Home Minda Presiden

Ada Yang Bergembira Bersama Zionis

916
SHARE


Minda Presiden PAS

ADA YANG BERGEMBIRA BERSAMA ZIONIS


Peristiwa pembunuhan Jeneral Qasim Sulaimani dan rakan-rakannya disambut gembira oleh Zionis Israel dan sekutunya di seluruh dunia, kerana dikatakan pengganas paling dikehendaki oleh mereka tanpa mengira Sunni atau Syiah.

Bagi mereka tiada perbezaan dengan kejayaan membunuh Syeikh Ahmad Yasin daripada Sunni dan Qasim Sulaimani daripada Syiah, termasuk pembunuhan Jamal Khashoggi yang dileburkan jasadnya akibat membuat kenyataan anti Zionis, walaupun dia hanya seorang wartawan Sunni berasal dari Madinah, Arab Saudi.

Semua kumpulan Palestin yang 100% Sunni bersedih, sehingga para pemimpin mereka menghantar rombongan mengiringi jenazah dan membuat kenyataan terbuka bahawa Jeneral Qasim dan rakan-rakannya adalah para syuhada’ Al-Quds (Bait Al-Maqdis), kerana peranan utamanya menjadi pemimpin pasukan yang ditubuhkan khusus bagi pembebasan Bait Al-Maqdis.

Namun, ada pula kumpulan yang menamakan diri mereka pejuang Ahli Sunnah sangat bergembira bersama-sama kumpulan Zionis kerana kejayaan operasi membunuh Jeneral Qasim Sulaimani. Sebabnya beliau ialah penganut Syiah dan berjaya mematahkan kumpulan Daesh dan rangkaiannya yang dikatakan berjihad di Iraq, Syria, Yaman dan lain-lain.

Semua kumpulan Palestin memberi alasan secara terbuka mendedahkan penglibatan Jeneral Qasim dalam operasi menyampaikan bantuan kepada Palestin dengan segala bentuk sama ada bantuan moral, harta dan ketenteraan, ketika Palestin dan Gaza khususnya dikepung dan kebanyakan negara Arab mengecewakan dan menyokong projek mengiktiraf negara haram Israel dengan tawaran peruntukan duit paling lumayan pada abad ini.

Cadangan tersebut supaya Arab meninggalkan bumi Palestin dan menubuhkan negara baru di kawasan bukan bumi Palestin yang disediakan. Namun semua kumpulan Palestin menolak, walaupun dipaksa dengan pelbagai cara dan tawaran.

Turki dan Qatar rakan sekutu Barat mengubah pendirian, lalu dikempen supaya dikepung, sehingga terdedahnya komplot rampasan kuasa yang gagal di Turki terhadap Presiden Erdogan dan penglibatan Barat dan sekutunya negara Arab.

Apa yang mengejutkan lagi apabila terdedah penglibatan negara Barat dan sekutu Arab sebagai pembekal utama senjata kepada kumpulan yang berperang di Syria, Yaman, Sudan, Libya dan lain-lain.

Walaupun pada zahirnya, mereka menegaskan datang untuk menentang pengganas, akhirnya diketahui bukan untuk melawan pengganas, tetapi sebenarnya bertujuan mencetuskan huru-hara bagi menyelamatkan Israel di atas nama jihad di negeri masing-masing dan menyekat aliran bantuan kepada Palestin.

Rupanya alasan Jeneral Qasim Sulaimani dibunuh kerana terlalu geram terhadap kejayaannya mematahkan Daesh dan kumpulan yang dicipta supaya menjadi masalah dalaman di setiap negara yang menyampaikan bantuan kepada Palestin. Maka wajarlah seluruh rakyat Palestin bersedih di atas kematiannya dan menjulang martabatnya sebagai syahid.

Apa yang menghairankan ada yang bergembira bersama Zionis, kerana Zionis membantu jihad mereka tanpa sedar atau sengaja, sehingga martabat mereka lebih rendah daripada anjing kampung yang boleh bersatu ketika sedang berkelahi, apabila terpandang gerombolan anjing luar datang menceroboh.

Sejarah kejayaan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi mengalahkan tentera Salib dan membebaskan Masjid Al-Aqsa bermula dengan menyatukan umat Islam yang berpecah kepada mazhab Sunni dan Syiah serta berbeza kerajaan di beberapa wilayah umat Islam.

Kerajaan Abbasiyyah yang bermazhab Sunni dan Kerajaan Fatimiyyah yang bermazhab Syiah berjaya didamaikan, dan mengembalikan semula kepada agama, serta bersatu menghadapi musuh setelah lalai dan leka.

Kita sedang menyaksikan dunia yang menghadapi krisis nilai kemanusiaan yang parah menjunam, menjadikan umat Islam mangsa paling tertindas, sejak pakatan bersekutu menjatuhkan kuasa umat Islam memimpin dunia pada awal abad yang lalu. Ini disebabkan oleh kelemahan umat Islam sendiri, apabila meninggalkan ajaran Islam yang sebenar, walaupun mengakui kuat Islamnya, tetapi berpecah mengikut mazhab dan kaum masing-masing.

Musuh-musuh yang menakluk tanah air umat Islam membunuh mereka tanpa mengira mazhab dan bangsa. Semuanya ditelan dan ditakluk setelah dipecah dan diperintah.

Penjajah yang datang mengacau umat Islam dianggap pejuang kebebasan dan keamanan. Adapun umat Islam yang melawannya dilabel pengganas. Walaupun penjajah itu membunuh lebih ramai manusia dengan senjata yang sangat melampau, mereka tetap dianggap bukan pengganas.

Allah memerintahkan supaya ada di kalangan umat Islam sekumpulan yang bertafaqquh fi Al-Din (memahami perkara agama) dengan makna yang menyeluruh dalam kehidupan dunia bersama Islam.

﴿۞وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ١٢٢﴾

“Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu bertafaqquh (mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama), dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah)”. (Surah At-Taubah: 122)

Al-Din itu adalah seluruh ajaran Islam yang mesti difahami (bertafaqquh) cara pelaksanaannya dengan betul dan bijak dalam semua perkara Islam sama ada akidah, syariat dan akhlak. Bukan sahaja dalam urusan ibadat dan bersuci, bahkan termasuk dalam perkara pendekatan menyatakan Islam dalam urusan dakwah dan politik yang juga ada feqahnya.

Seseorang yang mengerjakan ibadat haji tanpa feqah akan melontar jamrah dengan apa sahaja kerana tinggi semangatnya melontar syaitan yang menjadi salah satu simbol ibadat haji, tetapi kalau tiada feqahnya nescaya dilontar kepada saudaranya sendiri.

Begitulah kumpulan yang berjihad tanpa feqah dan siyasah menjadi melampau sehingga tanpa disedari menjadi alat membantu musuh Islam dan terkeluar daripada Maqasid Syariah supaya mencapai matlamat tertinggi bagi menyatakan Islam, semua amalan diterima oleh Allah dan berjaya menyelamatkan manusia seramai-ramainya untuk menerima Islam.

Paling berbahaya tanpa disedari berjaya dipergunakan oleh musuh Islam bagi menghancurkan umat secara dalaman. Sehingga kemuncaknya terjebak dalam perang fitnah yang diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W. Malangnya hadis dijadikan hujjah tanpa muhasabah diri sendiri, tetapi menyalahkan pihak lawan dalam satu umat Islam.

Sepatutnya kita mengambil contoh daripada Amir Al-Mukminin Saidinia Umar bin Al-Khattab R.A. apabila mengetahui bahawa Huzaifah R.A. dimaklumkan secara rahsia oleh Rasulullah S.A.W. mengenai senarai orang-orang munafik di Madinah.

Lantas Saidina Umar R.A. menemui Huzaifah R.A. bertanyakan, adakah namanya termasuk dalam senarai orang munafik, tanpa bertanya hal orang lain. Beberapa orang sahabat juga melakukan muhasabah diri sendiri yang lebih diutamakan daripada menghukum orang lain yang wajib diselamatkan bersama Islam, bukan dihalau supaya lebih jauh daripada Islam.

Apabila berlakunya perang fitnah selepas syahidnya khalifah ketiga, Saidina Uthman bin ‘Affan R.A., maka bermulanya fitnah yang besar sehingga tidak mampu dibendung oleh Khalifah Ali bin Abi Talib R.A. yang juga akhirnya dibunuh syahid.

Para ulama’ yang muktabar walaupun berbeza mazhab Sunni, Syiah dan Ibadhi bersepakat bahawa Saidina Ali R.A. merupakan khalifah keempat yang terakhir dan sah daripada Khulafa’ Ar-Rasyidin.

Selepas berlaku fitnah yang besar, Sunni dan Syiah bersepakat mengutuk peristiwa pembunuhan Sayyidina Husain, cucu kesayangan Rasulullah S.A.W. Namun selepas itu terlalu banyak diriwayatkan di dalam kitab yang besar sehingga bercampur aduk antara benar dan bohong.

Lalu para ulama’ yang mengkaji ilmu Islam secara riwayat mencari yang sahih, khususnya yang masih dikira baik walaupun ada kelemahan, serta menolak yang palsu.

Para ulama’ muktabar daripada kalangan Sunni dalam ilmu Al-Quran seperti Ibnu Jarir Al-Tabari dan Al-Qurtubi, ilmu hadis seperti Al-Bukhari dan Muslim, Imam mazhab feqah empat yang terkenal, ulama dalam ilmu Tarikh dan lain-lain, telah menyenaraikan ulama-ulama terbilang yang berbeza fahaman kerana pergolakan politik dalaman umat Islam daripada kalangan Sunni, Syiah dan Ibadhi yang masih berpegang dengan rukun-rukun Islam yang asasi.

