantu seseorang yang berada dalam situasi tertekan menyeimbangkan emosi dan memudahkan keterbukaan dalam berkomunikasi. Ini kerana warna hijau mempunyai efek rileksasi dan menenangkan. Warna hijau dikatakan memiliki nilai tersendiri kerana dapat memberi kesan kesegaran dan akan lebih cantik bila dikombinasikan dengan warna perang gelap.

WARNA PERANG: Warna perang adalah salah satu warna yang mengandung unsur bumi. Dominasi warna ini akan memberi kesan hangat, nyaman dan aman. Kelebihan lainnya adalah warna perang dapat menimbulkan kesan moden, canggih dan mahal kerana warnanya yang hampir dengan warna emas.

Rujukan:
1. http://www.myhealth.gov.my/warna-dan-psikologi/
2. Aura Personaliti Warna, Mir Hazil Azran Ramli, PTS, Kuala Lumpur, Malaysia, 2009
3. Exoticlious.blogspot.com
4. Spiritualresearchfoundation.org
5. Quantum Ikhlas, The Power of Feeling, Erbe Setanu, PT Elex Media, Jakarta, Indonesia, 2007