BANTUAN KEPADA PETUGAS BARISAN HADAPAN ‘FRONTLINER’ SEMPENA PKP 2.0
1. Khidmat Malaysia mengambil maklum tentang kesusahan dan kepayahan yang dihadapi oleh petugas barisan hadapan terutama mereka yang berada di hospital seperti doktor dan jururawat. Begitu juga dengan mereka yang bertugas di lapangan terutama anggota polis, anggota tentera dan ramai lagi yang terlibat sebagai petugas yang bertungkus-lumus menjaga negara dan membela nasib rakyat Malaysia. Kesusahan dan kepayahan ini merangkumi kehidupan para petugas barisan hadapan terutamanya permasalahan yang berkait dengan kehidupan harian mereka.
2. Di atas kesusahan dan kepayahan ini maka KM akan meneruskan semula usaha-usaha seperti di peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terdahulu yang mana akan menghulurkan bantuan kepada pihak hospital seperti pembekalan alatan PPE, peralatan yang diperlukan oleh petugas barisan hadapan dan pengagihan keperluan makanan bergantung kepada keperluan di setiap daerah tertentu.
3. Bagi memastikan bahawa tindakan yang akan dilaksanakan ini mencapai matlamatnya maka KM mengarahkan kepada setiap Khidmat Malaysia Negeri dan Kawasan untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci daripada setiap lokasi yang melibatkan petugas barisan hadapan seperti di Hospital dan Klinik Kerajaan bagi menyalurkan bantuan atau sumbangan yang diperlukan.
4. Dalam masa yang sama, usaha dan kempen membantu masyarakat hendaklah diteruskan di semua peringkat dan program seperti kempen Derma Darah yang digerakkan oleh Jabatan Amal Malaysia baru-baru ini boleh dijadikan sebagai contoh aktiviti yang benar-benar dapat membantu semua pihak.
5. Khidmat Malaysia akan terus konsisten untuk melaksanakan tugas dalam menguruskan aktiviti yang berkaitan dengan bencana dan kecemasan yang berlaku di dalam negara dan akan sentiasa mengikuti perkembangan semasa bagi tujuan ini.
Sekian, wassalam.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Ketua Pengarah
Khidmat Malaysia Pusat
23 Januari 2021