Home Artikel PAS Wilayah

Batalkan Oktoberfest : Jaga Sensitiviti Umat Islam

1055
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN ULAMAK PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

BATALKAN OKTOBERFEST : JAGA SENSITIVITI UMAT ISLAM
(12 Oktober 2018)

 

1. Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) mendesak Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar tidak membenarkan penganjuran pesta arak Oktoberfest tanpa syarat. Bagi kami, pesta arak seperti Oktoberfest tidak diperlukan di negara ini dan kerajaan mesti bertindak tegas tanpa perlu kompromi dengan mana-mana pihak yang mahu menganjurkannya. Pesta Arak ‘Oktoberfest’ bukan cara mempromosi Malaysia, tetapi ia adalah cara untuk menghancurkan generasi dan merosakkan nama negara.

2. Tidak timbul soal kebimbangan penganjuran pesta itu dalam keadaan terkawal, bukan di khalayak ramai dan orang Islam tidak dibenarkan masuk ke pesta tersebut jika ia diharamkan terus. Walaupun orang bukan Islam tidak diharamkan meminum arak, tetapi tidak ada sebab pula untuk mereka mengadakan pesta arak walaupun di tempat tertutup. Sudah cukup ruang selama ini diberi kepada golongan bukan Islam meminum arak di premis mereka tanpa gangguan pihak berkuasa, dan negara Malaysia tidak memerlukan pesta untuk meraikannya.

3. Dalam hal ini, golongan peminum arak wajib menghormati sensitiviti umat Islam. Jika umat Islam amat menghormati golongan bukan Islam untuk membeli dan meminum arak, mengapa mereka tidak mahu menghormati orang Islam yang merasa terhina dengan penganjuran pesta arak di negara umat Islam seperti Malaysia? Bagaimana imej dan reputasi Malaysia yang disegani dan dihormati oleh dunia Islam, apabila mengetahui Malaysia sebagai salah sebuah penganjur pesta arak terhebat. Penganjur Oktoberfest patut menjaga keharmonian antara agama dan kaum di negara yang begitu baik terjalin selama ini, bukan bertindak sesuka hati mengikut nafsu.

4. Umum mengetahui bahawa kesan meminum arak akan mengakibatkan mabuk dan boleh membahayakan orang lain. Bayangkan pula jika ia diadakan secara pesta atau besar-besaran. Jika kejadian seperti rogol, perzinaan, jenayah berat seperti membunuh, memandu secara bahaya dan kemalangan berlaku disebabkan oleh meminum arak itu, alasan apakah yang hendak diberi bagi menangkis tragedi yang berlaku? Kerajaan perlu memikirkan kesan jangka panjang berbanding keseronokan mereka yang menyertainya mahupun keuntungan mereka yang menganjurkannya.

5. DUPWP ingin mengingatkan kerajaan agar menjiwai keperitan saudara serumpun dan negara jiran Indonesia yang diuji dengan gempa bumi dan Tsunami di Palu, Sulawesi. Kematian di daerah tersebut menjangkau 1,500 orang ketika ini. Di saat ramai sukarelawan Malaysia dan seluruh dunia berkejar membantu mereka yang terselamat, mengebumikan mayat dan menyelamatkan ribuan mangsa yang dalam kelaparan, kesusahan, menangisi kematian mengapa pula rakyat di negara ini perlu berpesta dengan arak dan hiburan yang melampau? Kita perlu bersikap prihatin dengan menghulurkan sumbangan dan bantuan, saling mengucapkan takziah selain bermuhasabah dan berdoa agar bencana alam tidak menimpa negara ini.

6. Yang dibimbangi adalah kemurkaan Allah di atas maksiat dan kemungkaran yang dilakukan. Sabda Rasulullah SAW:-
“Akan terjadi pada akhir umat ini ditelan bumi, dihapuskan begitu sahaja atau ditimpa gempa bumi. Siti Aisyah berkata: “Wahai Rasulullah, adakah kita semua akan binasa walaupun terdapat orang soleh?” Jawab baginda: “Ya, apabila kerosakan telah zahir” [HR Tirmizi]

Nabi SAW juga ada bersabda:
“Samada kamu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, ataupun Allah akan utuskan kepada kamu azab daripadanya.” [HR Tirmizi]

UST HJ MD ALI JAMIL
Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan