Home Berita PAS Perak

Bacalah Wahai Teman (17) Kegembiraan Hari Raya Aidiladha

2263
SHARE

BACALAH WAHAI TEMAN (17)
Rabu, 29 Julai 2020

KEGEMBIRAAN HARI RAYA AIDIL ADHA

Dalam suasana norma baharu, kita menyambut Hari Raya Aidil Adha dengan kelainan berbanding tahun-tahun lepas. Walaubagaimanapun nilai kegembiraan berhari raya tidak pernah malap, sebagai salah satu lambang Islam.

Ketika Nabi SAW tiba di Madinah selepas menempuh perjalanan hijrah yang panjang, penduduk Madinah telah pun mempunyai dua hari kebesaran. Mereka menyambutnya dengan mengadakan permainan-permainan. Lalu Baginda SAW bertanya mereka; “Hari apakah yang kamu sambut ini?”.

Mereka menjawab; “Dua hari yang kami biasa menyambutnya (dengan mengadakan permainan) pada masa jahiliyah”.

Maka Nabi SAW bersabda kepada mereka;

إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari dua hari (yang kamu sambut) itu iaitu; Hari Raya Korban dan Hari Raya Fitrah”. (Hadis riwayat Imam Abu Daud)

Imam as Son’ani menghuraikan hadis ini di dalam kitab سبل السلام bahawa hadis ini menjadi dalil menzahirkan kegembiraan-kegembiraan ketika hari raya adalah disunatkan dan ia juga merupakan syari’at Allah kepada hambaNya

SUNAT MENGHIDUPKAN MALAM RAYA

Disunatkan menghidupkan malam dua hari raya iaitu Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Korban. Iaitu menghidupkannya dengan ibadah, sama ada mengerjakan solat-solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya. Ini kerana Nabi SAW bersabda;

مَنْ أَحْيَا لَيْلَتَيْ الْعِيدَيْنِ مُحْتَسٕباً لِله لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوْتُ القُلُوب

Sesiapa menghidupkan malam kedua Hari Raya, pasti tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati”. (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Di dalam kitab مغني المحتاج, Imam Muhammad al Khatib asy Syarbini menukilkan bahawa Imam Syafi’ie RA berkata di dalam kitabnya الأم :

“Telah sampai kepada kami bahawa dikatakan sesungguhnya terdapat lima malam dimustajabkan doa iaitu; pada Malam Jumaat, Malam Hari Raya Korban, Malam Hari Raya Fitrah, malam pertama Bulan Rejab dan malam Nisfu Sya’ban”

MENGHIDUPKAN SUASANA HARI RAYA

1) Laungan Takbir

Hari Raya perlu dihidupkan dengan sunnah Nabi SAW. Antaranya sabda Baginda SAW;

زَيِّنُوْا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبير

“Kamu hiasilah hari raya dengan takbir”. (Hadis riwayat al-Thabarani dlm Mu’jam al-Ausat)

Takbir pada hari raya ada dua jenis;

(a) Takbir Mursal atau Muthlaq (المرسل أو المطلق) iaitu takbir yang tidak terikat dengan sesuatu keadaan di mana ia dilaungkan dengan suara yang kuat di jalan-jalan raya, di masjid-masjid, di pasar-pasar, di rumah dan sebagainya di waktu siang atau malam.

Takbir mursal atau muthlaq bermula sebaik sahaja terbenam matahari pada malam hari raya (sama ada Hari Raya Fitrah atau Hari Raya Korban), dan ia berterusan hinggalah apabila imam mula mengangkat takbir bagi menunaikan Solat Hari Raya.

(b) Takbir Muqayyad (المقيد) iaitu yang dilaungkan selepas menunaikan solat sahaja.

Bagi hari raya korban, takbir muqayyad bermula bermula dari solat subuh Hari ‘Arafah (iaitu tanggal 9 Zulhijjah) hinggalah selepas Solat Asar pada Hari Tasyrik terakhir (iaitu Hari Raya Keempat).

2) Berwangi-wangian Dan Memakai Pakaian Yang Terbaik

Ibnu Umar RA meriwayatkan bahawa Saidina Umar pernah mengambil pakaian sutera yang dijual di pasar. Lalu beliau mengesyorkan Baginda SAW untuk membelinya. Nabi SAW bersabda;

إنما هذه لباس من لا خلاق له

Sesungguhnya ini adalah pakaian orang yang tidak mendapat bahagian (di akhirat kelak)

Tak lama kemudian Baginda SAW mengirimkan jubah sutera kepada Saidina Umar RA. Lalu beliau bertemu Rasulullah SAW dan bertanya : Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau pernah berkata ini adalah pakaian orang yang tidak mendapat bahagian di akhirat. Tetapi engkau mengirimkannya kepada aku?

