Home Rencana PAS Kelantan

Apa ada dengan Sambal Daging Kampung Laut?

128
SHARE

Oleh NORZANA RAZALY

Selain masjidnya, Kampung Laut juga tersohor dengan serondeng atau dalam masyarakat Kelantan sinonim dipanggil Sambal Daging.

Makanan sampingan pembuka selera itu diperbuat berasaskan daging, ayam atau ikan yang disiat halus-halus dan dimasak dengan santan dan rempah-ratus, lalu digoreng sehingga kering.

Antara jenama serondeng tersohor ialah Suzara Enterprise yang turut mengeluarkan produk dodol, gelembung buaya dan popia mini.

Premis perniagaan berjenama Suzara akan beroperasi secara rasmi di Laman Warisan Kampung Laut pada Oktober nanti.

Menurut cerita lisan, juadah mewah dan mahal ini ialah air tangan Puteri Selindong Bulan buat suaminya yang selalu berkelana menyampaikan dakwah di Kepulauan Nusantara.

Suaminya, Sayyid Hussein Jamadil Kubra sangat taat mengamalkan ajaran Imam Syafie dengan selalu memakan daging untuk menyihat dan menguatkan jasad bagi mengekalkan stamina ketika bermusafir atas urusan dakwah atau mengerjakan umrah.

Ulama patriach Wali Songo itu amat terharu dengan bekal permusafiran ciptaan isterinya berupa rambu-rambuan daging kering berwarna perang dan harum itu lalu menggelarkannya “serondeng” singkatan kepada “sebaik-baik musafir mestilah berpengiring”.

Setiap kali berdakwah, Sayyid Hussein Jamadil Kubra menceritakan falsafah dan ibrah serondeng ini sebagai didikan secara halus kepada masyarakat agar menjadi insan berilmu yang selalu berjamu makan ini itu dengan tahu, waktu perlu dan pada kadar tertentu supaya sihat dan cergas sepanjang permusafiran, bukan melulu menurut nafsu.