Oleh : Ustaz Muhammad Najhan Halim
Firman Allah swt dalam surah
Al Hujurat ayat 9-10,
وَإِن طَاۤىِٕفَتَانِ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ ٱقۡتَتَلُوا۟ فَأَصۡلِحُوا۟ بَیۡنَهُمَاۖ فَإِنۢ بَغَتۡ إِحۡدَىٰهُمَا عَلَى ٱلۡأُخۡرَىٰ فَقَـٰتِلُوا۟ ٱلَّتِی تَبۡغِی حَتَّىٰ تَفِیۤءَ إِلَىٰۤ أَمۡرِ ٱللَّهِۚ فَإِن فَاۤءَتۡ فَأَصۡلِحُوا۟ بَیۡنَهُمَا بِٱلۡعَدۡلِ وَأَقۡسِطُوۤا۟ۖ إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِینَ
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةࣱ فَأَصۡلِحُوا۟ بَیۡنَ أَخَوَیۡكُمۡۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ
Maksudnya, “…Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat ..”.
- Ayat ini Allah telah menegaskan bahawa orang beriman semuanya adalah bersaudara. Sifat persaudaraan ini walaupun bukan disebabkan pertalian darah semata-mata, tetapi ia adalah lebih daripada itu ,iaitu kerana Akidah yang mengikat antara satu sama lain.
- Ikatan persaudaraan Akidah ini adalah lebih utuh berpaksikan kepada keimanan dan ketaqwaan kepada Allah, tambahan lagi sekiranya ikatan dinilai tambah dengan ikatan kaum dan pertalian darah.
- Allah juga menjelaskan bahawa ayat ini adalah perintah Allah kepada kita untuk sentiasa memperbaiki hubungan di antara umat Islam sekiranya ada mereka yang bermusuh dan menentang antara satu sama lain.
- Imam Ibnu Kathir menyebut bahawa Allah masih menganggap mereka yang berbalah dan hatta sekalipun ke tahap berbunuhan itu masih orang beriman. Imam Bukhari juga menjadikan ayat ini sebagai hujjah bahawa orang beriman itu tidak jatuh kepada kekufuran dengan melakukan dosa sebesar mana sekalipun. Tidak seperti pendapat golongan Khawarij dan Muktazilah atau seumpama mereka.
- Atas dasar inilah umat Islam perlulah memahami bahawa perbezaan pendapat, perbalahan, pertelingkahan dan hatta sekalipun sampai ke tahap berbunuhan, tidaklah sepatutnya menjadikan sebahagian umat Islam itu keluar daripada agama kecuali dosa besar yang dilakukan dengan sengaja untuk mengingkari perintah Allah dan memperlekehkan ajaranNya.
- Sambutan Hijrah yang diraikan saban tahun sewajibnya sebagai satu manifestasi kefahaman bahawa permuafakatan dan mengislahkan persaudaraan sesama umat Islam di negara ini satu kemestian dan perkara pokok yang tidak boleh dipandang ringan.
- Kejayaan Hijratul Rasul saw di Madinah adalah diasaskan penyatuan 2 kumpulan pengikut Nabi saw yang paling besar dan kaum yang paling kuat dalam masyarakat Arab pada zaman itu.
- Kejayaan Baginda saw memperkukuhkan negara Islam Madinah Al Munawwarah adalah kerana faktor penyatuan dan muafakat ini.
- Sehingga peperangan yang tercetus sesudah Hijrah Baginda saw seperti Badar Kubra, Uhud dan Al Ahzab disasarkan untuk meruntuhkan, melemahkan dan melenyapkan Islam dapat ditewaskan dengan jaya sekali.
- Pasca Penyatuan Ummah pada tahun 2020 ini adalah satu signifikan kepada kedudukan dan masa depan ummah Islam di negara Malaysia tercinta.
- Tiada lagi yang diharapkan daripada penyatuan ummah ini melainkan keredhaan Allah SWT yang bakal melimpahkan rahmat-Nya dan keberkatan kepada bumi kita.
- Allah menjanjikan pelbagai kebaikan dan rezeki dengan pengislahan ummah dan penyatuan di kalangan mereka.
- Walaupun mereka umat Islam itu berlatarbelakangkan dengan pelbagai kesilapan dan kontroversi, namun mereka juga adalah orang beriman yang perlu diislahkan dan sama-sama memperbaiki diri antara satu dengan yang lain.
- Usaha mengislahkan dan menyatukan umat Islam ini adalah antara semulia-mulia amalan yang lebih daripada darjat solat, puasa dan sedekah. Lihatlah Hadis Nabi Saw yang diriwayatkan oleh Abu Daud dalam Sahihnya. Hadis oleh Abu Darda’ Ra bahawa Nabi saw bersabda,
ألا أخبرُكم بأفضلِ من درجةِ الصيامِ والصلاةِ والصدقةِ ؟ قالوا: بلى، قال: إصلاحُ ذاتِ البينِ ، وفسادُ ذاتِ البينِ الحالِقةُ.
Maksudnya, “.. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu sesuatu yang lebih tinggi darjat daripada puasa, solat dan sedekah? Jawab sahabat, Ya Mahu. Sabda saw, memperbaiki hubungan persaudaraan sesama umat Islam yang bertelingkah. Sesungguhnya pertelingkahan umat Islam itu menggondolkan (agama). .”.
[Hadis Abu Daud dan Tirmizi]
- Semoga dengan muafakat umat Islam di negara ini dapat menatijahkan kekuatan untuk mengharungi pelbagai cabaran yang lebih besar pada masa akan datang.
” Negara Rahmah, Ummah Sejahtera “
” Islam Memimpin Perpaduan “
Penulis adalah Pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Ulamak PAS Pusat merangkap Pengarah Jabatan Dakwah PAS Pusat.
28 Zulhijjah 1441H Bersamaan 18 Ogos 2020.
#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan
#MediaPASSelangor