Home Minda Presiden

Bertadarruj (Bertahap-tahap) Dalam Pelaksanaan Syariat Islam Menuju Kepada Kaffah (Menyeluruh)

196 views
SHARE

Minda Presiden PAS

BERTADARRUJ (BERTAHAP-TAHAP) DALAM PELAKSANAAN SYARIAT ISLAM MENUJU KEPADA KAFFAH (MENYELURUH)

1.0 Mukaddimah

Tanpa diragukan wajib melaksanakan syariat Islam dengan sempurna. Apa yang dimaksudkan adalah pelaksanaan seluruh ajaran Islam merangkumi aqidah, syariat dan akhlak. Secara praktikalnya, tiada pemisahan di antara satu dengan yang lain.

Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ (208)

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segalanya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”. (Surah Al-Baqarah: 208)

Firman Allah:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا (36)

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan; apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara,  mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata”. (Surah Al-Ahzab: 36)

Dikaitkan pula pelaksanaan syariat itu dengan aqidah tauhid dan menolak syirik. Firman Allah:

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ اللَّهُ وَلَوْلَا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (21)

“Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang boleh mengada-adakan hukum syariat sendiri daripada mana-mana bahagian dari agama mereka? (sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah). Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya”. (Surah As-Syura: 21)

Perlu difahami bahawa perkataan Ad-Deen dalam bahasa Al-Quran, berbeza dengan takrif agama atau religion dalam bahasa asing, kerana sifat kesempurnaan prinsip dan konsepnya yang menyeluruh, tanpa pemisahan di antara perkara yang dinamakan urusan agama dan urusan keduniaan.

2.0 Bertadarruj (Bertahap-Tahap) Melaksanakan Syariat

Ada dua pendapat dari segi pelaksanaannya. Adakah serentak semuanya atau bertadarruj (berperingkat atau bertahap)?

Pertama: Ada dari kalangan yang berpendapat bahawa dilaksanakan serentak berdalilkan ayat-ayat Al-Quran yang menyatakan kesempurnaan Islam dan peringkat atau tahapnya telah pun dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W.

Allah telah menegaskan:

الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن دِينِكُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ

“…Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan atau menentang kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Disebabkan itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepada-Ku. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagimu agamamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu. Dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untukmu…”. (Surah Al-Maa’idah: 3)

Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ (208) فَإِن زَلَلْتُم مِّن بَعْدِ مَا جَاءَتْكُمُ الْبَيِّنَاتُ فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (209)

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala ajarannya. Dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu yang terang lagi nyata. (208); Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. (209) (Surah Al-Baqarah: 208-209)

Kedua: Adapun mereka yang menegaskan perlunya bertahap (bertadarruj) berdalilkan langkah Rasulullah S.A.W. yang mentafsirkan Al-Quran secara praktikal (amali) berkonsepkan keizinan Allah:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

“Allah tidak memberatkan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…”. (Surah Al-Baqarah: 286)

Allah berfirman lagi:

وَجَاهِدُوا فِي اللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِ هُوَ اجْتَبَاكُمْ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

“Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilihmu (untuk mengerjakan suruhan agamaNya). Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama”. (Surah Al-Hajj: 78)

Hadis Baginda Nabi S.A.W. kepada Muaz bin Jabal R.A. yang diutuskan ke negeri Yaman:

إنك تأتي قوماً من أهل الكتاب، فليكن أول ما تدعوهم إليه شهادة أن لا إله إلا الله -وفي رواية: إلى أن يوحدوا الله- فإن هم أطاعوك لذلك فأعلمهم أن الله افترض عليهم خمس صلوات في كل يوم وليلة، فإن هم أطاعوك لذلك فأعلمهم أن الله افترض عليهم صدقة تؤخذ من أغنيائهم فترد على فقرائهم، فإن هم أطاعوك لذلك فإياك وكرائم أموالهم واتق دعوة المظلوم فإنه ليس بينها وبين الله حجاب. (أخرجه هذا الحديث في الصحيحين)

