Home Kenyataan Media PAS Kedah

Barisan Nasional Terancam di Langkawi

385 views
SHARE

KENYATAAN PESURUHJAYA PAS KEDAH

BARISAN NASIONAL TERANCAM DI LANGKAWI.

1. Kehadiran Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak, ke Pulau Langkawi baru-baru ini dengan menjanjikan pelbagai bentuk tawaran kepada rakyat pulau tersebut menunjukkan kedudukan politik Barisan Nasional begitu terancam dan terdesak menjelang pilihanraya umum akan datang.

2. Rakyat begitu faham, antara tanda besar hampirnya pilihanraya adalah janji-janji pemimpin kerajaan yang manis dan indah indah, walhal realitinya janji-janji lama masih belum tertunai.

3. Apabila dengan bangganya Perdana Menteri Malaysia
mengumumkan peruntukan berjumlah RM1.315 bilion untuk lima projek baharu kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di Langkawi, rakyat Kedah tentu masih tertanya-tanya bilakah janji Barisan Nasional untuk melaksanakan projek-projek Ikonik seperti dijanjikan pada PRU lalu akan terlaksana.

4. Di antara janji yang dinantikan oleh rakyat Kedah adalah maklum balas tawaran peluang pekerjaan oleh Barisan Nasional dalam manifesto mereka apabila terlaksananya projek Bandaraya Getah, perlaksanaan agihan bantuan skim khairiat kepada waris si mati serta pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dan lain-lain lagi.

5.Adakah relevan dalam keadaan janji PRU lalu belum tertunai, tiba-tiba timbul janji baru iaitu pembinaan bangunan tambahan Hospital Langkawi bernilai RM500 juta, sedangkan rakyat Kedah terutama masyarakat Pendang akur bahawa Hospital Daerah Pendang yang pernah dijanji serta diluluskan pembinaannya pada tahun 2006, sehingga kini masih gagal dilaksanakan walau pun telah mencecah hampir 12 tahun.

6. Apakah Langkawi bakal menerima nasib seperti Pendang yang diibaratkan seperti menunggu buah yang tidak gugur berikutan janji Dato’ Seri Najib dengan jumlah peruntukan yang besar tidak mustahil akan berlakunya janji tinggal janji.

7. Seperkara lagi, PAS Kedah juga tertarik dan menyambut baik akan pengumuman menaik taraf infrastruktur bekalan air dan perumahan rakyat di Langkawi namun pihak kerajaan Persekutuan hendaklah mengambil tanggungjawab menyelesaikan pengstrukturan infrastruktur kemudahan air bagi rakyat seluruh negeri Kedah dan tidak tertumpu hanya di Langkawi atas semangat federalisma; di samping mencari jalan penyelesaian masalah perumahan rakyat tempatan.

8. Perkara yang amat dibimbangi oleh PAS Kedah adalah keluasan tanah bagi perumahan rakyat tempatan yang kian menyusut di Langkawi, kos sara hidup yang meningkat tanpa kawalan serta peningkatan gejala sosial yang berleluasa.

9.Justeru itu, PAS Kedah mendesak pihak kerajaan supaya meneliti cadangan struktur pembangunan material di Pulau Langkawi yang melibatkan syarikat gergasi antarabangsa, isu bekalan air, perumahan rakyat, agar ianya tidak berakhir dengan ungkapan janji ‘cakap tak serupa bikin’.

10.Perdana Menteri dan pemimpin Barisan Nasional juga diingatkan agar jangan memasang umpan memujuk hati rakyat untuk mengaburi tindakan dan polisi yang telah membawa kesan buruk terhadap rakyat demi menyambung survival politik mereka.

11. Sementara itu, rakyat juga diingatkan, jangan leka menangguk untung sehari sehingga melupakan kerugian yang terpaksa ditanggung untuk lima tahun lagi akan datang.

DR AHMAD FAKHRUDDIN BIN SHEIKH FAKHRURAZI
PESURUHJAYA PAS KEDAH
19 Februari 2018