Home Berita PAS Perlis

ARPM 2018: PASTI Perlis Rakam Penghargaan Kepada Kontinjen Perlis

785
SHARE

Oleh: Nur ‘Iffah

KUALA LUMPUR: Alam Ria PASTI Malaysia 2018 yang melabuhkan tirainya pada 1 September yang lalu menyaksikan dua orang peserta yang mewakili PASTI Negeri Perlis berjaya muncul sebagai pemenang tempat ketiga dalam acara masing-masing.

Kedua-dua peserta berkenaan iaitu adik Muhammad Aqil Naufal Mohd. Nasri dan adik Muhammad Faris bin Reduan yang telah dinobatkan selaku pemenang tempat ketiga bagi acara Hafazan (Lelaki) dan Bercerita (Lelaki).

Mereka berdua merupakan sebahagian daripada 34 orang peserta yang mewakili Kontinjen PASTI Negeri Perlis ke temasya yang berlangsung di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Meskipun terpaksa pulang tanpa gelaran johan, pencapaian yang diraih oleh kontinjen berkenaan disifatkan sebagai terbaik oleh Pengarah PASTI Negeri Perlis, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil, berdasarkan kepada saingan sengit dalam setiap acara yang dipertandingkan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus sepanjang berlangsungnya temasya selama dua hari itu.

“Dari utara ke Kota Metropolitan, Alhamdulillah (kita) pulang bersama senyuman.

“Bagi pihak PASTI Negeri Perlis, setinggi-tinggi ucapan tahniah dan terima kasih diucapkan kepada seluruh ALP PASTI Negeri Perlis serta Majlis Guru PASTI (MGP) Negeri Perlis, para guru pengiring dan jurulatih, ibu bapa serta para pelajar atas komitmen yang amat membanggakan.

“Kepada semua peserta yang telah berjuang bersungguh-sungguh, anda adalah juara di hati PASTI Negeri Perlis,” jelasnya.