Home Berita PAS Sabah

Anak muda perlu menangkan BN dengan majoriti besar

1364
SHARE

Oleh : Mustaman Bin Mustain
16 Januari 2020

KIMANIS : Pengundi di Kimanis khususnya anak muda diseru untuk menangkan calon BN, Datuk Mohamad Alamin pada 18 Januari ini dengan majoriti besar berbanding PRU14.

“Kali ini kita perlu menangkan BN dengan majoriti besar!” demikian gesa Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir Haji Khairil Nizam Khirudin ketika menyampaikan pidato beliau dalam program Pentas Anak Muda anjuran BN, kelmarin.

“Berapa majoriti?,” soalnya kepada ribuan anak muda yang hadir dalam sesi penerangan yang diadakan di Kampung Malawaring, Kimanis itu sekaligus dijawab ‘sepuluh ribu’ oleh para audiens.

Ulasnya, beberapa PRK lalu termasuk di Tanjung Piai telah dimenangi dengan bergaya oleh MCA yang mewakili Muafakat Nasional hasil kerjasama PAS dan UMNO, justeru momentum itu perlu diteruskan di Kimanis.

“Jadi, anak muda yang ada dalam ceramah malam ini perlu turun berjumpa dengan anak muda di luar sana dan nyatakan kepada mereka supaya tidak ulangi kesilapan lalu (dengan mengundi Warisan),” tambahnya.

Terdahulu beliau turut mengulas fitnah parti lawan yang mengatakan PAS adalah parti ekstrem dan bersifat perkauman yang memecahkan perpaduan.

Jelasnya, sekiranya PAS ekstrem beliau tidak akan hadir dalam program berkenaan yang turut disertai oleh Ketua-ketua Pemuda gabungan pembangkang yang bukan Islam termasuk dari MCA, PBS, PBRS dan STAR.

Haji Khairil turut menyoroti peristiwa hitam 13 Mei yang mencatatkan sejarah apabila tidak ada pertumpahan darah berlaku di Kelantan yang ditadbir PAS, tidak seperti di beberapa negeri lain.

Malah, katanya calon MCA yang memenangi PRK Tanjung Piai beberapa bulan lalu turut dicadangkan terlebih dahulu oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai bukti jelas PAS ikhlas mahu membangunkan negara bersama semua kaum.

Ujarnya, peristiwa-peristiwa ini sudah cukup membuktikan bahawa PAS bukannya parti ekstrem atau pemecah belah kaum sebagaimana fitnah yang dimainkan musuh.

Hadir sama dalam siri pidato berkenaan ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Nicole Wong, Ketua Pemuda Pusat PBS, Christopher Mandut, Ketua Pemuda Pusat PBRS, Edwin Laimin dan Ketua Pemuda Pusat STAR, Terence Sinti.