Home Berita PAS Terengganu

Belanjawan 2025 : Rakyat mahu pelancongan diperkasa jana ekonomi

39
SHARE

KUALA TERENGGANU – Menjelang pembentangan Belanjawan 2025 (Terengganu) pada 18 November depan, rata-rata rakyat mahu Kerajaan Negeri menjana ekonomi baharu dengan memperkasakan sektor pelancongan.

Pandangan itu dilontarkan berdasarkan situasi Terengganu yang kini menjadi destinasi pilihan utama rakyat Malaysia.

Menurut seorang rakyat Terengganu, Zulfakri Amin Manaf, peluang berkenaan yang ada pada waktu ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk mencari alternatif terbaik bagi memastikan Kerajaan Negeri akan terus berperanan membantu rakyat di saat royalti dinafikan.

“Jadi saya mengharapkan belanjawan pada kali ini akan ada pengumuman untuk menaik taraf sektor pelancongan.

“Berdasarkan pengamatan saya untuk tahun 2024 ini, sektor pelancongan menunjujkkan peningkatkan, alhamdulillah, sebab kita menerima pelancong yang ramai jadi perlu ambil kesempatan ini dengan apa jua cara bagi memastikan ia akan menjana peluang pendapatan untuk orang Terengganu,” ujarnya.

Dia yang juga merupakan peniaga Pasar Chabang tiga berkata demikian ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut katanya, dari segi memajukan pembangunan dengan mewujudkan bangunan-bangunan bersaiz besar katanya ia tidak menjadi keperluan di negeri ini.

“Dari segi binaan bangunan-bangunan atau pasar raya saya rasa tidak perlu kerana orang datang ke negeri ini pada kebiasaan mereka hendak ‘healing’ lari daripada kesibukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdullah Ibrahim pula menyuarakan perasaan bimbang dengan hala tuju kerajaan Malaysia hari ini dilihat tidak mampu dan masih belum memiliki langkah penyelesaian terbaik bagi menoktahkan kemelut kos sara hidup yang kian meningkat.

“Walaupun saya peniaga tetapi saya dapat rasakan yang rakyat sangat tertekan dengan kenaikan harga barang, misalnya saya sendiri berniaga santan dahulunya yang dijual pada harga RM10 sekilogram tetapi kini terpaksa dijual RM14 bagi sekilogram.

“Bayangkan harga kelapa yang dahulu dibeli daripada pembekal RM2.00 sekarang mencecah RM2.70 sebiji, keadaan ini sudah tentu membebankan para pemberi,” katanya yang mengharapkan Kerajaan Negeri menampung kelompongan itu.

Sementara itu seorang anak muda, Mohd Arif Raidi pula berharap pembentangan belanjawan oleh Kerajaan Negeri pada kali ini tidak mengabaikan aspek pembangunan belia dan beliawanis negeri ini.

“Insya-Allah dengan perhatian dan fokus yang diberikan akan menjadi pendorong untuk kami menjadi modal insan yang baik untuk negeri Terengganu selayaknya sebagai aset yang berperanan menyumbang kemajuan kepada negeri ini secara khusus dan Malaysia secara amnya,” katanya.