“Kamu datang menemui kalangan ahli Kitab (Yahudi dan Kristian), maka jadikan yang pertama sekali dalam berdakwah (mengajak) itu ialah supaya mereka bersyahadah (masuk Islam). Setelah mereka mematuhinya nyatakan kepada mereka bahawa Allah mewajibkan solat lima waktu setiap hari dan malam. Setelah mereka menerimanya, nyatakan kepada mereka bahawa Allah mewajibkan sedekah (zakat) yang diambil daripada yang orang yang kaya raya supaya dibahagikan kepada mereka yang memerlukan bantuan. Jauhkan diri daripada berlaku zalim terhadap harta yang mereka sayangi, sesungguhnya tiada halangan oleh Allah untuk menerima permintaan doa orang yang dizalimi”. (Hadis dikeluarkan melalui Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim)

Hadis yang lain sebagai pesanan Rasulullah S.A.W. kepada Ali bin Abi Talib K.W.H tatkala di Khaibar:

وعن أَبي العباسِ سهل بنِ سعدٍ السَّاعِدِيِّ رضي اللَّه عنه أَن رسولَ اللَّه صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم قَالَ يَوْمَ خَيْبَرَ: “لأعْطِيَنَّ الرَّايَةَ غَداً رَجُلاً يَفْتَحُ اللَّه عَلَى يَدَيْهِ، يُحبُّ اللَّه ورسُولَهُ، وَيُحبُّهُ اللَّه وَرَسُولُهُ. فَبَاتَ النَّاسُ يَدُوكونَ لَيْلَتَهُمْ أَيُّهُمْ يُعْطَاهَا. فَلَمَّا أصبحَ النَّاسُ غَدَوْا عَلَى رسولِ اللَّه صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم: كُلُّهُمْ يَرجُو أَنْ يُعْطَاهَا، فقال: أَيْنَ عليُّ بنُ أَبي طالب؟ فَقيلَ: يَا رسولَ اللَّه هُو يَشْتَكي عَيْنَيْه قَالَ: فَأَرْسِلُوا إِلَيْهِ. فَأُتِي بِهِ، فَبَصقَ رسولُ اللَّه صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم في عيْنيْهِ، وَدعا لَهُ، فَبَرأَ حَتَّى كَأَنْ لَمْ يَكُنْ بِهِ وَجعٌ، فأَعْطَاهُ الرَّايَةَ. فقَالَ عليٌّ رضي اللَّه عنه: يَا رَسُول اللَّه أُقاتِلُهمْ حَتَّى يَكُونُوا مِثْلَنَا؟ فَقَالَ: انْفُذْ عَلَى رِسلِكَ حَتَّى تَنْزِلَ بِسَاحتِهِمْ، ثُمَّ ادْعُهُمْ إِلَى الإِسْلامِ، وَأَخْبرْهُمْ بِمَا يجِبُ عَلَيْهِمْ مِنْ حقِّ اللَّه تَعَالَى فِيهِ، فَواللَّه لأَنْ يَهْدِيَ اللَّه بِكَ رَجُلاً وَاحِداً خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمَ”. متفقٌ عَلَيهِ.

Daripada Sahl bin Sa’ad al-Sa’idi Radhiallahu ‘Anhu bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda pada Hari Khaibar, “Sungguh akan aku serahkan bendera (panglima perang) ini esok pagi kepada orang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya, dan dia dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya, Allah akan memberikan kemenangan dengan sebab kedua tangannya”, maka semalaman para sahabat membincangkan siapakah di antara mereka yang akan diserahkan bendera itu. Keesokan pagi harinya mereka mendatangi Rasulullah dan masing-masing berharap agar Baginda Nabi menyerahkan bendera tersebut, maka saat itu Rasul bertanya, “Di mana Ali bin Abi Talib?” Mereka menjawab, “Dia sedang sakit pada kedua matanya”, kemudian mereka mengutus orang untuk memanggilnya, dan datanglah ia, kemudian Rasul meludahi kedua matanya, seketika itu dia sembuh seperti tidak pernah terkena penyakit, kemudian Rasul menyerahkan bendera itu kepadanya dan bersabda, “Melangkahlah engkau ke depan dengan tenang hingga engkau sampai di tempat mereka, kemudian ajaklah mereka kepada Islam, dan sampaikanlah kepada mereka akan hak-hak Allah dalam Islam, maka demi Allah, sungguh Allah memberi hidayah kepada seseorang dengan sebab kamu itu lebih baik dari unta-unta yang merah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Maksud arahan Rasulullah S.A.W. kepada Ali bin Abi Talib supaya memujuk orang-orang Yahudi Khaibar lebih dahulu supaya menerima Islam. Jangan terus menyerang.

