Minda Presiden PAS
BERISTIQAMAH BERSAMA ISLAM MEMPERKASAKAN PAS
Semua pihak dapat menyaksikan sendiri sejarah PAS sebagai sebuah parti yang paling berpengalaman dalam mengadakan persefahaman dengan semua parti daripada pelbagai aliran, pendekatan dan ideologi. Bermula dengan parti paling kanan seperti UMNO, dan pecahannya seperti Parti Negara, Parti Semangat 46 sehinggalah parti paling kiri yang berfahaman sosialis.
PAS gagal dihancurkan oleh mereka yang paling ekstrem dan tidak terkebelakang disebabkan bergantung kepada kalangan mereka yang paling liberal dan lemah istiqamahnya. Sehinggakan, ditumpang oleh kalangan mereka yang paling bersikap oportunis.
Kehilangan parti lain dalam persada politik bukanlah berpunca daripada pengkhianatan yang dilakukan oleh PAS, tetapi disebabkan oleh kerapuhan ideologi mereka sendiri. Sebaliknya, PAS terus maju ke hadapan tanpa terjejas dengan pasang surut dalam menghadapi pilihan raya.
PAS tidak pernah kecewa dalam perjuangan atau hilang perhitungan politiknya dengan sebab kekalahan Pilihan Raya Umum, sama ada pada peringkat Parlimen, Negeri mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN). Sekalipun, pernah hilang wang pertaruhannya atau terdapat ahlinya yang tercicir dalam perjalanan.
Namun, ahlinya tetap bertambah, manakala kawasan dan cawangannya pula semakin meningkat, bahkan gerak kerjanya terus maju ke hadapan. Hal ini demikian kerana, aqidah perjuangan Islam yang dianuti sangat teguh dan kuat, sehingga ia terpahat dalam perlembagaannya dan ditanam dalam hati ahlinya yang setia. Firman Allah SWT:
أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلٗا كَلِمَةٗ طَيِّبَةٗ كَشَجَرَةٖ طَيِّبَةٍ أَصۡلُهَا ثَابِتٞ وَفَرۡعُهَا فِي ٱلسَّمَآءِ تُؤۡتِيٓ أُكُلَهَا كُلَّ حِينِۢ بِإِذۡنِ رَبِّهَاۗ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَذَكَّرُونَ وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبِيثَةٖ كَشَجَرَةٍ خَبِيثَةٍ ٱجۡتُثَّتۡ مِن فَوۡقِ ٱلۡأَرۡضِ مَا لَهَا مِن قَرَارٖ يُثَبِّتُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِٱلۡقَوۡلِ ٱلثَّابِتِ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِۖ وَيُضِلُّ ٱللَّهُ ٱلظَّٰلِمِينَۚ وَيَفۡعَلُ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ
“Tidakkah kamu memperhatikan (wahai Muhammad) bagaimana Allah telah membuat satu perumpamaan, iaitu kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akar tunjangnya tetap teguh, dan cabangnya (menjulang) ke langit. (24); Pohon itu mengeluarkan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia, supaya mereka selalu beringat. (25); Dan perumpamaan kalimah yang buruk samalah seperti pohon yang buruk (yang tidak berguna), pohon yang mudah tercabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) untuk hidup sedikit pun. (26); Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim; dan Allah berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya. (27)” (Surah Ibrahim: 24-27)
PAS terus bangkit semula selepas hilang Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 1978 apabila hanya tinggal dua kerusi DUN sahaja ketika itu. Selain itu, PAS juga pernah beberapa kali rebah di Terengganu sejak tahun 60-an, namun tidak pernah tersungkur tetapi berulang kali bangkit semula.
Begitu juga situasi yang dihadapi di Kedah, malah PAS sudah mempunyai kerusi DUN di Johor yang merupakan negeri di mana UMNO diperanakkan. Bahkan, pernah dahulu PAS diharamkan ke Johor, walaupun ketika itu PAS bersama Barisan Nasional (BN) sewaktu gabungan tersebut ditubuhkan pada tahun 1974.
PAS sering kali bersama-sama menyelamatkan negara dan rakyat daripada bahaya, seperti menyokong penggubalan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menentang ancaman Komunis, walaupun PAS pernah dicekik dengan akta tersebut dan ahlinya turut terkorban. Walau bagaimanapun, PAS sekali-kali tidak lemah.
PAS juga menyelamatkan negara apabila bersama-sama menubuhkan Barisan Nasional (BN) selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969. Hal ini disebabkan gabungan Parti Perikatan sudah tidak relevan lagi dalam konteks masyarakat majmuk pada waktu itu.
Adapun UMNO yang tersungkur di Singapura pula terus berkubur di sana, dan tersingkirnya Singapura daripada bersama Malaysia merupakan dosa UMNO. Namun, PAS tidak pernah sekali-kali berputus asa untuk menyelamatkan keadaan, walaupun beberapa kali bersama UMNO yang masih lagi tidak insaf terhadap kesilapannya, tetapi masih mahu memaksa PAS dengan pendekatannya yang salah.
