Oleh: Wan Syahirah binti Wan Jafri
GOMBAK – Ameerah Wangsa Maju meneruskan agenda penerangan melalui penganjuran ‘Demo Baking: Red Velvet Cake’ pada 15 April yang lalu di PASTI Al-Hafiz, Taman Melati Mustika.
Program yang bermula seawal 9 pagi dengan peserta seramai 20 orang itu bertujuan membantu pengundi muda wanita mengasah bakat dalam membuat kek di samping memperkenalkan manifesto PAS kepada mereka.
Sesi dimulakan dengan demonstrasi membuat kek ‘Red Velvet’ oleh pelatih diikuti dengan partisipasi peserta untuk bersama-sama mendekorasi kek dan juga sesi perkongsian berkenaan manifesto yang banyak berkisar berkenaan isu GST.
“GST ini pada saya adalah zalim kerana ia dikenakan kepada semua lapisan masyarakat daripada yang paling kaya sehingga yang paling miskin dan ini adalah tidak selari dengan apa yang Islam anjurkan”, ujar moderator sesi perkongsian, Cik Syarifah.
Menurut Pengarah Program iaitu Puan Khairatul Solehah, program ‘demo baking’ kali ini sudah memasuki siri ke 6 dan dengan sambutan yang baik oleh para peserta, Ameerah Wangsa Maju komited untuk terus menganjurkan sesi sebegini di masa akan datang.