Hadis Rasulullah S.A.W. yang lain dalam peristiwa sewaktu Baginda menangani seorang Badwi yang kencing dalam masjid supaya jangan bertindak kasar dan hadis lain yang seumpamanya.

Sabda Nabi S.A.W.:

نحن معاشر الأنبياء أمرنا أن ننزل الناس منازلهم ونخاطبهم على قدر عقولهم. (رواه أبي داود)

“Kami para nabi disuruh supaya meletakkan seseorang pada tempatnya mengikut kemampuan akalnya dan bercakap dengan bahasa yang mudah difahami akal mereka”. (Riwayat Abi Daud)

3.0 Pelaksanaan Syariat Secara Bertafaqquh

Allah memerintahkan supaya bertafaqquh dalam Ad-Deen:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ (122)

“Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang). Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu bertafaqquh fi Ad-Deen (mempelajari secara mendalam dan memahami serta melaksanakan ilmu yang dituntut  dalam agama). Dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka. Mudah-mudahan mereka dapat berwaspada (dari melakukan larangan Allah)”. (Surah At-Taubah: 122)

Tafaqquh dengan maksud mempunyai kefahaman dan kebijaksanaan dalam pelaksanaan syariat dengan beristiqamah, tidak menyeleweng dan mengikut batas-batas thawabit (tetap) dan mutaghyyirat (anjal).

Mendalami ilmu bukan sahaja Ulum Al-Quran dan Hadis, bahkan juga ilmu-ilmu alat seperti Usul Fiqh, Siyasah Syar’iyyah, Maqasid As-Syariah, Fiqh Al-Waqi’, Fiqh Al-Aulawiyyat, Fiqh Al-Muwazanah, Fiqh Al-Ma’alat dan lain-lain. Termasuk juga ilmu Al-Qadha’ (Kehakiman Islam), Al-Idarah (pentadbiran) dan lain-lain.

Perlu diambil kira perkembangan situasi, tempat dan keadaan orang yang dihakimi. Maka konsep bertadarruj (bertahapan) hendaklah dilakukan supaya dapat merealisasikan keadilan Islam untuk semua dan rahmatnya kepada seluruh alam.

4.0 Tamkin (Negara Berdaulat)

Rasulullah S.A.W. melaksanakan Islam pada peringkat kesempurnaannya setelah menegakkan negara yang sempurna kedaulatan Islam. Ini adalah berdasarkan firman Allah:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ (55)

“Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa memerintah negara (yang memegang kuasa pemerintahan) di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka sebagai khalifah-khalifah yang berkuasa. Dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka. Dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka”. (Surah An-Nur: 55)

Dalil mafhumnya sebelum berkuasa sepenuhnya hendaklah mengikut tahapnya. Para ulama’ telah menegaskan suatu kaedah:

ما لا يدرك كله لا يترك كله

“Apa-apa yang tidak dapat dilaksanakan kesemuanya, janganlah ditinggalkan kesemuanya”.

Kaedah yang berpandukan kepada firman Allah:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

“Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu…”. (Surah At-Taghabun: 16)

Dan hadis Rasulullah S.A.W.:

…وما أمرتكم به فَأْتُوا منه ما استطعتم… (متفق عليه)

“Dan apa-apa yang Aku perintahkan kepadamu maka buatlah sekadar kemampuan kamu”.  (Muttafaq ‘Alaih)

5.0 Prinsip Dan Konsep

Kejayaan Islam dalam sejarahnya menguasi tiga benua besar daripada Timur Jauh sehingga Afrika Utara dan Selatan Eropah dalam masa yang cepat kerana 2 prinsip: Beriman kepada Allah dan Beriman kepada Hari Akhirat. Dan 2 konsep: Taqwa, Adil dan Rahmat terhadap semua.

