Home Berita PAS Pahang

Belajarlah ilmu sebelum lenyap dari sisi umat Islam

40
SHARE

Oleh: KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 16 Dis : Sidang As-Sabiqun PAS Kawasan Bentong mengambil tanggungjawab fardhu kifayah menganjurkan sebuah program bermanfaat berkait ilmu harta pusaka atau faraid sebagai persediaan awal sebelum ia hilang lenyap dari sisi umat islam.

Bertempat di Markas PAS Cawangan Taman Kolej, program julung kali diadakan ini berjaya dilaksana sejurus lantikan ahli jawatankuasa baharu sesi 2023/2025 dalam mesyuarat pertama sidang itu, baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi Sidang As-Sabiqun PAS Bentong, Ustaz Abdul Hamid Bahatim berkata, program ini amat penting dan berguna kerana ia memberi pendedahan tentang kepentingan ilmu perancangan harta dan pengurusan harta pusaka.

“Ilmu paling awal diangkat Allah hilang dari umat Islam. Inilah dia, ilmu harta pusaka. Tiada orang dalam dunia ni tiada harta, semua orang ada biarpun sikit.

“Harta ni bukan sekadar wang ringgit; rumah, kereta, barang-barang, semua yang kita punya itulah harta kita. Justeru kita kena ada ilmu untuk mengurusnya bila kita mati nanti,” ujar beliau mewakili Pengerusi Sidang Assabiqun PAS Bentong, Yatim Abu.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua (TYDP) PAS Bentong, Ustaz Ahmad Junaidi Ishak di dalam ucapannya mewakili YDP, Cikgu Khairuddin Abdullah turut mengingatkan peserta agar berhati-hati dengan persoalan harta benda.

Beliau memetik amaran Allah di dalam al Quran melalui ayat 34-35 surah at-Taubah, bahawa sesiapa yang menyimpan harta benda tetapi tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka mereka akan mendapat balasan dan azab seksa yang pedih.

“Harta kalau tidak digunakan, membazir. Ia memberi faedah jika diguna. Dalam Islam, harta wajib ada dua, satu sebagai maruah dan satu lagi untuk nafkah.

“Jaga maruah hukumnya wajib. Nak jaga maruah kena ada harta. Nafkah pula berkait dengan tanggungan. Jika ada tanggungan, maka kena ada nafkah. Allah marah andai manusia tidak belanjakan harta dia. Bila hidup gunakan harta untuk tujuan menjaga maruah dan nafkah. Bila mati, tinggal maruah. Di mana maruah?

“Maruah untuk si mati dan maruah untuk yang hidup. Di situlah gunanya harta. Apa yang ditinggalkan oleh si mati bukan untuk mengayakan tetapi untuk menjaga maruah orang yang hidup agar tidak menjadi buah mulut, dituduh merempat oleh orang sekeliling,” ujarnya.

Sesi ‘Taklimat Perancangan Harta dan Pengurusan Harta Pusaka’ ini telah disampaikan oleh Kapt Mohd. Salleh Mahat (B), Pengerus Agensi Hans Legasi Resourcers Sdn.Bhd dari Kuala Lumpur.

Program ini mendapat sambutan amat menggalakkan dengan kehadiran lebih tiga puluh orang peserta terdiri daripada saf kepimpinan PAS kawasan dan cawangan serta guru-guru PASTI sekitar Bentong. Sidang As-Sabiqun berhasrat memperluaskan perlaksanaan program seumpama ini ke DUN-DUN dalam kawasan Bentong sebagai salah satu cara dan usaha menjana dana dan menambah bilangan keahlian As-Sabiqun serta PAS Bentong sekaligus menawarkan peluang ‘pekerjaan’ kepada ahli sebagai perunding harta pusaka.