Home Berita PAS Pahang

Bekas Adun PAS Penor meninggal dunia

1029
SHARE

KUANTAN: Bekas Adun Penor (kini Inderapura) Hj Abdul Aziz Long, 83, yang mewakili PAS pada 1999-2004 kembali ke rahmatullah pada Sabtu di Pusat Perubatan UIA di sini di sisi isterinya Cikgu Norehan Ahmad serta anak-anak.

Menurut sahabatnya Hj Alang Ahmad, arwah yang juga bekas Pengerusi Majlis Guru-Guru Besar Negeri Pahang menderita pelbagai penyakit dan keuzuran sejak beberapa tahun lalu.

 

Jenazah dibawa ke masjid Taman Guru iaitu kariah arwah tinggal untuk dimandi dan disembahyangkan dan kemudiannya disemadikan di tanah perkuburan Kampung AC.

 

Abdul Aziz yang berasal dari Kampung Bangau Tanjung, Temerloh menang pertama kali dalam PRU tahun 1999 mewakili PAS mengalahkan penyandang Datuk Zainuddin Jumaat dari BN dengan majoriti terbesar iaitu 1,964 undi.

 

Selain arwah, pada tahun tersebut PAS melalui Barisan Alternatif buat pertama kali berjaya menghantar enam wakil ke dalam Dewan Undangan Negeri Pahang iaitu Ustaz Idris Omar (Semantan), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Jengka), Abdul Malik Yusuf (Tahan), Mejar Abdul Aziz Yaakob (Guai) dan Mohd Iqbal Hamdi Rusdi (Kuala Pahang). Keadilan pula melalui Mohd Jafri Rashid menang di Chini dan Leong Ngah Ngah (Dap) menang di Triang.

 

Semasa hayatnya, arwah sangat aktif dalam pelbagai pertubuhan dan kebajikan sosial.

 

Selain balu, arwah juga meninggalkan empat orang cahaya mata dengan satu lelaki dan tiga perempuan. Kesemua mereka berjaya melepasi menara gading dengan profesyen doktor, peguam dan arkitek.