5.1 Bertunjangkan Aqidah Tauhid (Beriman kepada Allah)

Aqidah tauhid mengesakan Allah sahaja, tuhan yang diibadatkan kepada-Nya dengan jasad, roh dan akal. Aqidah ini menjadikan manusia itu tidak berlagak menjadi tuhan apabila berkuasa memerintah negara, diberi nikmat kehidupan berpangkat atau berharta.

Dengan tegas, aqidah tauhid menolak kesyirikan secara menyeluruh. Bukan sahaja diharamkan beribadat menyembah berhala atau patung, termasuk juga diharamkan menyembah makhluk yang lain dan sesama manusia serta tidak mengadakan undang-undang sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah.  

Maka Islam menolak diktator yang bertuhankan pemimpin individu atau bertuhankan kelompok.  Islam menolak bertuhankan rakyat tanpa hidayah yang bertopengkan demokrasi yang kononnya suara rakyat adalah suara keramat, seperti tuhan yang diwarisi daripada demokrasi purba tetapi rakyat yang ditipu.

Islam juga menolak teokrasi yang bertuhankan agamawan yang bertopengkan agama. Semuanya menjadikan dirinya seperti tuhan atau memilih wakil rakyat secara menipu rakyat dan menjadikan rakyat sebagai hamba.

Islam juga menolak ideologi yang bertuhankan harta, tiba-tiba segala khazanah negara menjadi miliknya, boleh diambil dengan apa jua cara sekalipun dan menggunakannya tanpa batas sempadan halal dan haram, sama ada secara Liberal Kapitalis atau Komunis dan Sosialis.     

Aqidah Islam menjadikan tidak ada manusia yang boleh mengatasi undang-undang termasuk raja-raja atau ketua negara sehingga mengharamkan mereka berlagak menjadi tuhan, walaupun dia seorang Rasul.

Allah berfirman:

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤۡتِيَهُ ٱللَّهُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحُكۡمَ وَٱلنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُواْ عِبَادٗا لِّي مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلَٰكِن كُونُواْ رَبَّٰنِيِّۧنَ بِمَا كُنتُمۡ تُعَلِّمُونَ ٱلۡكِتَٰبَ وَبِمَا كُنتُمۡ تَدۡرُسُونَ ٧٩

Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya dia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyyin (yang hanya menyembah Allah Taala dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu dan kerana kamu selalu mempelajarinya”)”. (Surah Ali-Imran: 79)

Firman Allah:

ٱتَّخَذُوٓاْ أَحۡبَارَهُمۡ وَرُهۡبَٰنَهُمۡ أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلۡمَسِيحَ ٱبۡنَ مَرۡيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُوٓاْ إِلَٰهٗا وَٰحِدٗاۖ لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۚ سُبۡحَٰنَهُۥ عَمَّا يُشۡرِكُونَ ٣١

Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai tuhan-tuhan selain daripada Allah dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih Ibni Mariam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.” (Surah At-Taubah: 31)

Firman Allah:

أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١

Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian) dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.)” (Surah As-Syura: 21)

Aqidah beriman kepada Allah menjadikan politik, ekonomi dan segala urusan manusia tunduk kepada perintah Allah yang wajib bersifat adil.

5.2 Beriman kepada Hari Akhirat

Adapun aqidah beriman kepada Hari Akhirat menjadikan semua tindak tanduk manusia tanpa mengira sesiapa, tetap ada perhitungan dosa dan pahala, yang menentukannya mengikut hisab amalannya.

Maka yang terlepas daripada dihukum di dunia kerana kedudukannya yang bijak menipu atau dapat mengatasi undang-undang kerana kuasanya, menjadikan imannya tetap percaya adalah tidak terlepas dari hukuman di Hari Akhirat yang lebih berat.

