Home Berita Presiden

Baitul Maqdis Milik Kita

2199
SHARE

BAITUL MAQDIS MILIK KITA

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, selawat dan salam kepada Rasulullah S.A.W, penutup sekalian para Nabi dan Rasul, imam bagi orang yang bertaqwa dan ketua kepada penyeru para mujahidin, dan juga ke atas ahli keluarga Baginda S.A.W, para sahabat, tabi’in sehingga ke  hari kiamat nanti.

Baitul Maqdis adalah ibu negara Islam Palestin, tidak ada tawar-menawar dan tidak sesekali berundur. Baitul Maqdis adalah isu agama Islam sebelum menjadi isu negara dan bangsa. Di sinilah kiblat pertama dan tempat suci ketiga, tanah kelahiran para nabi, tempat perjalanan Isra’ Rasulullah S.A.W, dan juga permulaan Mi’raj Baginda S.A.W sebagai tetamu Allah S.W.T. Tanah suci ini telah dihidupkan oleh Nabi Ibrahim A.S.

Firman Allah SWT:

﴿مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَكِنْ كَانَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ٦٧﴾ [آل عمران: 67]

“Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik (67)” [Al-i’Imran: 67]

Walaupun semua agama mengiktiraf dan memberi penghormatan ke atas Nabi Ibrahim A.S dengan bahasa yang berbeza, sama ada mereka daripada kalangan ahli kitab atau selainnya, maka Nabi Ibrahim A.S. adalah bapa kepada sekalian para nabi.

Firman Allah:

﴿وَمَنْ يَرْغَبُ عَنْ مِلَّةِ إِبْرَاهِيمَ إِلَّا مَنْ سَفِهَ نَفْسَهُ  وَلَقَدِ اصْطَفَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا  وَإِنَّهُ فِي الْآخِرَةِ لَمِنَ الصَّالِحِينَ١٣٠ إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ أَسْلِمْ  قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ١٣١ وَوَصَّى بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَى لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ١٣٢ أَمْ كُنْتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ الْمَوْتُ إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعْبُدُونَ مِنْ بَعْدِي قَالُوا نَعْبُدُ إِلَهَكَ وَإِلَهَ آبَائِكَ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِلَهًا وَاحِدًا وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ١٣٣ تِلْكَ أُمَّةٌ قَدْ خَلَتْ  لَهَا مَا كَسَبَتْ وَلَكُمْ مَا كَسَبْتُمْ  وَلَا تُسْأَلُونَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ١٣٤﴾ [البقرة: 130-134]

“Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain daripada orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada Hari Akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya) (130) (Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: “Serahkanlah diri (kepada-Ku wahai Ibrahim)!” Nabi Ibrahim menjawab: “Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam”(131) Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”(132) (Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepada-Nyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”(133) Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan(134)” [Al-Baqarah: 130-134]

Kita beriman bahawa Palestin adalah bumi Islam dan umat Islam dan bukan untuk orang Arab semata-mata, bahkan jauh sama sekali untuk orang Yahudi yang dimurkai di atas apa yang mereka lakukan dan apa yang telah mereka usahakan.

Langkah menjadikan Baitul Maqdis milik Yahudi, bahkan ke atas Palestin seluruhnya adalah pengkhianatan yang besar terhadap para nabi, termasuk para nabi daripada keturunan Bani Israel. Umat Islam tidak seharusnya mengiktiraf pengkhianatan dan kezaliman rejim Zionis Yahudi. Mereka adalah golongan yang mengkhianati para nabi dan rasul.

Inilah yang Allah SWT firmankan kepada mereka:

﴿ أَفَكُلَّمَا جَاءَكُمْ رَسُولٌ بِمَا لَا تَهْوَى أَنْفُسُكُمُ اسْتَكْبَرْتُمْ فَفَرِيقًا كَذَّبْتُمْ وَفَرِيقًا تَقْتُلُونَ٨٧﴾ [البقرة: 87]

“Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?(87)” [Al-Baqarah: 87]

Propaganda Freemason dan Zionis untuk menubuhkan sebuah negara Nabi Daud dan Nabi Sulaiman A.S adalah satu penipuan, kerana negara Islam ini tertegak di atas manhaj Taurat dan kenabian. Mereka tidak beramal dengan kitab Taurat, bahkan menyelewengkannya dan menukarkannya, serta beriman dengan sebahagiannya dan kufur pula dengan sebahagiannya.

