Home Berita PAS Selangor

Apa Pula Sesudah Muafakat?? – Bingkisan Rida’ Di Bahu | Dewan Ulama PAS Negeri Selangor

533
SHARE

Oleh : Ustaz Muhammad Najhan Halim

Firman Allah swt,

إِنَّ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَهَاجَرُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ بِأَمۡوَ ٰ⁠لِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ وَٱلَّذِینَ ءَاوَوا۟ وَّنَصَرُوۤا۟ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِیَاۤءُ بَعۡضࣲۚ وَٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَلَمۡ یُهَاجِرُوا۟ مَا لَكُم مِّن وَلَـٰیَتِهِم مِّن شَیۡءٍ حَتَّىٰ یُهَاجِرُوا۟ۚ وَإِنِ ٱسۡتَنصَرُوكُمۡ فِی ٱلدِّینِ فَعَلَیۡكُمُ ٱلنَّصۡرُ إِلَّا عَلَىٰ قَوۡمِۭ بَیۡنَكُمۡ وَبَیۡنَهُم مِّیثَـٰقࣱۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِیرࣱ

Maksudnya, “..Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan..”.

[Surah Al-Anfal 72]

14 September 2019 merupakan satu detik yang tidak dapat dilupakan dan dipadamkan dalam catatan sejarah politik negara ini.

Satu kisah yang bersejarah yang menyayatkan hati ramai pihak apabila dua buah kumpulan parti politik umat Islam dan Melayu terbesar dalam negara yang telah bersengketa selama lebih 60 tahun bertaut dan menyambung persaudaraan dengan melupakan kisah lama.

Sekaligus detik bersejarah ini mengubah bukan hanya landskap politik negara malah mengubah terus cara pemikiran politik yang tidak hanya mengejar kuasa dan idealisme tetapi untuk menyelamatkan Ummat dan negara yang tercinta serta meninggikan agamaNya.

Konsep “Kepimpinan itu daripada Kaum Quraisy” berdasarkan hadis sahih riwayat Imam Muslim menjadi asas kefahaman bahawa kepimpinan wajib dan semestinya daripada golongan peribumi yang majoriti dan beragama Islam.

Pengalaman pahit dan getir negara yang dikuasai oleh kumpulan minoriti dalam sudut kerusi parlimen ke atas rakyat majoriti umat Islam Melayu adalah pengajaran besar dan iktibar yang tidak lagi boleh dibiarkan berulang kembali.

Ayat diatas menerangkan kepada kita betapa Allah memuji dan merakamkan setinggi-tinggi kemuliaan kepada umat Islam contoh teladan kepada umat akhir zaman iaitu Muhajirin dan Al Ansar yang saling lengkap melengkapi antara satu dengan yang lain.

Muhajirin dan Al-Ansar itu bersahabat, berkasih sayang dan bersaudara sampai ke tahap mewarisi pusaka sesama mereka melebihi ahli keluarga sendiri sehinggalah Allah melarang mereka berbuat demikian dan dimansuhkan hukum berkenaan.

Pertautan dan persaudaraan keduanya ini membuahkan hasil yang sangat lumayan iaitu kemuliaan Islam dan keizzahan umatnya pada pandangan seluruh bangsa di atas muka bumi ini.

Kekuatan dan keizzahan umat Islam dengan penyatuan dan perpaduan umat Islam bukanlah bererti menyingkirkan bangsa lain atau penganut agama lain malah turut dibela dan diberi hak sewajarnya secara lebih adil dan saksama berbanding mereka perolehi ketika berada dibawah pemerintahan dan kepimpinan agama selain Islam.

Islam amat menitik beratkan perjanjian dan kewajiban melaksanakan perjanjian dan ikatan persefahaman tanpa pengkhianatan dan permusuhan kepada mereka yang bersedia untuk berdamai dan hidup secara aman dan sejahtera.

Satu hadis Nabi saw yang diungkapkan berkait dengan ayat ini yang diriwayatkan oleh Imam Muslim,

