Home Minda Presiden

Ayasofya Riuh Sedunia, Masjid Aqsa Tiada Cakna

456
SHARE

Minda Presiden PAS

AYASOFYA RIUH SEDUNIA, MASJID AQSA TIADA CAKNA

Ayasofya pada asalnya dibina sebagai sebuah katedral (Gereja Kristian Ortodoks) di antara tahun 532 dan 537 SM atas arahan Maharaja Byzantine Justinian. Ia direka bentuk oleh dua orang arkitek, iaitu Isidore dari Miletus dan Anthemius dari Tralles. Ayasofya menjadi gereja besar di Konstantinopel selama hampir 1,000 tahun. 

Konstantinopel menjadi ibu negara maharaja tersebut setelah mereka berundur daripada Syria menyerah kalah kepada tentera Islam di masa Khalifah Umar bin al-Khattab RA. Ketika itu mereka menolak tawaran damai melalui surat Rasulullah SAW.

Sebaliknya mereka jugalah yang mula mengumpulkan bala tentera paling besar kerana bercita-cita untuk menghapuskan Islam disebabkan pengaruh Islam sedang pesat  berkembang di kalangan rakyat mereka sendiri, bahkan ada yang masih seagama dengan mereka, tetapi lebih menerima Islam kerana keadilannya.

Pada tahun 1453, selepas kejatuhan Konstantinopel kepada Empayar Uthmaniyyah, Sultan Muhammad al-Fateh telah mengarahkan agar bangunan itu diubah suai menjadi sebuah masjid. Loceng, altar dan barang-barang yang berunsurkan agama Kristian dibuang, sementara lukisan pada dinding pula ditampal. Ia telah digantikan dengan unsur-unsur Islam seperti mihrab, mimbar dan empat menara di luar bangunan. Ayasofya kekal berfungsi sebagai sebuah masjid sehingga tahun 1935 apabila ia ditukar fungsinya kepada muzium oleh Kerajaan Republik Turki.

Selama hampir 500 tahun, Ayasofya menjadi masjid utama di Istanbul dan menjadi model kepada masjid-masjid lain seperti Masjid Sultan Ahmed (Masjid Biru di Istanbul), Masjid Sehzade, Masjid Suleymaniye dan Masjid Rustem Pasha.

Fakta sejarah menunjukkan pihak Islam telah membelinya dengan bayaran yang munasabah pada zaman itu dan pihak gereja pula bersetuju menjualnya. Terdapat catatan yang menjelaskan bahawa Sultan Muhammad al-Fateh telah membayar harga pembelian itu dengan wang miliknya sendiri dan penyumbang yang lain, tanpa diambil sedikit pun wang negara. 

Kejayaan umat Islam menawan Konstantinopel telah dijanjikan oleh Rasulullah SAW melalui sabda Baginda SAW:

لَتُفْتَحَنَّ القُسْطَنْطِيْنِيَّةُ، فَلَنِعْمَ الْأَمِيْرُ أَمِيْرُهَا، وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ

“Kota Konstantinopel pasti dibuka nanti, maka sebaik-baik raja yang menawannya dan sebaik-baik tenteranya.” (Riwayat Ahmad 18957)

Oleh kerana Ayasofya diambil melalui peperangan, maka fungsinya pada waktu itu sebagai gereja berbeza dengan gereja Qiamah di Palestin dan beberapa gereja lama di Mesir. Perkara tersebut berbeza kerana gereja-gereja yang lain diambil menerusi perjanjian damai, maka diserahkan kepada penganut Kristian sehingga kini. 

Kemudian pula dijual dengan bayaran oleh pihak Islam. Sungguh tidak mustahil penjualan ini berlaku, kerana beberapa gereja di negara Barat pun turut dijual apabila penganutnya sendiri tidak memakmurkan tempat ibadat mereka. Sehingga ada gereja yang terbiar sehingga naik hutan belukar di sekelilingnya dan ada juga yang ditukar menjadi tempat hiburan dan tempat makan. 

Adapun Ayasofya yang menjadi masjid itu telah ditukar menjadi muzium oleh kerajaan Turki Kamal Ataturk yang berfikiran sekular bagi membuktikan berpisah politik yang diamalkannya daripada agama Islam, sehingga memaksa azan juga ditukar ke dalam bahasa Turki. Namun umat Islam di Turki pada hari ini telah kembali semula kepada cara yang asal dalam Islam. Maka begitulah juga dengan langkah hari ini yang mengembalikan Ayasofya berfungsi sebagai sebuah masjid yang dimakmurkan.

Apa yang menghairankan, mengapa negara Barat riuh sedunia terhadap perubahan ini. Padahal mereka sangat kuat bermazhab sekular yang memisahkan agama daripada politik negara. Maka sungguh jelas, terang dan nyata lagi bersuluh bahawa mereka itu masih dihantui penyakit Islamofobia yang mereka sendiri ciptakan. 

Lebih menghairankan lagi apabila mereka juga diam membisu terhadap Yahudi Zionis yang merancang untuk merampas dan merobohkan Masjid al-Aqsa yang menjadi  kiblat pertama umat Islam. Begitu juga ribuan masjid Islam yang dimusnahkan dan dirampas di Sepanyol, termasuk di Cordova dan lain-lain. termasuk Masjid Babri di India.     

Padahal mereka beriman bahawa Nabi Isa AS dibunuh oleh pelampau Yahudi itu, sehingga mengangkatnya ke taraf seorang anak Tuhan, iaitu suatu fahaman yang ditolak oleh umat Islam. 

Adapun umat Islam beriman bahawa Isa AS itu adalah Rasulullah yang telah diselamatkan oleh Allah SWT dan akan turun semula ke bumi pada akhir zaman. Bagaimana pula mereka mempunyai kepercayaan sedemikian, pada masa yang sama bersikap menyokong Yahudi yang dikatakan membunuh seorang nabi yang dikatakan anak tuhan itu?

Sekarang mereka pula riuh atas alasan kononnya hendak mempertahankan fungsi Ayasofya sebagai sebuah gereja, lebih baik jadi muzium bukan gereja. Selain itu, mereka terus diam membisu terhadap masjid umat Islam yang dizalimi. 

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 24 Zulqa’dah 1441 / 15 Julai 2020