Allah menceritakan kisah mereka:

﴿ أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ  فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا  وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ  وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ٨٥ أُولَئِكَ الَّذِينَ اشْتَرَوُا الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالْآخِرَةِ  فَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ الْعَذَابُ وَلَا هُمْ يُنْصَرُونَ٨٦﴾ [البقرة: 85-86]

“Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada Hari Kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan (85) Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan (86) [Al-Baqarah: 85-86]

Allah mengumpamakan mereka seperti keldai:

﴿مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا  بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ  وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ٥﴾ [الجمعة: 5]

“(Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telahpun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim(5)” [Al-Jumu’ah: 5]

Negara-negara Islam dan majoriti negara lain tidak sepatutnya berpihak kepada ‘keldai’ ini, termasuklah negara-negara yang besar dan maju. Celakalah ke atas mereka yang menjadi seperti Zionis daripada bangsa kita dan bertutur dengan bahasa kita yang berusaha untuk menggunakan politik normalisasi (memberi pengiktirafan terbuka kepada Zionis Israel, mengakui kewujudannya dan menjalankan hubungan secara rasmi mahupun tidak dengan Israel).

Begitulah cara nenek moyang mereka memasuki bumi Palestin atas nama hijrah dan jihad. Sedangkan kemasukan mereka selepas sesat di padang pasir selama 40 tahun adalah kerana keengganan mereka untuk berjihad di jalan Allah SWT. Bahkan mereka mempermainkan perintah Allah SWT:

﴿وَإِذْ قُلْنَا ادْخُلُوا هَذِهِ الْقَرْيَةَ فَكُلُوا مِنْهَا حَيْثُ شِئْتُمْ رَغَدًا وَادْخُلُوا الْبَابَ سُجَّدًا وَقُولُوا حِطَّةٌ نَغْفِرْ لَكُمْ خَطَايَاكُمْ  وَسَنَزِيدُ الْمُحْسِنِينَ٥٨ فَبَدَّلَ الَّذِينَ ظَلَمُوا قَوْلًا غَيْرَ الَّذِي قِيلَ لَهُمْ فَأَنْزَلْنَا عَلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا رِجْزًا مِنَ السَّمَاءِ بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ٥٩﴾ [البقرة: 58-59] 

Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman: “Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian makanlah dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: ‘ Ya Allah ampunilah dosa kami ‘; supaya kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik”(58) Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka) (59) [Al-Baqarah: 58-59]

Manakala kejatuhan bumi Palestin dan Baitul Maqdis beberapa kali sepanjang sejarah pemerintahan mereka adalah disebabkan oleh pengkhianatan dan penentangan mereka terhadap risalah para Nabi, kitab-kitab Allah dan agama-Nya. Begitu juga berlakunya kejatuhan Palestin dan Baitul Maqdis pada hari ini selepas Revolusi Agung Arab sebelum 100 tahun lampau iaitu pada permulaan abad lalu yang dekat, kerana kehilangan kemuliaan Islam, sebagaimana ditegaskan oleh Saidina Umar Al-Khattab:

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمهما نبتغي العز بغير ما أعزنا الله أذلنا الله

“Kita adalah umat yang diberikan kemuliaan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan selain dari Islam, nescaya kita menerima penghinaan daripada Allah.”

Seterusnya kesetiaan kepada pakatan salib hari ini dan selepas pelaksanaan Deklarasi Balfour serta pembahagian negara-negara Islam melalui Perjanjian Sykes-Picot terhadap mereka yang tidak mempunyai hak selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah di tangan kita sendiri di atas nama Revolusi Agung Arab.

Di samping itu, isu Baitul Maqdis Timur dimainkan adalah untuk memperkecilkan isu yang besar selepas mereka mengikut dasar politik normalisasi ini sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga akhirnya terjerumus ke dalam lubang dhob (perangkap Zionis Israel). Ia secara beransur-ansur dipinggirkan daripada isu agama Islam dan kemudian menjadi isu kaum dan nasionalisme arab, kemudian menjadi isu rakyat Palestin, dan menjadi isu tanah yang berlaku sebelum perang 1967, diikuti pula dengan Persidangan Oslo dan Persidangan Madrid, kemudiannya penyelesaian dua negara, seterusnya dibelah menjadi Baitul Maqdis Timur, dan akhirnya apa yang dinamakan sebagai perjanjian abad ini.

