Home Berita PAS Terengganu

Banjir : Kerajaan baik pulih 92 rumah rosak di Ajil

48
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerja baik pulih 92 rumah serta membina sebuah rumah baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil yang terjejas akibat banjir akan dimulakan hari ini, Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata rumah tersebut akan dibina oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Prihatin Anak Watan (Prihatin Terengganu).

“Dana bagi menampung segala perbelanjaan berkenaan dianggarkan RM200,000 dikeluarkan daripada perbelanjaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil dan PAS yang lain, orang perseorangan serta hasil sumbangan daripada orang ramai.

“Rumah mangsa-mangsa yang terlibat banjir ini perlu dibaiki dengan segera bagi memberikan keselesaan kepada mereka setelah berhadapan dengan musibah yang luar jangka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menghadiri persidangan DUN, di sini pada hari ini.

Dalam pada itu, Presiden Prihatin Terengganu, Mohd Asmawi Mukhtar berkata, pihaknya akan menghimpunkan 50 tenaga sukarelawan daripada seluruh daerah yang mempunyai kemahiran serta kepakaran dalam melaksanakan agenda terbabit.

“Tempoh membaiki keseluruhan rumah itu adalah bergantung kepada keadaan rumah itu sendiri, namun kita akan cuba sedaya upaya untuk menyegerakannya, sebelum ini ketika berlaku banjir di Pahang kita mengambil masa selama tiga hari untuk menyiapkan dua buah rumah.

“Insya-Allah dengan komitmen semua sukarelawan ini kita akan cuba memberikan yang terbaik dalam usaha kita untuk meringankan bebanan mereka hadapi dan bagi mengembalikan semula kegembiraan mereka setelah melalui detik yang sukar dalam kehidupan mereka dengan banjir luar biasa yang berlaku pada tahun ini,” katanya.