Home Berita PAS Pulau Pinang

Amanat Presiden PAS Ukir Sejarah di Permatang Pauh

2287
SHARE

Oleh : Emi Zarina

4 Feb 2018 | Kubang Semang – Sejarah tercipta pada hari ini di Permatang Pauh dengan kehadiran Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bagi menyampaikan amanat penting untuk seluruh penyokong PAS di Pulau Pinang dan Permatang Pauh khasnya.

Dilaporkan seramai 5000 orang kehadiran pengunjung dari seluruh pelusuk Pulau Pinang demi sebuah amanat yang amat berharga ini.

Amanat presiden mengambil masa tidak lebih setengah jam tetapi padat meliputi tentang sejarah kebangkitan Islam, sejarah penubuhan PAS dan sejarah jatuh bangun PAS di Malaysia.

Pulau Pinang amat bermakna kerana ia merupakan negeri kelahiran PAS.

Manakala, sejarah telah tercatat pada tahun 1979, di saat Kelantan dan Terengganu kalah pilihanraya di kebanyakan DUN, Allah beri kemenangan kepada calon PAS ketika itu Almarhum Haji Zabidi Ali di Parlimen Permatang Pauh.

“Permatang Pauh sangat bersejarah kepada PAS. Saya nak isytihar pada malam ini, PAS nak bertanding di Permatang Pauh. PAS dah ambil pada tahun 1979, hendak ambil balik. Terpulang kepada pengundi-pengundi kawasan ini, berusaha dengan gigih untuk memenangkan PAS, In sya Allah” amanat penutup Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang yang disambut dengan takbir penuh bersemangat penyokong-penyokong PAS.

Sempena program Amanat Presiden PAS ini, Dewan Muslimat PAS Kawasan Permatang Pauh telah menganjurkan program Muslimat Prihatin di tapak program bermula jam 3.00 hingga 5.00 petang.

Turut memeriahkan tapak program pada petang itu dengan ketibaan konvoi ARC anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang. Sebanyak hampir 100 buah motosikal terlibat dalam konvoi tersebut.

Kemuncak program adalah pada sebelah malam, dengan ketibaan pengunjung-pengunjung sejak asar lagi sehingga program berlangsung.

Kawalan lalu lintas mendapat kerjasama dari Polis Trafik dan Jabatan Amal Malaysia.

Turut serta menyampaikan ucapan ialah YDP PAS Permatang Pauh Hj Omar Hassan, Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia(PCM) Dato’ Huan Cheng Guan, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamuddin, dan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff.