Home Berita PAS Terengganu

Belasungkawa Pejuang Royalti Terengganu

52
SHARE

Oleh: Aeman

Pagi ini kita dikejutkan dengan berita duka yang amat meruntun hati, seorang tokoh pejuang yang sangat dihormati di Terengganu, En Che Salmi Ibrahim, Pengarah Urusan Sabasun HyperRuncit, telah kembali ke rahmatullah akibat penyakit kanser. Beliau merupakan tulang belakang kepada perjuangan Mengembalikan Royalti Terengganu atau ‘R’. Pemergian almarhum meninggalkan kekosongan yang sukar diisi dan memori indah yang akan kekal terpahat dalam sanubari kita semua.

Almarhum En Che Salmi Ibrahim adalah seorang individu yang penuh dengan semangat juang yang tinggi dalam membela hak rakyat Terengganu. Kata-kata beliau yang sering terngiang-ngiang di telinga ini ialah, “Kita kena semangat perjuang hak rakyat kita sendiri, jika bukan kita siapa nak buat.” Kata-kata ini bukan hanya sekadar retorik, tetapi menjadi cerminan nyata akan komitmen dan keberanian beliau dalam memperjuangkan hak rakyat Terengganu.

Keperibadian beliau yang rendah hati dan tidak pernah mengenal erti penat lelah dalam memperjuangkan hak rakyat amat disegani oleh semua. Almarhum adalah individu yang sentiasa berada di hadapan dalam perjuangan ‘R’. Beliau bukan sahaja memberi ruang pejabatnya di Sabasun sebagai tempat mesyuarat, tetapi juga menubuhkan Band ‘R’ dalam masa yang sama mencipta lagu Royalti untuk menyemarakkan semangat perjuangan ini. Setiap bait lirik yang dicipta oleh beliau menyentuh hati dan jiwa rakyat Terengganu, menyemarakkan semangat perjuangan yang membara dalam diri setiap pendengar.

Tidak cukup dengan itu, almarhum sering turun ke setiap jelajah yang dianjurkan ‘R’, bagi membuat persembahan untuk meraih sokongan daripada rakyat. Beliau tidak memilih tempat dan masa, setiap peluang digunakan untuk menyampaikan mesej perjuangan. Usaha beliau tidak sia-sia, kerana beliau berjaya menggerakkan sokongan yang padu dari rakyat Terengganu terhadap perjuangan ‘R’. Almarhum juga tidak keberatan mengeluarkan sumbangan wang ringgitnya sendiri sebagai bukti komitmen dan kesungguhan beliau dalam memastikan perjuangan ini terus hidup dan berkembang.

Setelah kematian almarhum Cikgu Fauzi Abu Samah, pengerusi NGO ‘R’ tujuh tahun yang lalu, kini En Che Salmi pula dijemput Ilahi. Kehilangan ini dirasakan amat perit kerana kedua-dua tokoh ini adalah pejuang yang gigih dalam memperjuangkan isu rakyat dan negeri Terengganu, khususnya menuntut royalti petroleum Terengganu yang diterajui oleh Sekretariat Royalti Terengganu ‘R’ di bawah pimpinan almarhum Cikgu Mohamad Fauzi Abu Samah.

Perjuangan almarhum En Che Salmi yang dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Gerakan NGO ‘R’ pada ketika itu mewakili peniaga, pemborong, pengedar, dan peruncit Terengganu yang mahukan keadilan kepada rakyat Terengganu dalam menuntut bayaran royalti minyak Terengganu. Turut bersama Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, penasihat ‘R’, Datuk Raja Bahrin, YB Hj Ahmad Amzad, Yb Senator Cg Husin Ismail, Hj Sazali Ismail, dan beberapa individu lain dalam mobilisasi geraka rakyat memperlihatkan dedikasi dan komitmen yang tidak berbelah bagi terhadap perjuangan menuntut hak dan keadilan untuk rakyat Terengganu. Malahan di hadapan mata almarhum sendiri, beliau menyaksikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dulu menandatangani replika cek menyatakan sokongan pembayaran royalti Terengganu sebanyak 20% ketika program Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kemaman. Namun kini janji itu dikhianati dengan pelbagai alasan.

Kehilangan En Che Salmi Ibrahim pastinya dirasai oleh semua yang mengenali beliau. Beliau bukan sahaja seorang pemimpin yang berwibawa, tetapi juga seorang sahabat yang setia, seorang suami dan ayah yang penyayang. Semoga semangat almarhum menjadi pemangkin kepada kami untuk meneruskan legasi perjuangan yang ditinggalkan. Kami berjanji akan meneruskan perjuangan ini dengan penuh semangat dan dedikasi, seperti mana yang telah beliau tunjukkan kepada kami.

Kepada keluarga almarhum, kami mengucapkan takziah dan semoga kalian tabah menghadapi dugaan ini. Kehilangan seorang insan yang begitu istimewa pastinya sukar dihadapi, namun percayalah bahawa jasa dan pengorbanan beliau akan terus dikenang dan dihargai oleh semua.

Berehatlah sahabat, semoga engkau menuai kebaktianmu di dunia yang abadi. Jasamu tetap dikenang, semangatmu terus menjadi inspirasi kepada kami semua. Semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para solihin. Amin.