Home Kenyataaan Media PAS Perak

Bidas MB Perak : Kerajaan Gagal, Keadilan Tergadai, PAS Perak Seru Rakyat Hadiri Himpunan Turun Anwar 26 Julai!

18
SHARE

KENYATAAN MEDIA
KETUA PENERANGAN PAS NEGERI PERAK

Tarikh: 20 Julai 2025

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Bidas MB Perak : Kerajaan Gagal, Keadilan Tergadai, PAS Perak Seru Rakyat Hadiri Himpunan Turun Anwar 26 Julai!

PAS Negeri Perak, mewakili suara hati rakyat yang semakin tertindas dan muak dengan kemunduran negara, menyeru seluruh lapisan masyarakat di Perak untuk bangkit dan menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat: Turun Anwar pada 26 Julai 2025 di Kuala Lumpur. Ini bukan sekadar perhimpunan biasa, tetapi satu isyarat muktamad kemarahan rakyat terhadap kegagalan berterusan kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan yang jelas telah hilang arah.

Cukup sudah sandiwara! Selama lebih dua tahun, kita disajikan dengan janji-janji kosong yang hanya indah di bibir, namun hakikatnya, rakyat terus dihimpit. Ekonomi negara merudum, kos sara hidup melambung tinggi tanpa kawalan, subsidi ditarik tanpa belas kasihan, dan tarif elektrik terus menjerut leher rakyat marhaen. Inikah ‘reformasi’ yang dijanjikan? Inikah ‘kerajaan stabil’ yang dicanangkan? Jawapannya jelas: mereka telah gagal secara total!

Lebih membimbangkan, institusi kehakiman negara kini kelihatan tercalar dan integritinya dipertikaikan. Institusi yang seharusnya menjadi benteng terakhir keadilan rakyat ini telah digugat, apabila keputusan-keputusan penting dilihat bercanggah dengan prinsip keadilan dan melibatkan tokoh-tokoh tertentu, mencetuskan keraguan serius dalam kalangan awam. Malah, isyarat jelas telah diberikan termasuk melalui himpunan yang dianjurkan oleh Bar Council. Namun, kita saksikan tindakan responsif hanya diambil pada kemuncaknya, apabila Ketua Hakim Negara dilantik, dengan kebijaksanaan Majlis Raja-Raja, setelah tekanan rakyat semakin memuncak. Ini adalah bukti nyata bahawa hanya suara rakyat di jalanan yang mampu menggerakkan tindak balas dari pihak berkuasa.

Dalam nada sinis, kami merujuk kenyataan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, yang seolah-olah cuba memandang enteng penderitaan rakyat dengan mendakwa himpunan ini sekadar membuang masa. Kononnya, perhimpunan hanya akan mencetuskan kekacauan dan menjejaskan keyakinan pelabur. Beliau malah berdolak-dalik mengenai punca sebenar himpunan dan tidak mengakui isu-isu rakyat seperti kenaikan gaji atau bantuan kepada golongan miskin sebagai puncanya.

Mungkin Dato’ Seri Saarani selesa dengan status quo, namun rakyat tidak sebodoh yang disangka. Adalah amat ironi apabila pihak yang seharusnya membela rakyat kini sibuk melabel perjuangan ini sebagai cubaan memudaratkan negara. Bukankah lebih baik beliau fokus menangani isu ekonomi dan ketidakstabilan politik yang jelas-jelas dicipta oleh kerajaan beliau sendiri, berbanding menuduh rakyat yang bangkit menuntut hak? Kenyataan sebegini hanya membuktikan bahawa mereka benar-benar terputus hubungan dengan realiti hidup rakyat dan lebih gusar akan kedudukan kuasa mereka. Jika benar kerajaan ini kuat dan stabil seperti yang diuar-uarkan, mengapa perlu takut dengan suara rakyat di jalanan?

Oleh yang demikian, PAS Perak menyeru setiap individu yang merasa terbeban, setiap ibu bapa yang risau akan masa depan anak-anak, setiap pekerja yang gajinya tidak mampu menampung hidup, dan setiap warganegara yang mencintai Malaysia, untuk turun beramai-ramai pada 26 Julai ini.

Kehadiran anda adalah tuntutan keadilan, manifestasi keberanian, dan tanggungjawab moral kita sebagai rakyat untuk menyelamatkan Malaysia dari terus dihancurkan. Jangan biarkan ketakutan membungkam suara kita. Ini adalah peluang kita untuk menunjukkan bahawa kuasa sebenar terletak di tangan rakyat.

Kami akan memobilisasi jentera dan pengangkutan dari segenap pelusuk Negeri Perak bagi memastikan penyertaan yang padu. Bersama kita buktikan, rakyat telah bangkit dan menuntut perubahan!

Turun Anwar! Selamatkan Malaysia!

Sekian, terima kasih.

YB KHALIL YAHAYA
Ketua Penerangan
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah