Bangkit dan Bangun Pertahankan Islam
(يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ)
Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
(تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ)
Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
[Surah As-Saff: 10-11]
Semboyan PRU 14 telah dipalu sejurus pengumuman pembubaran diumumkan. Tarikh keramat 9 Mei juga telah diketahui. Justeru, Muslimat PAS menyeru seluruh jentera muslimat di pelusuk negara bersiap sedia di medan pertempuran masing-masing.
Parti Islam Se Malaysia (PAS) adalah parti tarbiyyah dan PAS juga parti dakwah. Kami Muslimat PAS sama-sama berpesan dan saling mengingatkan agar muslimat apabila turun di medan sebenar perlu sentiasa bersedia serta bermaklumat dan bekerja dengan ikhlas. Jadikan kesabaran sebagai benteng dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan itqan.
Persiapan AKIFI, ilmu, haraki dan sufi perlu dipasak dalam sanubari dan sentiasa menjaga hubungan dengan Allah. Yakin dengan pertolongan Allah serta pahatkan ketahanan diri yang tinggi. Akhirnya doa adalah senjata orang mukmin. Teruskan bermunajat merintih kepadaNya. Amalkan zikir, doa serta solat hajat. Semoga Allah memberikan petunjuk, hidayah dan melembutkan hati-hati semua pengundi serta memberikan kemenangan untuk parti Islam insyaallah. Takbir!
‘Malaysia Sejahtera’
SALAMIAH MOHD NOR
Naib Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
26 Rejab 1439 H
13 April 2018