Home Berita PAS Pahang

Beras Putih Madani tidak menyelesaikan masalah rakyat

101
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 19 Feb – “Dengan adanya Beras Putih Malaysia Madani ni, ia tak mampu menyelesaikan masalah kos hidup rakyat, ia cuma hanya selesaikan beras ada di pasaran yang sekarang ini pun beras import ada di pasaran, beras tempatan je hilang.

“Kemana menghilangnya beras tempatan yang selama ini puluhan tahun dah tiada masalah tetapi tiba-tiba hilang dan kenapa tiba-tiba tidak boleh diselesaikan,”

Begitulah kata-kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah Andansura Rabu melalui satu kenyataan media di Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Beras tersebut telah diumumkan oleh kerajaan sebagai menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara.

Menurut Andansura, isu beras tempatan telah berlarutan hampir setahun, namun kerajaan masih membisu tanpa ada langkah-langkah diambil untuk mengatasi masalahnya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang mengingatkan beras tempatan ini mampu dibeli oleh mereka yang berpendapatan rendah.

“Bila diumumkan tiada lagi beras tempatan dan beras import hanya dikenali sebagai Beras Putih Madani menimbulkan banyak persoalan.

“Kerajaan perlu memperincikan status Beras Putih Malaysia Madani sama ada ia merupakan beras tempatan atau beras import atau beras campuran tempatan dan import.

“Kalau gabungan campuran, kita nak tahu berapa peratus kandungannya, tetapi kalau sekiranya tempatan itu 90 peratus atau 20 peratus sahaja import, dia tak sepatutnya dinaikkan sampai RM30, tapi kalau sekiranya 100 peratus import, bolehlah dipersetujui,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau juga menimbulkan persoalan siapakah yang akan menguasai perbekalan Beras Putih Malaysia Madani.

“Syarikat mana yang akan menguasai pembekalannya, syarikat mana yang diberi lesen untuk membungkus dan pemantauan pembungkusan antara gabungan beras tempatan dan beras import tersebut dan siapa yang akan memberikan lesen dan pemantauannya.

“Pemantauannya supaya kadar yang ditetapkan itu mengikut apa yang sepatutnya, tidak berlaku penyelewengan dari sudut tindakan pembekal-pembekal.

“Kita juga ingin mengetahui kerajaan perlu keluarkan kertas putih di atas usaha-usaha yang mereka buat supaya isu beras yang merupakan keperluan utama rakyat ini tidak menjadi bahan ugutan kepada mana-mana kartel ataupun pihak yang ada kepentingan di masa hadapan,” tambah beliau lagi.

Justeru beliau mengharapkan agar Menteri Ekonomi yang kononnya ada banyak formula dapat menyelesaikan isu beras ini.

Tanya beliau dalam persidangan tersebut, adakah penyelesaiannya sekadar mengeluarkan kenyataan kalau beras mahal jangan makan nasi, adakah itu jawapannya.