Firman Allah:

يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا

(Ingatlah) Hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya (suratan amal , atau nabi atau pemimpin) ; kemudian sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita) dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun.)” (Surah Al-Isra’: 71)

Firman Allah:

وَعُرِضُوا عَلَىٰ رَبِّكَ صَفًّا لَّقَدْ جِئْتُمُونَا كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ ۚ بَلْ زَعَمْتُمْ أَلَّن نَّجْعَلَ لَكُم مَّوْعِدًا (48) وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا (49(

Dan mereka tetap akan dibawa mengadap Tuhanmu dengan berbaris teratur, (sambil dikatakan kepada mereka): Kamu sekarang telah datang kepada Kami (berseorangan) sebagaimana Kami telah jadikan kamu pada mulanya; bahkan kamu dahulu menyangka, bahawa kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa yang tertentu (untuk melaksanakan apa yang Kami telah janjikan). (48) Dan Kitab-kitab Amal juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya dan mereka akan berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya) dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun (49)”. (Surah Al-Kahfi: 48-49)

5.3 Konsep Taqwa Dalam Bernegara

Konsep taqwa menggantikan kebanggaan terhadap asabiyah bangsa, kaum, jantina, warna kulit, pangkat dan harta. Taqwa menjadikan manusia bermasyarakat madani secara istiqamah dan tidak boleh melakukan sewenang-wenangnya kerana perbezaan bangsa, agama, harta, keturunan, pangkat dan jantina.

Firman Allah:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat: 13)

5.4 Pemerintahan Adil dan Rahmat Kepada Semua

Konsep adil dalam Islam yang lahir daripada konsep taqwa adalah mutlak terhadap semua dan segala aspek kehidupan manusia, termasuk adil terhadap musuh sehingga dikaitkan dengan konsep taqwa. Perkara ini dinyatakan oleh firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ (8)

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan). (Surah Al-Maidah: 8)

Inilah konsep dan falsafah bernegara yang menjadi idaman untuk kita capai sebagai satu wawasan yang berterusan hingga ke Hari Kiamat.

6.0 Khatimah

Ketahuilah bahawa Allah yang Maha Berkuasa dengan kun fayakun كن فيكون .

Allah menegaskan Maha Kebijaksanaan-Nya mencipta alam yang sistematik memakan masa, menandakan sifat kebesaran-Nya bukan kelemahan-Nya:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا ثُمَّ اسْتَوَىٰ إِلَى السَّمَاءِ فَسَوَّاهُنَّ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ (29)

“Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian ia menuju dengan kehendak-Nya ke arah  langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna. Dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”. (Surah Al-Baqarah: 29)

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَىٰ عَلَى الْعَرْشِ مَا لَكُم مِّن دُونِهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا شَفِيعٍ أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ (4) يُدَبِّرُ الْأَمْرَ مِنَ السَّمَاءِ إِلَى الْأَرْضِ ثُمَّ يَعْرُجُ إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ أَلْفَ سَنَةٍ مِّمَّا تَعُدُّونَ (5) ذَٰلِكَ عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ (6)

“Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam hari (mengikut perhitungan masa di sisiNya), kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arasy. Kalian tidak akan beroleh sebarang Penolong dan Pemberi Syafaat selain dari Allah. Oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredhaanNya). (4); Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya (bagi melaksanakan tadbirNya itu maka Dia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi. Kemudian diangkat naik kepada pengetahuannya (segala yang berlaku dari pelaksanaan tadbir-Nya itu untuk dihakimi-Nya) pada suatu masa yang kadar harinya seribu tahun menurut hitungan masa kamu yang biasa. (5); Demikian itu sifatnya ialah Tuhan Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani”. (6) (Surah As-Sajdah: 4-6)

Sabda Rasulullah S.A.W.:

التأني من الله والعجلة من الشيطان. (رواه أبو يعلى والبيهقي)

“Bersikap teliti walaupun ia memakan masa itu adalah daripada Allah dan sikap gopoh itu daripada syaitan”.  (Riwayat Abu Ya’la dan Al-Baihaqi)

 

“Islam Memimpin”

 

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

(Kertas Kerja ini telah dibentangkan dalam Ijtima’ Ulama’ Dan Umara’ Aceh Darussalam pada 12 Muharram 1440H / 22 September 2018)