Home Berita PAS Pulau Pinang

#BanjirPulauPinang : PAS Permatang Pauh Kerah Seluruh Ahli Kawasan Turun Bantu Mangsa Banjir

877
SHARE

Penulis : Emizarina

PERMATANG PAUH | 6 November 2017

Hujan lebat yang turun tidak henti-henti sejak 4 November lepas mengakibatkan banjir hampir seluruh negeri Pulau Pinang. Kawasan Permatang yang meliputi tiga DUN iaitu Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti turut terjejas akibat banjir ini.

PAS Kawasan melalui jentera Dewan Pemuda , Dewan Muslimat dan Urusan Ulama’ mengembeling tenaga seawal hari pertama banjir melanda dengan membuka pusat bantuan banjirnya di Dewan Haji Zabidi, Kg. Pertama, Permatang Pauh.

Jabatan Amal Kawasan menjadi barisan hadapan gerakerja membantu mangsa-mangsa banjir dari segi agihan makanan rumah ke rumah, bantuan di jalan raya dan meredah air banjir untuk misi membantu mangsa-mangsa.

Pusat bantuan banjir kawasan bermula dengan penyediaan makanan tengahari dan malam sebanyak 200 bungkus pada hari pertama , dan ditambah pada hari kedua kepada 500 bungkus bagi memenuhi kawasan yang lebih luas.

Gotong royong memasak dimulakan awal pagi hingga ke malam secara bergilir-gilir, dan terus diagihkan oleh petugas Jabatan Amal ke rumah-rumah yang terlibat banjir.

Muslimat memainkan peranan menyantuni mangsa-mangsa banjir wanita di penempatan sementara mangsa banjir. Kit Kebersihan Diri turut diedarkan bersama NGO Amalnita, Yayasan Amal Malaysia Pulau Pinang menyedari tentang kepentingan penjagaan diri walaupun ketika banjir.

Muslimat mendengar kisah kejadian banjir dari mangsa-mangsa terlibat dan turut memberikan kata semangat dan nasihat kepada mereka. Turut ditekankan tentang aspek penjagaan diri dan ibadah solat mereka.

Hari ini, Ustaz Fawwaz Mat Jan turut serta turun melawat mangsa banjir bersama petugas PAS. Kehadiran Ustaz Fawwaz sedikit sebanyak memberi keceriaan dan semangat kepada mangsa banjir yang ditemui. Ada yang mengambil kesempatan bertanyakan tentang kaedah solat sewaktu banjir kepada ustaz.

Petugas PAS turun membantu tanpa mengira fahaman politik dan agama. Tanpa sebarang elaun khas atau pun tuntutan kerja lebih masa, mereka meneruskan misi membantu mangsa dari masa ke semasa.