Home Berita PAS Terengganu

BAJET 2023:Terengganu bentang belanjawan 2023 berjumlah RM1.991 bilion

161
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu membentangkan Belanjawan 2023 berjumlah RM1.991 bilion, meningkat berbanding RM1.657 bilion pada tahun lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri akan membelanjakan RM1.991 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM500 juta untuk Perbelanjaan Pembangunan dan RM30 juta untuk Perbelanjaan Bekalan Air.

“Di bawah perbelanjaan mengurus, sebanyak RM93.13 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan tanggungan dan RM1.897 bilion bagi perbelanjaan bekalan.

“Ia melibatkan RM271.65 juta untuk Emolumen, RM249.17 juta untuk perkhidmatan dan bekalan, RM25.94 juta untuk aset, RM1.35 bilion untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap dan RM1 juta untuk lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2023  pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-5 Dewan Undangan Negeri ke-14 (Bajet) di sini hari ini.

Menurut Ahmad Samsuri, di bawah komponen pemberian dan kenaan bayaran tetap, sejumlah RM500 juta dicarum ke Kumpulan Wang Pembangunan, RM250 juta bagi pemberian kepada pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan pelbagai agensi.

Beliau berkata sebanyak RM200 juta bagi pemberian kepada jabatan-jabatan Kerajaan dan RM400 juta bagi program-program pelbagai perkhidmatan di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan.

“Di bawah perbelanjaan pembangunan pula, sebanyak RM417.73 juta diperuntukkan untuk sektor sosial merangkumi pendidikan, infrastruktur dan kemudahan awam termasuk bekalan air, pembangunan bandar dan luar bandar serta sukan dan perumahan.

“Manakala RM85.04 juta untuk sektor pentadbiran merangkumi teknologi maklumat, pentadbiran am serta projek khas dan projek penting luar jangka dan RM27.23 juta  untuk sektor ekonomi merangkumi pertanian, pelancongan dan industri mikro, kecil dan sederhana,” ujarnya lagi.

Jelas beliau, kerajaan negeri menganggarkan mendapat jumlah hasil sebanyak RM1.810 bilion.

“Ia meliputi RM65.17 juta daripada hasil cukai, RM135.59 juta daripada hasil bukan cukai dan RM1.609 bilion daripada terimaan bukan hasil termasuk Dana Khas Kerajaan Persekutuan iaitu bayaran hasil petroleum,” ujarnya.