Nabi SAW menjawab;

تبيعها أو تصيب بها حاجتك

Engkau jualkannya, atau menukarkannya dengan sesuatu yang boleh memenuhkan keperluanmu (Hadis riwayat al Bukhari)

As Sindi menghuraikan hadis ini bahawa berpakaian dengan pakaian yang terbaik di hari raya disunatkan, dan ia sememangnya menjadi kebiasaan (adat)

3) Saling Doa Mendoakan

Digalakkan pada hari raya untuk saling doa mendoakan antara satu sama lain, melahirkan rasa gembira, berseronok dan bersalam-salaman sesama kaum muslimin. Walaubagaimanapun, amalan bersalam-salaman pada musim Covid 19 ini perlu dielakkan.

Mengucapkan tahniah bersempena kedatangan hari raya juga adalah amalan para sahabat. Hal ini dinyatakan oleh Imam Ibn Hajar al Asqolani di dalam فتح الباري bahawa para sahabat Rasulullah SAW apabila saling bertemu pada hari raya, mereka akan mengucapkan sesama mereka

تقبل الله منا ومنك

Semoga Allah menerima dari kami dan dari kamu

DI PAGI RAYA

1) Mandi dan Bersuci

Antara amalan sunat di pagi Hari Raya ialah mandi. Imam Nawawi RA menukilkan di dalam المجموع

فقال الشافعي والأصحاب: يستحب الغسل للعيدين، وهذا لا خلاف فيه، والمعتمد فيه أثر ابن عمر والقياس على الجمعة

Imam Syafie dan alirannya berkata : Diharuskan mandi pada dua hari raya, dan perkara ini tiada perselisihan. Perkara yang muktamad padanya ialah amalan Ibnu Umar, dan turut diqiaskan pada Solat Jumaat.

b) Bersarapan Selepas Solat

Di pagi Hari Raya Aidil Adha agak berbeza dengan Hari Raya Aidil Fitri. Pada Hari Raya Aidil Adha disunatkan untuk tidak mengambil sarapan sebelum pergi Solat Sunat Hari Raya.

وعَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ بُرَيْدَةَ، عَنْ أَبِيهِ، قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم َلا يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَطْعَمَ
وََلا يَطْعَمُ يَوْمَ الْأَضْحَى حَتَّى يُصَلِّي

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya, katanya : Nabi SAW tidak keluar pada Hari Raya Fitrah sehinggalah bersarapan terlebih dahulu, dan tidak bersarapan pada Hari Raya Korban sehinggalah mendirikan solat terlebih dahulu. (Riwayat at Tirmizi)

Sempena musim Covid 19 ini, masyarakat perlulah mematuhi SOP yang disediakan oleh pihak berkuasa. Dalam menyambut kegembiraan ini, janganlah ia dijadikan medan penyebaran virus, akibat tidak berhati hati dalam melaksanakan ibadat

Perlu diingat juga bahawa menjaga diri daripada sebarang penyakit juga merupakan tuntutan syariat. Islam jelas melarang umatnya daripada sengaja membahayakan atau memudaratkan diri sendiri.

3) Penyembelihan Binatang Korban

Antara amalan esklusif pada Hari Raya Korban ialah penyembelihan binatang korban. Ia perlu dilakukan selepas Solat Sunat Hari Raya berdasarkan hadis Nabi SAW

مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ الصَّلَاةِ فَإِنَّمَا يَذْبَحُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ ذَبَحَ بَعْدَ الصَّلَاةِ فَقَدْ تَمَّ نُسُكُهُ وَأَصَابَ سُنَّةَ الْمُسْلِمِينَ

“Siapa yang menyembelih sebelum solat, maka sesungguhnya ia menyembelih untuk dirinya sendiri, dan siapa yang menyembelih setelah solat, maka sungguh ia telah menyempurnakan sembelihan korbannya dan dan dia telah melaksanakan sunnah kaum Muslimin dengan tepat.” (Muttafaq Alaih)

Walaubagaimanapun memandangkan hari raya tahun ini jatuh pada hari Jumaat, dicadangkan untuk kita melaksanakan ibadah korban selepas solat Jumaat atau hari-hari tasyrik yang lain. Diharuskan berkorban hingga ke raya keempat. Cadangan ini memandangkan persiapan untuk ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat di musim Covid-19 ini perlu dilakukan lebih awal terutama bagi pihak pengurusan masjid.

4) Solat Sunat Aidil Adha dan Solat Jumaat

Kebetulan pada tahun ini Hari Raya Aidil Adha jatuh pada hari jumaat yang menjadikan bertemunya dua kali solat berjemaah iaitu Solat Sunat Aidil Adha dan Solat Jumaat.

Timbul persoalan adakah orang yang sudah menunaikan Solat Aidil Adha tidak wajib menghadiri Solat Jumaat?

