Home Berita PAS Terengganu

Anti-Politik, punca Dan penyelesaian

11
SHARE

KUALA TERENGGANU, Isu anti-politik merupakan suatu dilema yang dihadapi oleh masyarakat generasi kini berpunca daripada pelbagai faktor dalaman dan luaran, namun jalan penyelesaian boleh dilihat dari sudut Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, berdasarkan kajian, anak muda dari umur 18 ke atas tidak gemar mengambil tahu berkenaan wacana politik.

“Punca pertama adalah dari dalaman, kerana kita jahil atau tidak tahu akan politik dari segi definisi Islam iaitu siasah, hasilnya kita akan jadi musuh kepada perkara yang tidak diketahui.

“Kedua, pengaruh hawa nafsu di mana kita tidak mahu ambil tahu. Pemikiran atau ideologi luaran turut mempengaruhi seseorang itu memandang serong kepada politik.

“Punca luaran pula seperti propaganda yang dibawa oleh penjajah, seperti sekularisme yang memisahkan agama dengan politik manakala perangai orang politik juga memainkan peranan dalam memburukkan persepsi landskap tersebut,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini.

Mengulas tentang jalan penyelesaian sikap kurang cakna dalam siasah, Mohd Nor menjelaskan, kecelaruan minda mempengaruhi sifat membezakan perkara baik dan buruk.

“Oleh itu, minda perlu dibersihkan melalui perbincangan ilmiah dan melihat politik dari sudut Islam, merujuk kepada mengurus dan mentadbir masyarakat bertepatan dengan syariah,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) yang juga ahli panel forum, Kamaruzaman Abdullah menyifatkan persepsi orang ramai perlu diubah dan melihat politik sebahagian daripada ‘addin’ (agama), seperti sembahyang, zakat dan sebagainya.

“Contohi Nabi Muhammad SAW kerana baginda juga merupakan ahli politik yang besar, mengajar para sahabat supaya mengambil cakna tentang bidang tersebut,” tambahnya.