Home Berita PAS Terengganu

Amzad cadang pendekatan lebih fleksibel, bantuan eKasih lebih berkesan

21
SHARE

KUALA TERENGGANU – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim mencadangkan supaya dasar penyaluran bantuan kewangan di bawah program eKasih disemak semula agar lebih fleksibel mengikut situasi semasa.

Beliau berkata, pemberian bantuan yang seragam tanpa mengambil kira faktor lokasi dan keperluan sebenar penerima berisiko menjejaskan keberkesanan program tersebut dalam membantu golongan miskin dan miskin tegar.

“Saya mencadangkan supaya dasar penyaluran bantuan kewangan eKasih harus disemak semula agar lebih bersifat adaptif dan mengambil kira realiti kos sara hidup.

“Tidak wajar pemberian bantuan diseragamkan tanpa mempertimbangkan perbezaan lokasi (bandar atau luar bandar) serta keperluan sebenar penerima.

“RM100 mungkin mencukupi untuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, tetapi ia tidak memadai bagi mereka di kawasan bandar seperti di Kuala Terengganu, di mana kos sara hidup jauh lebih tinggi.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran sosial media rasminya, sorotan daripada Mesyuarat Jawatankuasa ‘Focus Group’ Kesejahteraan Rakyat Daerah Kuala Terengganu yang telah berlangsung di Pejabat Daerah Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Kuala Terengganu itu turut membincangkan isu-isu berkaitan kemiskinan dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu yang meliputi DUN (Dewan Undangan Negeri) Bandar, Ladang, Wakaf Mempelam dan Batu Buruk.

Menurutnya, perbincangan mesyuarat menjurus kepada usaha bagi mempercepat penyelesaian kes-kes yang masih berada dalam kategori miskin tegar berdasarkan data eKasih.

“Alhamdulillah, hasil usaha pelbagai pihak termasuk inisiatif  ‘unit mobile’ daerah dan kerjasama di peringkat DUN dan JPKK, lebih 7,000 individu telah berjaya dikeluarkan daripada garis kemiskinan.

“Malah, kes miskin tegar di Parlimen Kuala Terengganu yang dahulu berjumlah enam kes kini tinggal hanya dua, kedua-duanya di DUN Wakaf Mempelam.

“Insya-Allah, kedua-dua kes ini dijangka dapat diselesaikan tidak lama lagi melalui intervensi MAIDAM (Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu) dan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat),” ujarnya.

Dalam masa sama, Ahmad Amzad merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda kesejahteraan rakyat termasuk MAIDAM, JKM, Tabung Darul Iman dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

Penambahbaikan terhadap program bantuan seperti eKasih adalah penting agar setiap sen yang disalurkan benar-benar memberikan impak kepada kehidupan rakyat, terutamanya dalam mendepani cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.