Home Kenyataan Media Dewan Ulamak PAS Pusat

Bermunajat Mohon Pertolongan Allah Membantu PAS

272 views
SHARE

BERMUNAJAT MOHON PERTOLONGAN ALLAH MEMBANTU PAS

1. Situasi hari ini menyaksikan PAS diserang segenap sudut. Malah fitnah yang dilontarkan oleh pihak lawan juga tidak pernah berhenti sehingga seolah-olah mereka hilang pedoman pahala dan dosa dalam pertimbangan politik masa kini. Inilah sunnatullah ke atas perjuangan Islam. Ia sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” [Al-Ankabut: 3]

2. Di saat ujian bertimpa-timpa ke atas PAS, seruan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang kepada seluruh pimpinan dan jentera untuk bermunajat. Ia mengingatkan para pejuang Islam kepada teras kekuatan dalam perjuangan antara haq dan batil adalah kembali kepada Allah. Itulah kekuatan utama bagi meraih nusrah Allah SWT ke atas hamba-hamba-NYA yang sabar menghadapi mehnah dan pelbagai fitnah. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.” [Al-Baqarah: 153]

3. Inilah juga anjuran melalui teladan yang mulia Nabi Muhammad SAW menerusi hadits Baginda SAW:

مَنْ كَانَتْ لَهُ حَاجَةٌ إِلَى اللَّهِ أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ خَلْقِهِ فَلْيَتَوَضَّأْ وَلْيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai sebarang hajat kepada Allah atau kepada salah seorang daripada makhluk-Nya, maka hendaklah dia berwuduk dan kemudiannya solat dua rakaat.” [Riwayat Ibn Majah]

4. Justeru, saya menyeru seluruh Dewan Ulamak PAS Negeri/Wilayah Persekutuan serta para alim ulama di semua peringkat untuk memimpin munajat di lokasi masing-masing. Semoga dengan keselarasan tindakan dan kekuatan munajat yang dilaksanakan di semua peringkat mendapat perkenan daripada Allah SWT agar diberikan keselamatan kepada PAS semua pimpinan, jentera dan penyokongnya serta diteguhkan keyakinan berada di atas jalan kebenaran yang diterajui oleh PAS di persada politik tanah air ini.

“Islam Memimpin”

“Islam Jalan Penyelesaian”

USTAZ DATO’ DR. HAJI MAHFODZ MOHAMED
Ketua
Dewan Ulamak PAS Pusat

24 Jumada Al-Tsani 1440 / 1 Mac 2019