Home Kenyataan Media PAS Terengganu

Apa Pula Nasib Bakal Menimpa Kenyir Water Park?

1494
SHARE

KENYATAAN MEDIA*
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI TERANGGANU
16 Ogos 2017 | 22 Zulkaedah 1438


1. Penutupan operasi Kenyir Water Park (KWP) sejak 27 Mei 2017 lalu dilihat seakan menyembunyikan sesuatu isu disebalik pembinaannya. Pihak pengurusan pusat rekreasi tersebut hanya memaklumkan mengenai penutupan pada 16 Jun 2017 menerusi medium facebook dengan mengemukakan alasan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan.

2. Apatah lagi Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri I menyatakan bahawa KWP telah beroperasi sejak 31 Mei 2015 tanpa memperolehi Sijil Perakuan Siap & Pematuhan (CCC). Malah, ia dibina di Pulau Poh meliputi keluasan 4.3 ekar tanpa menjalankan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) yang hanya baharu dipersetujui untuk disediakan melalui mesyuarat pada 30 November 2016.

3. Hal ini menimbulkan syak betapa terdapat kemungkinan penyelewengan semasa pembinaannya dahulu, atau adanya pihak yang menjana keuntungan segera untuk memulakan operasi sempena Festival Kenyir 2015 dahulu. Bermakna juga, selama tempoh itu ia beroperasi dengan mempertaruhkan keselamatan pengguna kepada suatu risiko dan pelbagai kemungkinan.

4. Kesangsian ini munasabah berikutan operasi KWP berlangsung tanpa memiliki dokumen hitam putih di mana EPIC selaku pihak yang membangunkannya akan menerima bayaran sejumlah RM7.86 juta secara ansuran selama lima tahun daripada KETENGAH. Premis milik Kerajaan Negeri Terengganu itu telah diserahkan pengurusannya kepada KETENGAH pada 27 Mac 2015. Penyerahan kepada KETENGAH, diserahkan pula kepada KETENGAH Holding Sdn.Bhd (KHSB) dan seterusnya diserahkan pula kepada KETENGAH Properties Sdn.Bhd (KPROP).

5. Ternyata pula rekod hasilan 2015 menyaksikan KPROP mencatat keuntungan menerusi catatan pendapatan RM978,779 dan perbelanjaan pula sebanyak RM640,093. Namun kini, masa depan KWP terus menjadi tanda tanya yang dikhuatiri akan termasuk dalam senarai ‘gajah putih’ atau projek bermasalah setelah permohonan CCC sementara juga hanya dilakukan setelah ditegur Jabatan Audit Negara.

6. Sehubungan itu Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu menggesa Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang juga selaku Pengerusi KETENGAH agar menjelaskan secara telus perkara ini supaya tidak menerbitkan kecurigaan yang lebih besar terhadap pentadbiran beliau. Kerajaan negeri juga diingatkan agar lebih serius dan tidak berkompromi terhadap setiap pembangunan yang dijalankan serta memastikan ia benar-benar memiliki nilai tinggi kepada kepentingan rakyat.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

USTAZ KAMARUZAMAN ABDULLAH
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu

{jathumbnail off}