سُلَيْمَانَ بْنِ بُرَيْدة، عَنْ أَبِيهِ: بُرَيْدة بْنِ الحُصَيب الْأَسْلَمِيِّ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ إِذَا بَعَثَ أَمِيرًا عَلَى سَرِيَّةٍ أَوْ جَيْشٍ، أَوْصَاهُ فِي خَاصَّةِ نَفْسِهِ بِتَقْوَى اللَّهِ وَمَنْ مَعَهُ مِنَ الْمُسْلِمِينَ خَيْرًا، وَقَالَ: “اغْزُوا بِاسْمِ اللَّهِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، قَاتِلُوا مَنْ كَفَرَ بِالْلَّهِ، إِذَا لَقِيتَ عَدُوَّكَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ فَادْعُهُمْ إِلَى إِحْدَى ثَلَاثِ خِصَالٍ -أَوْ: خِلَالٍ -فَأَيَّتُهُنَّ مَا أَجَابُوكَ إِلَيْهَا فَاقْبَلْ مِنْهُمْ، وكُفَّ عَنْهُمْ: ادْعُهُمْ إِلَى الْإِسْلَامِ، فَإِنْ أَجَابُوكَ فَاقْبَلْ مِنْهُمْ، وَكُفَّ عَنْهُمْ، ثُمَّ ادْعُهُمْ إِلَى التَّحَوُّلِ مِنْ دَارِهِمْ إِلَى دَارِ الْمُهَاجِرِينَ، وَأَعْلِمْهُمْ إِنْ فَعَلُوا ذَلِكَ أَنَّ لَهُمْ مَا لِلْمُهَاجِرِينَ، وَأَنَّ عَلَيْهِمْ مَا عَلَى الْمُهَاجِرِينَ. فَإِنْ أَبَوْا وَاخْتَارُوا دَارَهُمْ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّهُمْ يَكُونُونَ كأعراب الْمُسْلِمِينَ، يَجْرِي عَلَيْهِمْ حُكْمُ اللَّهِ الَّذِي يَجْرِي عَلَى الْمُؤْمِنِينَ، وَلَا يَكُونُ لَهُمْ فِي الْفَيْءِ وَالْغَنِيمَةِ نَصِيبٌ، إِلَّا أَنْ يُجَاهِدُوا مَعَ الْمُسْلِمِينَ، فَإِنْ هُمْ أَبَوْا فَادْعُهُمْ إِلَى إِعْطَاءِ الْجِزْيَةِ. فَإِنْ أَجَابُوا فَاقْبَلْ مِنْهُمْ وَكُفَّ عَنْهُمْ، فَإِنْ أَبَوْا فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ ثُمَّ قَاتِلْهُمْ”.

Maksudnya, ” Adalah Rasulullah saw ketika mengarahkan seorang ketua dalam utusan perang, akan menasihatkan ketua dan tenteranya itu dengan supaya bertaqwa kepada Allah.
Baginda berpesan, berperanglah dengan nama Allah, di jalan Allah, perangi mereka yang kufur kepada Allah (memerangi Islam). Jika kamu bertembung dengan musuh kamu, serulah mereka dengan 3 perkara. Apa sahaja yang dijawab oleh mereka antara salah satu ini, terimalah mereka dan jangan kamu memerangi mereka.

  1. Serulah mereka kepada Islam. Sekiranya mereka memeluk Islam, terimalah mereka dan cukuplah bagi kamu dengan cara mereka itu.
  2. Serulah dan ajaklah mereka menetap di negara Islam dengan aman. Maka mereka akan diberi hak yang adil dan sewajarnya. Sekiranya mereka ingin kekal di negara mereka sendiri maka mereka tetap dianggap sebagai suadara muslim juga daripada negara lain (Al a’rabi) dan hak sama seperti muslim yang lain. Tetapi mereka tidak diberi harta rampasan perang kecuali mereka turut berperang bersama kaum muslimin.
  3. Sekiranya mereka enggan menerima Islam maka diwajibkan keatas mereka membayar jizyah sebagai balasan jaminan keselamatan mereka dan mereka sanggup menerimanya kewajiban ini maka janganlah kamu memerangi mereka.
    Tetapi sekiranya mereka menolak semua ini dan memerangi kamu, maka pohonlah pertolongan Allah dan perangilah mereka itu. “

(Hadis Imam Muslim )

Hadis ini memperincikan bahawa Islam sememangnya tidak memusuhi sesiapapun atas sebab kekufuran atau berbeza agama malah diperintah kepada umat Islam menyeru manusia untuk menerima Islam tanpa paksaan.

Arahan untuk memperakui sesiapa sahaja yang menerima Islam secara asas dan tanpa memberatkan urusan keIslaman adalah merupakan cara yang paling berhikmah untuk memastikan keamanan dan penyatuan umat Islam yang berbagai latar belakang dan ragam.

Selama seseorang individu itu mengaku sebagai seorang Islam dan menjadi muslim secara lahiriah dan pada sudut pandangan mata zahir sudah mencukupi kepada kita untuk menerima dan menganggap diri individu itu sebagai saudara kita dan diberi hak yang adil dan sewajarnya.

