Home Artikel PAS Pahang

Apa PAS dapat?

236 views
SHARE

Saya mendapat satu mesej dari wassap persendirian dari seorang orang yang sinis terhadap himpunan FASTAQIM 2.0 yang dianjurkan oleh PAS, antaranya dia tanya ‘apa PAS dapat berhimpun ramai-ramai’, dan ada lagi beberapa ayat yang lebih sinis, saya tidak tahu siapa dia, tidak berwajah tidak bertubuh, mungkin juga manusia, mungkin juga jin, entahlah…

“PAS dulu bukan PAS yang sekarang, dulu ditendang sekarang PAS disayang”, pinjam sikit senikata lagu penyanyi cilik Indonesia, Tegar.

PAS yang ditubuhkan pada tahun 1951 itu bangun dengan jerih sendiri, bersusah payah mendidik memberi kesedaran pada masyarakat dan mentarbiyyah ahli-ahli agar memahami matlamat perjuangan PAS. PAS membina jenteranya dengan tarbiyyah bukan dengan duit.

PAS tidak bangun dengan kekuatan harta benda tetapi dengan kekuatan aqidah perjuangan dan kesedaran kewajipan untuk berjuang menegakkan agama Allah swt. PAS melalui perjalanan politik yang begitu sukar, melalui zaman yang mana orang melihat PAS dalam keadaan yang sangat asing.

Setiap masa PAS terpaksa mencicip cangkir fitnah, pahitnya mencerut halkum hati, namun PAS menelan semuanya, lalu PAS bangkit ditengah carut marut musuh terhadapnya, tanpa pedulikannya, pimpinan PAS terus menerus tanpa henti berdakwah dan mentarbiyah ahli, menanamkan setiap ruang lubuk hati ahlinya agar sedia berkorban demi agama.

Dengan tarbiyyah inilah menjadikan ahli ahli PAS sanggup berkorban, korbankan harta benda, masa dan tenaga demi Islam tercinta, “kemenangan semakin hampir bagi orang-orang yang sabar dan Istiqamah”, itulah janji Allah swt, ahli PAS ditarbiyyah menunggu janji ini.

Jika dulu PAS mula melangkah dengan kosong, tin milo yang menjadi sendaan musuh terus menadah rahmat dan keberkatan untuk membina kekuatan PAS. Markas PAS kian bertambah, bangunan bertaraf kompleks tumbuh satu demi satu, dulu PAS hilang deposit, kini PAS hampir menghilangkan deposit lawannya, dulu PAS tiada kerusi kini hampir seluruh negeri ada kerusi PAS, termasuk negeri kelahiran Umno.

Dulu PAS tiada negeri, kini ada pimpinan PAS bergelar MB, dulu tak ramai yang ingin berkorban bersama PAS, namun tidak lagi kini, FASTAQIM 2.0 menjadi saksi bukti bahawa janji Allah terhadap golongn yang Istiqamah dengan Islam pasti akan semakin mendapat sokongan dan semakin hampir pula kemenangan yang dijanjikan Allah swt. PAS kini menitip sokongan demi sokongan dan kekuatan demi kekuatan.

Jika kamu tanya apa PAS dapat, saya menjawapnya, FASTAQIM 2.0 adalah sebahagian dari dapatannya..bakinya ?, InsyaAllah dengan kekuatan jentera inilah, satu masa nanti PAS akan mendapat apa yang dijanjikan Allah swt dengan sesuatu yang kamu tidak yakin untuk mendapatkannya melalui jalan Islam, iaitu kemenangan untuk mentadbir manusia melalui wahyu Ilahi.

YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR

PESURUHJAYA ,

PAS NEGERI PAHANG

3 OKTOBER 2017