PAS Kelantan bersedia memberi ruang sehingga sebulan untuk Parti Amanah Negara (PAN) mengosongkan bangunan yang menempatkan Pusat Khidmat Dun Salor dekat sini.
Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, pihaknya tidak berhasrat menghalau parti itu keluar dari bangunan berkenaan.“Bagaimanapun pihak mereka (PAN) perlu mengosongkan bangunan itu sebagaimana notis sebulan yang diberikan.
“Sebagai sebuah parti yang Amanah, mereka kena buktikanlah amanah mereka tu,”ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco di sini hari ini ketika diminta mengulas berkaitan perkembangan bangunan itu.
Nasruddin berkata, pihaknya yakin parti itu akan mengosongkan bangunan berkenaan.
“Dia parti Amanah, jadi kena amanahlah. Kepunyaan orang kena bagi balik,” katanya.
Ketika ditanya berhubung keengganan parti itu untuk mengosongkan bangunan berkenaan, Nassuruddin berkata, pihaknya juga tidak meminta mereka mengosongkan bangunan itu sekarang.
“Kita tak usir, dia kena keluar lah bila sampai tempoh dia. Tidak ada masalah dia nak bawa ke mahkamah pun, kita berdepan di mahkamah,” katanya.
Baru-baru ini Harakahdaily menyiarkan pemindahan milik hartanah yang menempatkan Pusat Khidmat Dun Salor itu berlaku selepas pemiliknya menjual lot terbabit kepada pihak lain.
Difahamkan penjualan dibuat bagi menyelesaikan urusan tuntutan pusaka dan perkara lain yang berkaitan.
Oleh itu tidak timbul dakwaan Adun Salor, Datuk Husam Musa dihalau keluar daripada bangunan tersebut memandangkan pemimpin PAN itu bukan pemilik hartanah terbabit.– HARAKAHDAILY 25/10/2017