Kita tidak perlulah sampai ke tahap semua orang Islam yang bersama dengan kita itu memiliki tahap keimanan dan keIslaman yang sama seperti golongan Muhajirin yang sudah melalui proses pentarbiyahan dan pembuktian kesetiaan yang telah dilalui sepanjang tempoh ujian dan kepayahan. Penerimaan kita terhadap kelompok muslim yang baharu sedar dan insaf atau mula berjinak-jinak dengan Islam adalah tahap yang cukup membanggakan bagi pandangan Islam.

Adapun segala apa yang terbuku di hati mereka itu terpulang kepada urusannya lepas Allah swt. Kita hanya berhukum dengan perkara zahir sahaja dan tidak mampu mengetahui perkara yang tersembunyi di sebalik hati manusia. Semoga Allah memelihara hati kita dan tetapkan di jalan istiqamah.

Ayat dan hadis ini juga menerangkan bagaimana penyatuan dan perpaduan umat Islam tidak menjejaskan hubungan sesama penganut agamal lain selama mereka tidak memerangi Islam dan juga tidak ekstrem terhadap Islam dan ajaran agamanya.

Penganut agama lain dan bangsa lain dalam konteks negara ini tidak perlu khuatir dan risau dengan perpaduan umat Islam. Kekuatan dan keutuhan negara dan perpaduan negara ini tertakluk dan menantikan perpaduan dan persaudaraan yang baik bermula dengan sesama umat Islam dan kemudiannya pasti menterjemahkan kepada perpaduan sesama agama dan bangsa lain di negara ini. Inilah yang tidak dihayati oleh bangsa DAP dan konco-konco mereka

Teori “Kepimpinan dari Kaum Majoriti” telah membuktikan kepentingannya dalam konteks negara Malaysia setelah berjaya mengharungi proses pertamanya menerusi peralihan kuasa daripada Pemerintahan Pakatan Rakyat kepada Perikatan Nasional secara aman damai tanpa berlaku keadaan huru-hara dan kucar-kacir.

Ini adalah kerana kefahaman peri pentingnya perpaduan dan persaudaraan yang saling memahami bahawa apa jua keadaan perubahan dan pertukaran kerajaan, maka kuasa pemerintahan mesti berada di tangan suara umat majoriiti negara ini iaitu Islam, Melayu dan Bumiputera.

Atas prinsip inilah, negara akan terus maju ke hadapan dan kita wajib pertahankan agar tidak berulang kembali kisah perit dan suasana muram negara sebagaimana yang dirasai pada zaman ketika pemerintahan Pakatan Rakyat selama 22 bulan.

Muafakat Umat adalah satu kemestian dan wajib dipertahankan serta diperkukuhkan dari semasa ke sama dan sentiasa berwaspada akan niat dan cita-cita jahat musuh perpaduan umat Islam yang sentiasa melihat ruang kealpaan dan kelalaian umat Islam lalu mereka pasti akan menerpa masuk dalam ruang itu.

Saranan pasca Muafakat :
A. Berlapang dada menerima perbezaan dan bersedia untuk Agree to Disagree.
B. Berbincang dan bermusyawarah dalam perkara mustahak dan kepentingan bersama
C. Meletakkan perpaduan dan keutuhan ukhuwah sebagai keutamaan .
D. Usah mengungkit perkara yang mampu memecahkan perpaduan dan mengguris hati pihak lain.
E. Sentiasa bekerjasama dalam perkara Makruf dan menolak perkara mungkar.
F. Bersedia menerima kepelbagaian karenah dan rupa bentuk umat Islam yang berbeza fikiran dan pandangan selagi tidak melanggari syarak.
G. Memula langkah untuk memperkembangkan persaudaraan kepada entiti lain demi keamanan dan kesejahteraan negara dan rakyat.

Muafakat Umat ini sudah mula diiktiraf oleh pelbagai pihak sekalipun terdapat kekurangan dan kelemahan namun kepentingan perpaduan dan permuafakatan tetap diterima termasuklah dari kalangan pihak PH sendiri yang mulai sedar kesilapan mereka menerusi kenyataan pemimpin utama mereka walaupun diketahui umum sandiwara mereka yang hanya inginkan kuasa berada di tangan mereka sahaja.

Ayuh kita perteguhkan Muafakat dan Perpaduan Umat Islam

Penulis adalah Pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Ulamak PAS Pusat merangkap Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

1 Oktober 2020 bersamaan 13 Safar 1442H

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#MediaPASSelangor