Terang lagi bersuluh hari ini bahawa PAS mahu mengembalikan UMNO ke pangkal jalan perpaduan umat Melayu dan Islam mengikut acuan Islam. Pada masa yang sama, tidak meninggalkan mana-mana golongan yang tercicir dan bersama masyarakat majmuk dalam gagasan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Akan tetapi, UMNO masih lagi membawa pendekatan ‘asabiyyah Melayu yang hanya melibatkan UMNO dan PAS sahaja serta meminggirkan sahabatnya sendiri daripada kalangan BERSATU. Dalam pada itu, turut meminggirkan masyarakat majmuk yang telah gagal melalui pendekatan BN yang sudah tidak relevan lagi hari ini. Semua mengetahui mengapa UMNO mahukan PAS sahaja dan PAS sekali-kali tidak boleh diperbodohkan dalam politik yang sempit.
Dalam pendekatan yang berjaya menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, PAS terlebih dahulu mengadakan hubungan dengan BERSATU yang ketika itu masih berada dalam kerajaan, sebelum UMNO turut bersama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 baru sahaja berlangsung. Demikian itu disebabkan oleh kedudukan sebahagian pemimpin BERSATU sebelumnya bersama UMNO yang bertindak keluar daripada parti itu, ketika UMNO sedang bermasalah dalam pentadbiran kerajaannya sehingga jatuh kerajaan itu.
PAS menolak tawaran untuk bersama PH yang salah hala tujunya. Malah, tidak bersama UMNO melalui pendekatan BN yang telah bocor bahteranya kerana PAS tidak mahu tenggelam bersama mereka.
Walaupun terdapat segelintir ahli PAS yang digoda supaya mengubah ‘road map’ dan hala tuju PAS, namun yang tergoda itu akan kembali ke pangkal jalannya, atau terpelanting jatuh disambar jerung, atau tenggelam dalam gelombangnya sepertimana mereka yang pernah melakukannya dahulu.
Namun, para pemimpin yang setia kepada perjuangan PAS dan ahli-ahli yang memberikan wala’ dan taat secara tidak membabi buta, terus melayari bahteranya hingga sampai ke destinasi dengan izin Allah SWT. Perkara ini adalah berdasarkan pegangan kepada pesanan Allah SWT yang berfirman:
لَوۡ كَانَ عَرَضٗا قَرِيبٗا وَسَفَرٗا قَاصِدٗا لَّٱتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنۢ بَعُدَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلشُّقَّةُۚ وَسَيَحۡلِفُونَ بِٱللَّهِ لَوِ ٱسۡتَطَعۡنَا لَخَرَجۡنَا مَعَكُمۡ يُهۡلِكُونَ أَنفُسَهُمۡ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ إِنَّهُمۡ لَكَٰذِبُونَ عَفَا ٱللَّهُ عَنكَ لِمَ أَذِنتَ لَهُمۡ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكَ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَتَعۡلَمَ ٱلۡكَٰذِبِينَ
“Kalau apa yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan satu perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka itu akan mengikutimu; tetapi tempat yang hendak dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: ‘Kalau kami sanggup, tentulah kami akan berangkat bersamamu.’ (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta. (42); Semoga Allah memaafkanmu (wahai Muhammad). Mengapa kamu mengizinkan mereka (untuk tidak pergi berperang), sebelum jelas bagimu orang-orang yang benar (dalam keuzurannya) dan sebelum kamu mengetahui orang-orang yang berdusta? (43)” (Surah al-Tawbah: 42-43)
PAS yakin bahawa mereka yang mengkhianati baiah mereka kepada PAS pasti akan menerima akibatnya kerana mempercayai firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ ٱللَّهَ يَدُ ٱللَّهِ فَوۡقَ أَيۡدِيهِمۡۚ فَمَن نَّكَثَ فَإِنَّمَا يَنكُثُ عَلَىٰ نَفۡسِهِۦۖ وَمَنۡ أَوۡفَىٰ بِمَا عَٰهَدَ عَلَيۡهُ ٱللَّهَ فَسَيُؤۡتِيهِ أَجۡرًا عَظِيمٗا
“Sesungguhnya orang-orang yang memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad), sesungguhnya mereka memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka (yang memberikan baiah itu). Oleh itu, sesiapa yang melanggar janji setianya, maka akibat daripada pelanggaran janji itu hanya akan menimpa dirinya sendiri; dan sesiapa yang menepati janji setianya kepada Allah, maka Allah akan memberikan kepadanya pahala yang besar.” (Surah al-Fath: 10)
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 30 Jumada al-Akhirah 1443 / 2 Februari 2022