Home Berita PAS Perlis

Bangunkan Jemaah Demi Kemenangan Islam

675
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR: Seluruh kepimpinan serta ahli PAS diingatkan agar bersama-sama membangunkan jemaah, demi memastikan kemenangan Islam di Malaysia.

Demikian gesaan yang dibuat oleh Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad, ketika berucap sempena Liqa’ Fikri PAS Perlis yang diadakan di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) baru-baru ini.

Katanya, adalah menjadi kewajipan ke atas setiap yang bergelar ahli PAS untuk saling berganding bahu memperkukuh serta memperkasakan jemaah Islam ini agar benteng umat Islam ini terus utuh menghadapi cabaran.

Beliau menambah, seandainya ini tidak berlaku, PAS akan menjadi lemah manakala musuh-musuh Islam akan bersorak riang menanti detik-detik kehancurannya.

“Jika bukan kita, siapa lagi yang akan membangunkan parti kita, kepada siapa kita nak harapkan jika kita sendiri tidak membangun atau buat kerja ini?

“Kita kena letak dalam minda kita, siapa lagi (selain kita) yang akan buat kerja ini (membangunkan jemaah) sedangkan musuh sentiasa bekerja sepanjang masa untuk melemah dan merosakkan kita,” ujarnya.

Pihak musuh jelasnya, bersungguh-sungguh menentang PAS bukan kerana namanya (PAS) tetapi sebaliknya disebabkan dasar (Islam) yang dibawa parti berkenaan.

Dasar ini menurutnya lagi, menjadi kebencian kepada mereka kerana mampu menyekat agenda perjuangan yang didokong mereka selama ini.

“Kena tengok orang yang marah kepada PAS bukan kerana namanya PAS, terapi kerana dasar yang kita bawa adalah Islam.

“Mereka sedar PAS ini merupakan satu ancaman kepada mereka dan melambat-lambatkan agenda pejuangan mereka, maka sebab itulah mereka sanggup bersatu dalam apa-apa organisasi sama ada dalam NGO ataupun parti-parti politik,” tegasnya.

Hargai Para Pekerja Parti

Beliau turut menegur sikap segelintir ahli yang menurutnya lebih gemar mempertikaikan kerja-kerja yang dilaksanakan oleh ahli-ahli yang lain berbanding turut sama turun ke padang bekerja untuk parti.

Sikap seumpama itu jelasnya, bukan sahaja tidak bertanggungjawab, tetapi turut menjejaskan semangat para amilin yang sekian lama mewakafkan diri mereka untuk bekerja memenangkan Islam.

Ujarnya lagi, golongan berkenaan sepatutnya menghormati para pekerja parti yang sanggup mengorbankan segala kepentingan mereka demi melaksanakan tugas yang telah diberi selain membantu menyumbangkan idea serta tenaga ke arah meningkatkan lagi pengurusan parti.

“Hargailah mereka yang sudah bekerja, orang yang rajin berkerja, kita kena hormati mereka. Kekurangan dan kelemahan itu adat biasa.

“Biarlah kita banyak menyelesaikan masalah daripada menimbulkan masalah dalam jemaah,” nasihat beliau lagi.