Home Berita PAS Terengganu

Ambil semangat Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Ku Paloh

272
SHARE

Oleh: Wartawan BO

KUALA TERENGGANU 9 Ogos – Rakyat negeri Terengganu diseru menjadikan semangat Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Ku Paloh untuk melawan segala cabaran termasuk pandemik Covid-19.
Naib Presiden PAS Dato Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, generasi terdahulu mengorbankan jiwa dan raga, harta benda dan tenaga, supaya negeri dan negara kita dapat dibebaskan dan kembali kepada jati diri yang sebenar.

“ketika masyarakat kita ditekan dan diperlakukan sebegitu rupa, kita bersatu hati dan berjuang, menyebabkan kita berjaya keluar dari cengkaman penjajah,

“tugas ini perlukan kita mengambil semangat yang pernah dipupuk di zaman pembentukan negara kita, memerlukan daya usaha dan kerjasama semua pihak, pemimpin dan yang dipimpin, ” jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang 2021, hari ini, atas talian yang disiarkan secara langsung.

Oleh itu, beliau mengucapkan perhargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan kerana memilih Terengganu sebagai tuan rumah.

Ahmad Samsuri berkata, pemimpin perlu menjadi “resam yang baik dan tidak mengelirukan serta tidak menyusahkan rakyat dengan pelbagai rekaan dan usaha yang sia-sia”.

“diwaktu kita berdepan dengan saat getir ini biarlah pemimpin menjadi ‘tempat tuah rakyat’ mengadu nasib seperti kata bidalan Melayu,

“ibarat kayu besar di tengah padang tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan, uratnya tempat bersila, batangnya tempat bersandar,” tegasnya.

Justeru itu, beliau mengajak seluruh rakyat untuk menghayati ‘Malaysia Prihatin’ yang menjadi tema Hari Kebangsaan pada talhun ini.

“khususnya kepada rakyat Terengganu, marilah kita bersama-sama kerajaan untuk kita berganding bahu, menyuntik semangat untuk membawa negeri dan negara, keluar daripada pandemik,

“Bak kata orang lama, nan pekak pelepas bedil, nan buta penghembus lesung, nan bisu penggera ayam, nan lumpuh penghuni rumah” kata beliau.