Semua pandangan mereka diletakkan dalam kitab-kitab yang muktabar dalam segenap cabang ilmu Islam tanpa mengira kuat dan dhaif serta dimasukkan dalam kitab-kitab perbandingan mazhab untuk dikaji semula.

Antara mereka ialah imam mujtahid dalam mazhab masing-masing, bukan sahaja empat mazhab yang terkenal dalam kalangan fuqaha’ Ahli Sunnah, bahkan terlalu besar jumlahnya kalau diambil daripada kalangan ulama sebelum empat mazhab yang terkenal dalam kalangan generasi Salaf, termasuk juga Imam Syiah, Jaafar Al-Sodiq, Musa Al-Kazim, Imam Zaid daripada kalangan Ahli Al-Bait (keluarga Rasulullah S.A.W.) dan Abdullah bin Ibadh yang dikatakan Khawarij ialah murid kepada Imam Said bin Jubair dan Ibn Al-Asy’aath daripada kalangan tabien.

Semua ulama’ itu berguru, belajar dan meriwayatkan di antara satu sama lain, sehingga kitab-kitab syarah hadis daripada kalangan Ahli Sunnah melaporkan ratusan ulama’ yang dikatakan Syiah. Begitulah kitab syariah yang muktabar meletakkan beratus nama ulama’ Sunni yang diriwayatkan dalam kitab Syiah dan Ibadhi yang muktabar. Jangan mencari dalam kitab yang tidak muktabar untuk mencari banyak masalah dan mencetuskan perkelahian.

Pihak Universiti Al-Azhar dan Majma’ Al-Buhus Al-Islamiyyah menghasilkan sebuah ensiklopedia yang mengumpulkan lapan mazhab besar yang dimasukkan ke dalam jumlah umat Islam dengan menyebutkan beberapa contoh masalah khilafiyah dalam perkara furu’. Sehingga mendapat kenyataan yang positif daripada Majma’ Fiqh di bawah OIC dan Mursyid Iran, Imam Khaminaei.

Malangnya ramai yang terikut kepada kenyataan provokasi daripada pihak Barat dan pemimpin Amerika dan Eropah supaya Sunni melawan Syiah, seterusnya diikuti oleh pemimpin kerajaan di bawah pengaruh mereka dan didukung oleh para ulama yang bernaung di bawahnya.

Saya tidak lupa mengikuti perkembangan politik Iran sejak pada zaman regim Syah dan selepas berlakunya Revolusi Iran sehingga mengisytiharkan negara Republik Islam. Selepas perubahan itu, semua negara Barat dan sekutunya mengepung dan menyerang, serta mengajak Sunni menentang Syiah, sedangkan Syiah pada zaman Syah dahulu ialah sahabat yang akrab dengan Barat. Malangnya ramai ulama rasmi terpalit, dan ulama tidak rasmi dikurung dalam penjara.

Cukup bagi saya amaran Rasulullah S.A.W. kepada bangsa Arab:

ويل للعرب من شر قد اقترب

“Celaka dan ke dalam nerakalah bagi bangsa arab disebabkan kejahatan yang menghampiri mereka”.

Lalu Ummu Al-Mukminin, Zainab binti Jahsyi R.A. bertanya:

أفنهلك وفينا الصالحون

“Adakah kita binasa, padahal daripada kalangan kita masih ada orang-orang yang soleh”.

Sabda Rasulullah:

إذا كثر الخبث

“Apabila banyaknya kejahatan maksiat”. (Muttafaqun ‘Alaih)

Ya! Perhatikan negara paling kaya dan negara jirannya sudah menjadi kawasan mabuk arak dan kebun maksiat.

Dalam hadis lain, Rasulullah S.A.W. murka terhadap sahabatnya yang sedang berkelahi:

مَا بَالُ دَعْوَى الجَاهِلِيَّةِ…دَعُوهَا فَإِنَّهَا مُنْتِنَةٌ

“Apa! Kembali semula kepada jahiliyah. Tinggalkan perangai jahiliyah itu, terlalu keji laksana bangkai yang busuk”. (Riwayat Muslim)

Cukuplah Rasulullah S.A.W. memuji rakyat Palestin yang tidak menyerah kalah walapun dikecewakan:

“Mereka ialah penduduk Bait Al-Maqdis dan sekitar Bait Al-Maqdis”. (Riwayat Imam Ahmad)

Cukup bagi Jeneral Qasim Sulaimani dan rakannya mendapat fadilat paling dibenci dan dimusuhi oleh syaitan paling besar pada zaman ini.

Saya juga sedang memantau media di Malaysia yang sedang digunakan untuk mengipas kebencian terhadap Sidang Kemuncak Islam di Kuala Lumpur baru-baru ini yang dikatakan mencabar OIC yang telah mengecewakan Palestin dan umat Islam.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 20 Jamadil Awwal 1441 / 16 Januari 2020