Persoalan ini adalah khilaf di kalangan fuqaha’ yang mana majoriti fuqaha’ daripada mazhab Hanafi, Syafie dan Maliki mengatakan secara umumnya tetap wajib menunaikan Solat Jumaat walaupun telah menunaikan Solat Aidil Adha. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW;

عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ يَقْرَأُ فِي الْعِيدَيْنِ وَفِي الْجُمُعَةِ بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى وَهَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ . قال : وإذا اجتمع العيد والجمعة في يوم واحد يقرأ بهما أيضا في الصلاتين.

“Daripada an-Nukman bin Basyir RA katanya : “Dulunya Rasulullah ﷺ membaca pada dua solat raya dan solat jumaat { ِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى} dan { َهَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ }”, Kata beliau lagi : ” apabila berhimpun raya dan jumaat pada hari yang sama Baginda ﷺ membaca kedua surah itu juga di dalam dua solat tersebut” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa Baginda SAW sendiri apabila bertemu Hari Raya Aidil Adha dan Hari Jumaat Baginda SAW melaksanakan kedua-duanya. Adapun Mazhab Hanbali mereka mengatakan sesiapa yang telah menunaikan Solat Sunat Aidil Adha maka tidak wajib menunaikan solat Jumaat.

Yang lebih kuat pandangannya dalam masalah ini ialah Mazhab Syafie dan majoriti fuqaha’ berdasarkan kepada hadis Shahih Muslim yang lalu.

MAQASID IDUL ADHA

Akhirnya, kita mestilah memahami apakah tujuan dan matlamat daripada segala sambutan dan ibadat pada Hari Aidil Adha supaya ibadat yang kita lakukan mencapai tujuan dan maksud sepertimana yang dikehendaki oleh Allah SWT

1) Ujian

Pelaksanaan ibadah korban asasnya adalah ujian daripada Allah SWT untuk menilai sejauh mana seseorang hamba itu sanggup berkorban dengan nyawa dan harta bagi melaksanakan perintahNya. Inilah permulaan pensyariatan korban yang dilakukan pada Hari Raya Aidil Adha bersempena dengan kejayaan Nabi Ibrahim AS dalam melaksanakan ujian dan perintah Allah SWT.

وَنَادَيْنَاهُ أَن يَا إِبْرَاهِيمُ (104) قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا ۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ (105) إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْبَلَاءُ الْمُبِينُ (106)

“Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! (104) “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan (105) Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; (106) (Surah As Saaffat)

2) Pembuktian Taqwa

Iman itu adalah kepercayaan di dalam hati, pengakuan dengan lisan dan dilaksanakan dengan perbuatan. Maka pelaksanaan kepada perintah Allah SWT adalah pembuktian bahawa seseorang itu benar-benar beriman dan bertaqwa kepadaNya. Inilah juga matlamat utama daripada sambutan Idul Adha dan ibadat korban. Firman Allah SWT;

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya” (Surah al Haj 37)

3) Bersyukur Kepada Allah

Islam adalah agama yang sesuai dengan fitrah manusia. Manusia bukan malaikat yang sentiasa beribadah tanpa jemu dan bukan juga haiwan yang hanya kerjanya memuaskan nafsu makan dah syahwat. Disamping Allah SWT memerintahkan manusia melaksanakan pelbagai jenis ibadat, Allah SWT juga memberikan kerehatan, waktu untuk bergembira dan disyariatkan ibadat yang manfaatnya kembali kepada manusia itu sendiri seperti ibadah korban. Maka sewajarnya umat Islam bersyukur di atas nikmat agama Islam dan ibadat yang selari dengan fitrah manusia ini

Firman Allah SWT;

وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“….. dan supaya kamu bertakbir (membesarkan Allah) di atas hidayahnya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur” (Al Baqarah ayat 185)

4) Kesatuan Umat Islam

Ibadat haji, solat berjemaah dan melakukan ibadat korban yang kesemuanya menuntut Umat Islam bertemu dan bekerjasama sesama mereka dalam melakukan ibadat. Ia adalah cara yang paling berkesan bagi menyatukan dan mempertemukan sesama umat Islam.

Lebih-lebih lagi pada zaman sekarang, apabila kita melihat umat Islam berpecah dan berbalah di atas pelbagai isu dan kes. Maka sambutan Aidil Adha adalah sangat dituntut untuk dilakukan bagi memperbaiki hubungan sesama mereka di atas dasar akidah dan persaudaraan. Hanya dengan kesatuan di atas dasar agama yang mampu mengembalikan semula kekuatan dan keizzahan umat ini sepertimana yang telah berjaya dilakukan oleh generasi terbaik umat Islam di zaman dahulu.

Oleh:
YB Ustaz Mohd Akmal bin Hj Kamarudin
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan
Kerajaan Negeri Perak