Home Berita PAS Terengganu

Bantuan Khas YPU beri semangat kepada Pengusaha Bujuk Corner

4
SHARE

MARANG –  Zulkifli Ibrahim ataupun lebih dikenali sebagai Pak Zul salah seorang usahawan makanan di Terengganu melahirkan rasa teruja apabila terpilih menerima bantuan peralatan ‘Chiller’ daripada Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Ariffin Deraman.

Pak Zul yang menjadi perantau hampir 50 tahun telah memulakan perniagaannya, Bujuk Corner bermula 2021 membawa rasa masakan Johor di kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu.

“Alhamdulillah dengan bantuan Dato’ Ariffin itu, saya lebih bersemangat dalam bidang yang diusahakan ini, semoga rezeki saya dalam perniagaan yang diusahakan dipermudahkan lagi oleh Allah Taala,” katanya yang ditemui Ketika penyampaian Bantuan Khas  Pengerusi YPU Terengganu kepadanya baru-baru ini.

Menurutnya, dia tidak menyangka masakan Johor mendapat sambutan hangat daripada warga Terengganu.

“Setelah hampir 50 tahun merantau di seluruh negeri dan terakhir di Pasir Gudang, Johor Bahru, saya mula pulang ke kampung halaman.

“Di sana (Johor), selain bekerja di dalam sektor minyak dan gas, saya turut menjalankan perniagaan berasaskan produk makanan Terengganu seperti nasi dagang dan keropok lekor namun apabila pulang ke kampung halaman saya membawa pula resipi dari sana ke Terengganu seperti Mee Udang Muar, Mee Rebus Johor, Roti Kacang Pool dan sebagainya yang telah menerima sambutan menggalakkan dari warga sekitar,”

Dalam pada itu, Zulkifli turut berpesan kepada usahawan muda agar merebut peluang yang ada dalam bidang perniagaan.

“Saya ingin memberi semangat kepada anak muda terutamanya di Terengganu ini agar berusahalah kerana bidang perniagaan merupakan satu benda yang baik.

“Saya yakin kalau anak-anak muda mempunyai minat mendalam, Insyaallah YPU boleh membantu dengan sebaik-baiknya kerana pelbagai bantuan ditawarkan oleh YPU Terengganu termasuk pembiayaan,” katanya.