Oleh:Wan Aziezan
Satu Bengkel Asas Grooming telah dianjurkan buat julung kalinya oleh Ameerah Bangi bertempat di Butik Uswah pada 28 Oktober 2018 yang lalu.
Bengkel ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada golongan wanita kaedah penampilan diri yang berlandaskan syariat Islam supaya kelihatan lebih berkeyakinan di khalayak ramai. Bengkel ini juga mendedahkan kaedah menaikkan seri wajah supaya tidak kelihatan kusam dan tidak bermaya.
Menurut Ketua Muslimat Bangi, Puan Hamsatul Hamzah yang hadir dalam merasmikan bengkel berkenaan, program sebegini sangat wajar dianjurkan supaya wanita tahu cara berhias dengan betul dan sesuai dengan wajah mereka.
“Islam bukanlah satu agama yang terlalu rigid. Ia mempunyai batas dan sempadan yang perlu dipatuhi penganutnya. Dalam pemilihan solekan, wanita perlu bijak memilih agar nampak manis dan tidak berlebih-lebihan. Ia perlu berada di dalam kerangka syariat yang digariskan oleh agama Islam.”
“Imej yang baik dan wajah yang berseri juga mampu meningkatkan keyakinan diri wanita dalam berurusan dengan orang ramai. Ini mampu menampilkan keizzahan wanita Islam itu sendiri ” tambah beliau.
Bengkel yang mengujakan ini telah disampaikan oleh Puan Kareemah Harun, salah seorang konsultan imej berpengalaman di Seanggun Bidadari dan mendapat respon positif dari peserta yang hadir.