Home Rencana PAS Selangor

Amanat mantan KP buat penerus legasi Pemuda PAS – Mantan KP DPPK Hulu Langat

53
SHARE

Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

Oleh : Zurk Ahmad
Mantan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Langat

Dalam ucapan terakhir saya dalam MAT Dewan Pemuda PAS Hulu Langat (DPPHL) Ke-36 semalam, saya merumuskan 5 perkara perlu dilakukan oleh adik-adik pelapis di Hulu Langat pada sesi akan datang.

1. Pergiatkan aktiviti mendekati anak muda melalui sukan dan kebudayaan. Manfaatkan sepenuhnya DACS. Gunakan seluruh entiti yang ada dibawah pemuda PAS untuk menyantuni adik-adik diluar sana. Lebih-lebih lagi menjelang PRU15 yang bakal menerima pengundi baru termasuk yang berumur 18 Tahun. Saya sendiri mula mengenali kepimpinan DPPHL selepas bertemu sahabat-sahabat DPPHL ketika itu tanpa dirancang di Puncak Gunung Nuang, 13 tahun lepas.

2. Jangan jadikan alasan “ada urusan dengan keluarga”, “banyak kerja” dan “letih” atau “tak ada masa” untuk tidak cuba membahagikan masa dengan baik untuk menyumbang kepada jamaah. Jadikan cerita serta pengalaman abang-abang kita yang terdahulu sebagai inspirasi dan pembakar semangat kepada kita untuk sama-sama mengutip pahala ketika masih muda dan bertenaga. Saya berikan contoh seorang otai Amal yang tinggal di Semenyih sanggup bermotosikal ke Sabak Bernam untuk bermesyuarat dan tidur di RnR kerana keletihan usai mesyuarat sekitar jam 1 pagi.

3. Mesyuarat adalah platform utama untuk berbincang, bertukar pandangan, malah “bergaduh” sebelum membuat keputusan. Setelah ada keputusan, maka sama-samalah patuh dan bersungguh melaksanakan apa yang telah ditetapkan bersama. Jangan ada adu domba diluar mesyuarat kerana ia akan meracuni ukhwah dan adab berjamaah. Konflik dalaman dan krisis organisasi akan menjenguk jika masih berlaku perkara ini. Hati-hati!

4. Ukhwah. Sedap disebut tapi kekadang sukar untuk dijaga. Maka saya mengharapkan seluruh sahabat pemuda menjaga dan memelihara sungguh-sungguh ukhwah bagi melancarkan segala perancangan DPPHL pada masa akan datang. Jika ada konflik, ia akan merencat segala urusan organisasi kerana terpaksa menghabiskan masa bersilat sesama sendiri. Jagalah sungguh-sungguh. Lazimi usrah, rancang tamrin dan rehlah supaya ukhwah semakin utuh dan kukuh.

5. Jaga aset jamaah. Jangan biarkan aset DPPHL sedia ada dan mungkin akan bertambah pada masa akan datang tidak dimanfaatkan dengan baik. Ilmu pengurusan perlu digilap sebagai persediaan memimpin Negara. Alhamdulillah, daripada tiada apa-apa, kini DPPHL mampu menyewa bangunan 2 tingkat sebagai pejabat pentadbiran yang dinamakan Baitul Ikhwan, tiga buah Pasti Little Ikhwan (2 lagi bakal dibuka tahun hadapan) yang diuruskan terus dibawah DPPHL, sebuah SRITI (SRITI Al-Mutadayyin) dan lain-lain aset mudah alih. Masih jauh jika nak dibandingkan dengan kawasan-kawasan lain yang lebih hebat. Namun inilah permulaan yang perlu disambung secara tersusun dan berpanjangan.

Mudah-mudahan adik-adik kepimpinan DPPHL yang baru dapat meneruskan legasi perjuangan ini, jauh lebih baik daripada saya pada masa mendatang.

Siiru ala barakatillah.
11 Oktober 2021 | 5 Rabiul Awal 1443H

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor