Home Berita PAS Sabah

Aqidah asal dan usul perjuangan

203
SHARE

Oleh : Yusrizal Baco
23 Januari 2023

SANDAKAN : Aqidah menjadi usul dan asal perjuangan PAS dalam mendaulatkan Islam pada hari ini.

Ketua Pengarah AKTAR Pemuda PAS, Hazmi Dibok berkata perkara pertama yang mesti dipasakkan ke dalam pemikiran serta hati ahli ialah kerja buat serta keterlibatan bertitik tolak daripada tuntutan akidah.

“Dalam islam ada konteks interaksi dengan manusia seperti amar makruf nahi mungkar, berkebajikan, pendidikan, dakwah dan sebagainya.

“Ada pula konteks interaksi dengan tuhan secara terus seperti solat, zikir dan ibadat-ibadat peribadi,” ujarnya ketika menyampaikan kuliah dasar semasa Ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS Sabah, kelmarin.

Hadir sama Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah, Hendri Hamsah.

Menurut Hazmi, semua termasuk di dalam sifat seorang mukmin, yang menjadi kaitan antara akidah dan gerak kerja perjuangan.

Malah, beliau menyatakan bahawa akidah merupakan asas dalam Islam yang membentuk hidup dan hala tuju kehidupan seorang muslim.

“Akidah menjelaskan matlamat hidup manusia untuk mencari keredaan Allah swt sebagai matlamat akhir kerana ia berasaskan kepada prinsip tauhid iaitu mengesakan Allah swt.

“Inilah misi utama pengutusan para rasul ke atas muka bumi ini untuk menyelamatkan manusia dan menyatukan matlamat hidup mereka agar semuanya menyembah Allah swt serta menjadikanNya sebagai matlamat akhir,” katanya lagi.

Tambahnya, ahli PAS perlu memegang erat akidah Islam agar dapat membentuk keperibadian unggul umpama sebatang pokok yang teguh, yang akarnya mencengkam bumi supaya dahan, ranting dan buah mampu bermanfaat kepada orang lain.