Rakyat Palestin telah membantah sekeras-kerasnya, begitu juga umat Islam di seluruh dunia juga menolak perkara ini kecuali mereka yang menyimpang dan mereka ini seakan tidak wujud. Dan ia mengingatkan saya tentang apa yang dikatakan oleh Yasser Arafat Abu Ammar rahimahullah ketika mana Ismail Jan, mantan Menteri Luar Turki datang menawarkan cadangan supaya menyerahkan Baitul Maqdis kepada Yahudi dengan menubuhkan kerajaan baru Palestin dan dibayar sejumlah besar wang. Beliau berkata sambil tersenyum:

“Saya terima dengan syarat anda melaksanakan undian cadangan tersebut di Turki. Adakah rakyat Turki yang beragama Islam akan menerimanya atau tidak?”

Lalu Menteri itu pergi dengan keadaan malu. Sepertimana keluarnya Theodore Herzl, seorang Zionis juga dalam keadaan malu, apabila tawarannya ditolak oleh Sultan Abdul Hamid rahimahullah, Khalifah Turki Uthmaniyyah. Akan  tetapi perjanjian baru bagi orang Arab hari ini adalah menyeleweng.

Maka pada hari ini kita berhimpun di bahagian Timur yang paling hujung, iaitu bahagian paling jauh dari dunia Islam. Sesungguhnya kesatuan kita ini merapatkan ikatan persaudaraan (ukhuwwah) atas dasar keimanan dan menjadikan satu barisan sama pada benteng yang sama. Hal ini kerana tidak ada perbezaan di antara barisan yang pelbagai, mahupun yang berbilang-bilang ini, dari Baitul Maqdis sehingga penghujung Timur mahupun penghujung Barat, dan dari Mauritania ke Indonesia dan Malaysia, kerana kita bersepakat bahawa Baitul Maqdis adalah milik kita.

Biarkan Yahudi tahu bahawa rumah-rumah mereka hanyalah seperti rumah labah-labah, meskipun disokong oleh kuasa-kuasa besar yang mempunyai kuasa veto di dalam Majlis Keamanan PBB, yang menyekat keamanan ke atas saudara-saudara kita di Palestin, dan Kerajaan-kerajaan yang disusun oleh rejim Zionis untuk memberikan perlindungan ke atas Israel sehingga berusaha untuk meluluskan permit persenjataan daripada senjata yang paling kecil kepada senjata yang besar seperti senjata pemusnah yang diharamkan di peringkat antarabangsa. Akan tetapi senjata-senjata itu akan musnah berdepan gerakan intifadhah, kanak-kanak bersenjatakan batu dan barisan Islam yang lahir daripada kebangkitan Islam yang diberkati.

Kita telah melihat kebangkitan umat Islam di seluruh dunia, di negara-negara Islam, masyarakat minoriti Islam di pelbagai benua, dari sebuh lautan ke lautan yang lain, dan dari satu ceruk hingga satu ceruk yang lain.

Persidangan kita pada hari ini di Malaysia, adalah sebahagian yang tidak dapat dipisahkan darinya. Saya mengalu-alukan kehadiran kalian semua ke Asia Tenggara, bumi yang mempunyai jutaan umat Islam. Oleh kerana itu, barisan kita  kepala dan sayapnya di Baitul Maqdis, dan anggota tubuhnya berada dari timur ke barat.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih di atas penyertaan pihak kerajaan, Perdana Menteri, menteri-menteri, para pegawai, pihak keselamatan, organisasi-organisasi, persatuan-persatuan, para ilmuan dan para ulamak, serta hadirin sekalian.

Kami bermohon kepada Allah S.W.T agar menjadikan perhimpunan kita sebagai satu ikatan di jalan Allah SWT, yang lebih baik daripada dunia dan seisinya. Segala pujian kepada Allah, Tuhan sekalian alam.

 

“Al-Quds Identiti Ummah”

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Timbalan Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia,
Presiden PAS

(Teks ini adalah terjemahan ucapan perasmian Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sempena Majlis Perasmian Persidangan Meja Bulat MyAqsa Ulama Sedunia Mengenai Baitul Maqdis pada 27-28 Januari 2018 di Pullman Putrajaya Lakeside. Disediakan oleh Pejabat Presiden PAS)